Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan senang kepadamu hingga kamu mengikuti agama mereka. Katakanlah: “Sesungguhnya petunjuk Allah itulah petunjuk (yang sebenarnya)”. Dan sesungguhnya jika kamu mengikuti kemahuan mereka setelah pengetahuan datang kepadamu, maka Allah tidak lagi menjadi pelindung dan penolong bagimu. al-Baqarah (2) : 120

Wednesday, October 14, 2015

PEMUDA UMNO AKAN DIBUBARKAN???!!!


Seorang veteran UMNO dalam satu kenyataan membidas kenyataan Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin yang bersetuju dengan sebuah kajian menyatakan tiada parti politik di negara ini berjaya menarik perhatian golongan muda.

Beliau juga menegaskan,kalau betul apa yang diakui oleh Khairy, ahli veteran itu mencadangkan supaya Pemuda UMNO dan Barisan Nasional (BN) dibubarkan. Bagi penulis, tiada salahnya apabila Khairy berkata demikian, sebaliknya Menteri Belia dan Sukan itu harus dipuji kerana berpijak di bumi nyata dan tidak mengamalkan sindrom penafian atau syok sendiri apabila berhadapan dengan sesuatu realiti.

Apatah lagi Khairy membuat kenyataan itu bukanlah secara semberono sebaliknya selari dengan kajian Pemuda BN yang mendapati kebanyakan pengundi muda masih tidak membuat pilihan sokongan politik mereka.


Semua parti politik perlu menerima hakikatnya bahawa pemikiran orang muda berbeza. Mereka mempunyai pandangan sendiri terhadap sesuatu isu. Mereka tidak suka menjadi ‘pak turut’ dan sentiasa bersikap kritis apabila memberi pendapat.

Khairy memberi pandangan secara tulus ikhlas dan bukannya untuk melepaskan diri kononnya kerana kegagalan Pemuda UMNO menarik golongan muda mendekati UMNO dan BN.

Oleh itu daripada mana-mana pihak sengaja mencari alasan untuk membidas Khairy adalah lebih baik mereka mengemukakan cadangan bagaimana hendak membantu Pergerakan Pemuda UMNO menarik golongan muda.

Kita akui masih terdapat banyak kelemahan yang perlu diperbaiki oleh pergerakan itu dalam usaha membantu BN menarik sokongan tetapi ini tidak bermaksud Pemuda UMNO mahupun BN hanya berpeluk tubuh.

Pemuda UMNO dan Pemuda BN yang diterajui oleh Khairy amat memahami tanggungjawab berat mereka untuk memastikan sokongan golongan muda kepada BN. Apatah lagi pengundi daripada golongan itu akan menjadi penentu kemenangan kepada mana-mana parti dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) nanti.
Sepatutnya semua pihak perlu memberi keyakinan, sokongan dan dorongan kepada Khairy dan Pemuda UMNO untuk memantapkan program serta strategi bagi meraih undi daripada golongan muda bagi BN.

Harus diingat, UMNO kini berhadapan dengan pelbagai cabaran dari dalam dan luar, sudah pastilah tanggungjawab untuk mendapatkan sokongan pengundi bukan sahaja terletak kepada Pemuda UMNO tetapi kesemua pemimpin parti secara keseluruhan termasuklah daripada golongan veteran.

Sebagai orang veteran dan sudah lama berjuang dalam parti, mereka pasti mempunyai kemampuan untuk memberikan nasihat dan pandangan kepada Pemuda UMNO bagaimana hendak memperkukuhkan sokongan kepada parti.

Jangan hanya bijak mengkritik dan mengecam kepada satu kenyataan yang dibuat berdasarkan kepada realiti. Akui sahaja ketika ini terdapat keraguan yang cukup tinggi dalam kalangan pemimpin UMNO dan BN sendiri berhubung ke arah mana sokongan pengundi muda.

Kelicikan pembangkang mengeksploitasikan sesuatu isu sehingga yang benar dikatakan palsu dan yang batil dikatakan benar telah banyak meracuni pemikiran anak-anak muda terhadap kerajaan. Sebab itulah kita melihat anak muda pa­ling ramai menyertai program-program termasuklah demonstrasi anjuran pembangkang.

Penyertaan mereka tidak boleh dikaitkan dengan kegagalan Pemuda UMNO dan Pemuda BN menarik sokongan go­longan itu sehingga mahukan kedua-dua sayap parti itu dibubarkan, sebaliknya ia banyak berkisar soal bagaimana kerajaan, UMNO dan BN menangani sesuatu isu.

Sepanjang mengikuti perkembangan politik Pemuda UMNO sejak zaman Tan Sri Rahim Tamby Chik hinggalah Khairy menjadi Ketua Pemuda, sayap parti itu menempuh cabaran yang berbeza-beza. Kita tidak boleh samakan antara cabaran Pemuda UMNO sekarang dengan Pemuda UMNO dahulu.

Pemimpin Pemuda dahulu mungkin boleh turun padang dengan memakai baju Melayu atau baju berjenama tetapi sekarang tidak boleh lagi. Dulu mereka juga boleh sekadar datang merasmikan sesuatu majlis melibatkan anak muda tanpa menyertainya, tetapi sekarang gaya pemimpin seperti itu sudah ‘tidak laku’ pada pandangan golongan tersebut.

Justeru itulah kita menyaksikan bagaimana Khairy benar-benar memanfaatkan kedudukannya sebagai Menteri Belia dan Sukan untuk menyelami hati dan perasaan anak muda. Beliau bersedia memakai baju biasa dan pakaian sukan untuk menyertai pelbagai acara termasuk sukan lasak.

Itu semua mampu memberikan gambaran yang baik kepada anak muda khususnya pengundi muda bahawa Pemuda UMNO bukanlah golongan elit tetapi kelompok yang bersedia bersama mereka sepanjang masa.

Bagaimanapun penulis akui masih ramai lagi pemimpin Pemuda UMNO yang perlu mengubah cara kepemimpinan mereka dalam soal bergaul dengan rakyat. Selain itu biro-biro dalam Pemuda UMNO dan Pemuda BN juga perlu benar-benar berfungsi dan bukannya sekadar wujud pada nama sahaja atau ‘hidup segan mati tak mahu’.

Diharapkan, keputusan kajian yang menunjukkan tiada parti politik berjaya menarik perhatian golongan muda tidak terus dipolemikkan apatah lagi dijadikan ‘peluru’ untuk membidas sesiapa. Apa yang perlu dilakukan ialah melakukan kajian mendalam dan mengatur strategi bagi memastikan dalam PRU-14 nanti, golongan muda akan menyebelahi BN.

1 comment:

Rahmah Mohd Rashid said...

PEMUDA UMNO mesti sedar ORANG MUDA sekarang terdedah dengan pelbagai pengaruh. PEMUDA/PEMUDI MELAYU LAH yang paling ketara, dan ramai yang rela menghabiskan masa berjam-jam mengetahui perkembangan bersumber dari media dan bukan dari pengalaman, observasi, hands-on, atau bacaan. Yang jelas secara psikiloginya ORANG MUDA MELAYU menunjukkan inclination KONONNYA brfikiran lebin _neutral, walaupun terkadang kala pemikiran aliran ini bukan semestinya betul. Malang kerana ramai diantara mereka kKURANG MEMBACA dan CETEK ILMU untuk meningkatkan kewarasan dan pemahaman mendalam lantas kurang mampu menganalis sesuatu situasi bagi jangka panjang. Namun ini bukan luar biasa, kerana orang muda secara psikilogi sememang melalui FASA. ini dalam hidup mereka. MEMAKSA mereka untuk mengikut aeauatu ide tanpa penjelasan dan pendekatan yang bermakna bagi mereka adalah sesuatu yang sia-sia. PEMUDA mesti merancang pendekatan yang dapat mempengaruhi perhatian orang muda lalu mereka mereka akan jadi lebih matang dalam pemikiran dan tindak tanduk yang PEMUDA/PEMUDI MELAYU ambil. Adalah OK apabila lebih bersemangat ketika MUDA menuntut kebenaran tetapi tetapi TIDAK OK jIka mereka tidak berbekalkan semngat yang ADA dengan kECETEKAN PEMIKIRAN!!!!

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Portal Berita Semasa