Seorang individu telah mengaku dirinya pernah menyertai latihan ala ketenteraan bersama seorang pemuzik sebuah kumpulan rock terkenal tahun 90-an yang terbabit dalam gerakan militan di Syria bagi melawan kerajaan Syria yang dipimpin Bashar Al-Assad.
Individu yang tidak mendedahkan namanya itu berkata kumpulan militan itu sukar dikesan tujuannya pada mulanya kerana menjalani latihan menggunakan sukan menembak seperti paintball.
“Kami dilatih oleh beberapa individu yang cekap mengendalikan senjata dan mereka mendakwa bertugas dalam pasukan keselamatan. Kami akan dipanggil berlatih dengan pemuzik itu atau beberapa rakannya secara percuma kerana latihan itu dibiayai oleh seorang ahli perniagaan dari luar negara dengan kos antara RM10,000 hingga RM20,000 bagi satu sesi.
“Pada mulanya kami seronok kerana menyangka latihan ini hanya untuk suka-suka. Lagipun segalanya dibiayai dan kami hanya perlu bayar duit minyak kereta sendiri dan duit makan. Tetapi, lama-kelamaan saya menjadi cuak kerana latihan itu semakin serius termasuk diterapkan elemen jihad.
“Saya juga hairan kerana latihan yang dijalankan juga lama-kelamaan seperti latihan Unit Tindakan Khas (UTK) kerana kami diajar cara berperang, meleraikan dan memasang senjata, bagaimana cara untuk bersembunyi dan lain-lain lagi,” katanya.
.jpg)