PULAU PINANG 7 Nov. – Kerajaan diminta segera menggantikan Tanah Rizab Melayu yang telah dilupuskan dengan serta-merta seperti yang telah digariskan dalam peruntukan Perlembagaan.
Penasihat Majlis Perundingan Melayu (MPM) yang juga bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar berkata, tidak kira siapa yang memerintah, tanah tersebut adalah hak orang Melayu secara keseluruhannya dan tidak boleh diganggu.
Tegasnya, amat jelas dalam Perlembagaan, Tanah Rizab Melayu yang ada, tidak boleh dilupus melainkan kerajaan memperuntukkan tanah gantian yang sama luas dengan serta-merta.
“Namun apa yang berlaku sekarang ini? Kenapa Tanah Rizab Melayu semakin berkurangan dan tidak mencapai tahap 50 peratus seperti yang diwasiatkan oleh raja-raja Melayu?
“Tidak kira apa yang berlaku, MPM mendesak kerajaan segera menggantikan tanah rizab Melayu yang semakin berkurangan kini,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Tambah Hanif, bagi mempertahankan Tanah Rizab Melayu berkenaan, kerajaan boleh melakukan pelbagai cara dengan mewartakan tanah-tanah yang ada seperti Tanah Rancangan Felda atau tanah milik kerajaan Pusat yang telah tidak digunakan.
“Wartakan sahaja tanah Felda supaya tanah terbabit tidak boleh dijual kepada mana-mana pihak termasuk syarikat milik bumiputera sendiri,” katanya.
Malah tegas Hanif, di Kuala Lumpur sendiri terdapat banyak tanah milik kerajaan yang telah tidak digunakan dan adalah lebih baik tanah terbabit digazetkan sebagai Tanah Rizab Melayu untuk menjamin kelangsungan orang Melayu di ibu kota.
Sementara itu, Ketua Biro Integriti MPM, Tan Sri Zaman Khan Rahim Khan berkata, semua pihak perlu menjaga keharmonian kaum yang selama ini terjamin demi kelangsungan Malaysia.
Beliau berkata, isu-isu berkaitan dengan keharmonian perlu diselesaikan dengan cara terbaik agar tidak menjejaskan hubungan antara kaum di negara ini.
“Kita bukan rasis tetapi menjaga hak setiap kaum mengikut Perlembagaan.
“Siapa yang mainkan tuntutan perkauman ini? Jangan sesekali cuba menggoyangkan bahtera keharmonian kaum yang jelas akan merosakkan perpaduan rakyat,” katanya.
Yang turut hadir, Yang Dipertua Gabungan Perwakilan Melayu Pulau Pinang (G-Pem), Mohd. Rizuad Mohd. Azudin.--UM