Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan senang kepadamu hingga kamu mengikuti agama mereka. Katakanlah: “Sesungguhnya petunjuk Allah itulah petunjuk (yang sebenarnya)”. Dan sesungguhnya jika kamu mengikuti kemahuan mereka setelah pengetahuan datang kepadamu, maka Allah tidak lagi menjadi pelindung dan penolong bagimu. al-Baqarah (2) : 120

Tuesday, April 07, 2015

FENOMENA JAM BERHENTI DI DEWAN RAKYAT



Keadaan seperti ini jarang berlaku dalam sidang Dewan Rakyat. Mereka yang tidak begitu biasa dengan perjalanan sidang tentu hairan apa itu istilah jam Parlimen terpaksa 'dihentikan'.

Ini ceritanya. Ikut peraturan urusan sidang Dewan Rakyat perlu diselesaikan pada hari yang berkenaan atau disambung semula jam 10 pagi esoknya. Namun jika perbahasan hendak diteruskan melangkau jam 12 malam maka Speaker  yang mengendalikan sidang perlu 'hentikan' jam.

Ini bermakna sidang diteruskan selepas jam 12 malam tetapi tanpa kira ia melangkau masok ke hari baru kerana jam sudah 'dihentikan' pada detik itu. Itulah yang berlaku dalam urusan perbahasan hingga meluluskan Rang Undang-undang Pencegahan Keganasan 2015 atau ringkasnya POTA. Ia dibentangkan pada jam 11.45 pagi Isnin di Dewan Rakyat, kemudian hangat dibahas dan gara-gara desakan Ahli Parlimen Pakatan mahu buat beberapa pindaan ia telah melalui sembilan kali undian sebelum akhirnya diluluskan 2.25 pagi Selasa.

Pembangkang sebelum ini memekak pasal POTA mendakwa ia jelmaan ISA kerana ada kuasa tahanan tanpa bicara segala macam. Sebaliknya semua orang tahu dalam usaha benteras dan cegah pengganas, puak militan dan sebagainya ia sukar ditangani menerusi perundangan biasa.

Pihak kerajaan berkali-kali sudah nafikan ada nawaitu politik disebalik POTA. Maka tidak hairanlah kalangan ahli parlimen BN dan pembangkang ‘bertekak’ panjang semasa perbahasan rang undang-undang ini.

Ahli parlimen BN Pengerang, Johor Datuk Seri Azalina Othman Said dalam perbahasannya menegaskan pihak yang tidak menyokong POTA dan menggunakan hujah akta itu menafikan kebebasan hak asasi manusia jelas tidak menghormati hak asasi rakyat majoriti.

"Kita mewujudkan undang-undang ini kerana kita tahu niatnya adalah good faith bukan mala fide, bukan niat jahat.

“Sesiapa yang mempersoalkan hak asasi, persoalan saya adakah tuan-tuan mempunyai niat untuk melindungi pengganas.

“Adakah tuan-tuan pengganas, maka tuan-tuan menyokong hak asasi mereka, kami Barisan Nasional bukan pengganas, kita menang kerajaan kerana rakyat,” katanya.

Menurutnya, hakikat bahawa kerajaan sudah membentangkan kertas putih berhubung ancaman militan pada sesi parlimen lepas bermakna kerajaan yakin bahawa aktiviti keganasan adalah satu ancaman kepada rakyat.

Beliau menegaskan tindakan pembangkang mempersoalkan POTA adalah kerana mereka tidak mahu menghormati sistem perundangan negara.

“Kalau kita Ahli Parlimen ingat kita boleh buat sesuka hati, sebab kita ini ahli parlimen, kononnya kita tidak boleh masuk lokap, sebab kita tidak boleh kena reman, bererti kita tidak menghormati undang-undang. Barisan Nasional menghormati undang-undang, pembangkang tidak menghormati undang-undang. Akta Keganasan untuk mempertahankan kedaulatan negara,” katanya.

Pada awalnya perbahasan lancar dengan 18 wakil rakyat membahaskan rang undang-undang berkenaan selepas bacaan kali kedua oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Dr Wan Junaidi Tunku Jaafar. Ketegangan mula timbul selepas ahli-ahli parlimen pembangkang kalah dalam undian belah bahagi usul di bawah Peraturan 54(2) untuk merujuk rang undang-undang itu kepada Jawatankuasa Pilihan Parlimen bagi membolehkan ia ditangguh untuk pindaan, kira-kira jam 9 malam.

Selepas kalah dengan undi 64-80 kepada penyokong kerajaan, ahli-ahli parlimen pembangkang silih berganti pindaan terhadap fasal rang undang-undang tersebut sehingga menyebabkan beberapa belah bahagi mengikut Peraturan 46 (4) ketika perbahasan peringkat jawatankuasa.

Pada setiap usul pindaan, berlaku pertikaman lidah antara pembangkang dengan ahli-ahli parlimen BN.

Antara yang bangun bertikam lidah ahli parlimen Tanjung Karang Datuk Seri Noh Omar dan Ahli Parlimen Baling Datuk Seri Abdul Azeez Rahim manakala pembangkang pula ahli parlimen PAS Shah Alam Khalid Samad dan Sepang, Hanipa Maidin.

Sebelum perbahasan diteruskan selepas 12 tengah malam, berlaku tiga belah bahagi bagi menolak pindaan fasal yang dikemukakan pembangkang.

Belah bahagi diadakan selepas Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menjawab setiap persoalan berhubung pindaan yang dibangkitkan pembangkang.

BN yang menentang serta menolak pindaan usul-usul tersebut menang dengan 80 -61 undi, 81 -59 undi dan 80-59 undi pada belah bahagi berkenaan.Perbahasan peringkat jawatankuasa itu berlarutan sehingga 2 pagi walaupun jangkaan awal POTA boleh diluluskan jam 9.30 malam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim sebelum itu terpaksa mengemukakan usul pada jam 12 tengah malam memohon supaya perbahasan diteruskan sehingga usul berkenaan selesai. Ini bermakna jam Parlimen perlu 'dihentikan'.

Belah bahagi ke lima usul itu pada jam 12.10 menyaksikan Ahli Parlimen BN menang dengan 81-54 undi manakala belah bahagi jam 1.20 pagi, BN juga menang 80-58 undi. Perbahasan berterusan dan diikuti belah bahagi ke 7 pada jam 2 pagi dan ahli-ahli parlimen BN sekali lagi berjaya menolak usul pindaan dengan 79-60 undi. Pembangkang sekali lagi menuntut belah bahagi ketika usul rang undang-undang itu hendak dibawa ke peringkat dasar selepas perbahasan peringkat jawatankuasa – sesuatu yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

Keputusan undian jam 2.15 pagi itu kekal BN 79 dan pembangkang 60 undi. POTA kemudian lulus tanpa pindaan selepas berdepan rali panjang dengan undian terakhir setelah selesai bacaan kali ketiga dengan 79 undi menyokong 60 undi menolak oleh pembangkang.

Ketika jam menunjukkan 2.25 pagi sebelum sidang yang dipengerusikan pengerusikan Timbalan Speaker Datuk Ismail Mohd Said berakhir.-AD

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Portal Berita Semasa