AKHBAR Nanyang Siang Pau bertarikh 7 April 2015 menyiarkan artikel mengenai kerisauan DAP berhubung keputusan tegas Pas untuk terus melaksanakan hukum hudud di Kelantan yang akan menjejaskan sokongan rakyat terhadap Pakatan Rakyat (PR) menjelang pilihan raya umum (PRU) akan datang.
Menerusi artikel bertajuk ‘Kehilangan Kelantan kenapa hendak dirisaukan?’, penulisnya, Wong Zi dalam ruangan Pendapat di halaman B9 akhbar itu menyatakan DAP sepatutnya melihat perkara itu dari sudut pandangan berbeza, bersikap terbuka serta tidak mencampuri urusan ‘rumah tangga’ Pas selaku parti rakan dalam PR.
Keputusan nekad untuk melaksanakan hukum hudud telahpun dipersetujui kepimpinan tertinggi Pas, malah Datuk Seri Abdul Hadi Awang selaku presiden parti dan Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah (Timbalan Menteri Besar Kelantan yang juga Anggota Jawatankuasa Pas Pusat) juga bertegas Pas mampu berjuang bersendirian tanpa DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam hal itu.
Malah, pindaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993 yang dibentangkan dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan sekitar Mac lalu yang menyentuh tentang kesalahan jenayah syariah hudud, qisas dan takzir juga telahpun diluluskan, justeru tidak ada apa yang DAP boleh lakukan kecuali ‘merestui’ keputusan Pas itu.
Penulis menarik perhatian dengan tinjauan yang mendapati sebanyak 84 peratus rakyat membantah pelaksanaan hukum hudud kerana dikatakan mereka tidak faham perjuangan besar Pas, justeru DAP tidak perlu gusar sebaliknya mengambil pendekatan ‘tunggu dan lihat’.
Sekiranya enakmen berkenaan diluluskan Dewan Rakyat, ini bermakna tanggungjawab itu telah diserahkan kepada UMNO dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, dan jika enakmen itu ‘terkandas’ berikutan bantahan rakyat, maka Abdul Hadi sudah boleh lepas tangan selain menunggu ‘habuan’ untuk dikritik oleh orang ramai.
Pada hemat penulis, selaku Pengerusi Jawatankuasa Pusat Pas, Abdul Hadi sudah kekurangan bisanya oleh jawatankuasa berkenaan khususnya dalam kalangan puak Erdogan, justeru pelaksanaan hukum hudud disifatkan ‘talian hayat’ kepada beliau untuk terus dilihat sebagai seorang pemimpin tertinggi parti yang menguasai Pas.
Jika pemilihan parti Pas pada Jun ini menyaksikan Jawatankuasa Pusat Pas dikuasai oleh puak Erdogan, pastinya nyawa hukum hudud tidak akan ke mana dan ini bermakna kegagalan kepada pemimpin-pemimpin yang taksub percayakan agama seperti ulama-ulama mereka.
Selain faktor perpecahan dalam parti Pas yang berpecah kepada dua puak, pelaksanaan hukum hudud yang dibayangkan Mohd. Amar akan mencontohi empayar Perancis melaksanakan hukuman memotong tangan dan memenggal kepala menimbulkan kegusaran kalangan orang ramai, sekali gus menjejaskan sokongan rakyat terhadap Pas.
DAP tidak boleh bergembira awal jika Pas kehilangan kuasa di Kelantan kerana DAP juga dibayangkan akan menerima nasib sama. Pendek kata, kedua-duanya akan kecundang!
Jika DAP bijak, biarkan sahaja hukum hudud diluluskan di Dewan Rakyat, biarpun menyaksikan Pas kehilangan kuasa di Kelantan.
Setidak-tidaknya, DAP tetap menang dan kekal kuasa di Pulau Pinang.
Penulis berpandangan, jika benar Pas telah berazam mahu melaksanakan hukum hudud, sudah pasti mereka telah mengkaji kesan-kesannya selepas itu.
Mungkin terlalu percaya pada diri sendiri atau mungkin Pas akan berbaik semula dengan UMNO untuk bersama-sama memperkukuhkan kedudukan dan kuasa orang Melayu dan terus memperjuangkan agama Islam?
Sama ada beroleh kuasa ataupun tidak, bagi Pas itu adalah fenomena biasa dalam berpolitik. Adalah sangat tidak berbaloi jika DAP yang diperjuangkan Lim Kit Siang bertahun-tahun lamanya dan kini diwarisi anaknya, Lim Guan Eng kehilangan kuasa di Pulau Pinang hanya kerana ‘bercakaran’ dengan Pas.--UM
No comments:
Post a Comment