Walaupun pada awalnya Mohamad Sabu menafikan beliau akan merebut jawatan Presiden PAS yang sekarang disandang oleh Datuk Seri Abdul Hadi Awang, namun mutakhir ini Timbalan Presiden PAS itu mula menukar rentak politik, berteka teki tentang jawatan tersebut.
Semalam, Mohamad yang lebih dikenali Mat Sabu dilaporkan Mstar mula mengambil jalan selamat dengan enggan membuka mulut apabila ditanya benarkan beliau bakal menentang Hadi sebagai presiden parti itu.
Walaupun diasak dengan pelbagai soalan berhubung wujudnya usaha untuk menggulingkan Hadi pada pemilihan parti itu Jun depan, Mat Sabu berkeras untuk tidak mengulas.
“Tanya penulis blog, tak ada kena mengena dengan saya.
“Anda pergi tanya juga bekas Exco Pemuda PAS (Zulhazmi Shariff) yang buat kenyataan mengenainya, tanya orang yang buat kenyataan itu. Jangan tanya saya…saya tak ada kena mengena,” katanya ringkas pada sidang media di Pejabat Agung PAS Pusat, Kuala Lumpur, pada Isnin.
Kritik proksi ulama
Dalam sidang media yang sama, Mat Sabu dilaporkan FMT turut menyangkal kenyataan Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali sebagai pembuat spekulasi apabila mendakwa DAP berhasrat untuk “menendang” PAS daripada gabungan Pakatan Rakyat.
Menurutnya, itu hanyalah satu perkara yang ditambah bagi membuatkan politik di Malaysia bertambah ‘enak’ lantas secara tidak langsung tidak bersetuju dengan kenyataan Mustafa itu.
“Itu hanyalah spekulasi yang tidak perlu dikomen. Ia hanya bagi menambahkan keenakkan politik dan melunakkan politik di Malaysia,” katanya merujuk kenyataan Mustafa.
Sebelum ini, Mustafa telah mengeluarkan kenyataan di dalam sebuah akhbar berbahasa Mandarin yang mendakwa DAP tidak lagi berminat untuk ke Putrajaya, sebaliknya kini hanya memfokuskan untuk mengekalkan kuasa di Pulau Pinang dan menambahkan kerusi di Sarawak.
Pada PRU13 lepas, DAP muncul sebagai parti kedua yang terbesar di dalam Parlimen dengan 38 kerusi.
“DAP sangat kritikal terhadap PAS apabila PAS berhasrat untuk melaksanakan undang-undang hudud di Kelantan,” katanya.
Bukan itu sahaja, Mustafa turut meminta supaya pengundi Cina bersikap rasional mengenai hudud di Kelantan.
“Apa yang kami minta adalah layanan yang adil. Kerajaan Kelantan telah meluluskan perlaksanaan hudud sejak sebelum pembentukan Pakatan Rakyat,” ujarnya.
Mustafa sering disebut-sebut sebagai proksi ulama yang diterajui Hadi dalam kepimpinan PAS.
Cadang Hadi berundur
Pada Ahad lalu, bekas Exco Pemuda PAS Pusat, Zulhazmi Shariff dilaporkan Sinar Harianmencadangkan Hadi tidak dicalonkan sebagai Presiden pada pemilihan parti 2015-2017, sebaliknya lebih layak memegang jawatan Mursyidul Am PAS menggantikan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang uzur.
Zulhazmi yang juga peguam Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa) berkata, ini kerana Hadi menganggotai Majlis Syura Ulama yang merupakan badan tertinggi parti dan tidak wajar pada masa sama bertanding jawatan lebih rendah (presiden) bagi mengelak berlaku pertindihan kepentingan ketika menjalankan tugas.
“Saya cadangkan Abdul Hadi melepaskan jawatan Presiden dan mengambil alih tugas Nik Aziz yang dilihat semakin uzur.
“Ketokohan dan ilmu yang ada pada Abdul Hadi dan diiktiraf dunia sehingga dimartabatkan sebagai Naib Ketua Ulama Dunia, melayakkan beliau dilantik sebagai Mursyidul Am PAS,” katanya.
Sementara itu, Malaysiakini pula melaporkan PasMa mula mengorak langkah di luar kerangka PAS apabila 15 delegasi NGO itu yang diketuai presidenya, Datuk Phahrolrazi Mat Zawawi mengadakan kunjungan hormat ke pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng.
Agenda PasMa
Pertemuan antara Phahrolrazi yang juga bekas Exco PAS Kerajaan Negeri Kedah dengan Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP diadakan di Komtar, Pulau Pinang pagi Isnin.
“Kami bincangkan beberapa isu dan strategi kerjasama untuk pilihan raya umum ke-14 dengan Lim,” kata sumber yang tidak dinamakan kepada Malaysiakini.
Sumber juga mendakwa Phahrolrazi, dalam pertemuan itu, berkata pihaknya menimbangkan menjadi sebuah parti politik dan sedia untuk menjadi rakan baru DAP dan PKR.
“Kami juga memberi jaminan kepada Lim bahawa kami komited untuk kekal dalam Pakatan Rakyat.”
Dalam muktamar PAS di Kota Tinggi tahun lalu, Mat Sabu dilaporkan tempayanretak sebagai pemimpin kedua tertinggi PAS yang memberi lampu hijau terhadap PasMa.
“Bukan kita tolak, nak tubuh NGO tidak mengapa, bekerjasama dengan Pakatan Rakyat (PR),” kenyataan Mat Sabu dipetika ketika berucap merasmikan Muktamar Pemuda PAS ke-55 di Kota Tinggi, Johor.
Menurut blog pro PAS itu kenyataan Mat Sabu itu adalah satu pengiktirafan terhadap PasMa meskipun NGO itu sudah diketahui agendanya mahu menggulingkan Hadi sebagai Presiden PAS.
anwaraidc.com
No comments:
Post a Comment