Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan senang kepadamu hingga kamu mengikuti agama mereka. Katakanlah: “Sesungguhnya petunjuk Allah itulah petunjuk (yang sebenarnya)”. Dan sesungguhnya jika kamu mengikuti kemahuan mereka setelah pengetahuan datang kepadamu, maka Allah tidak lagi menjadi pelindung dan penolong bagimu. al-Baqarah (2) : 120

Thursday, December 11, 2014

AMERIKA DITOGELKAN OLEH ORANG AMERIKA SENDIRI!!!


NAIB Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden beberapa hari lepas telah mempersoalkan penggunaan Akta Hasutan yang disifatkan oleh beliau sebagai tidak mengikut lunas undang-undang lazim. 

Beliau juga mengaitkan kenyataan Twitter tersebut dengan ungkapan hubungan akrab Kuala Lumpur-Washington, seolah-olah cuba memberi persepsi bahawa AS sama sekali tidak akan berkompromi dengan negara yang tidak tahu menghormati undang-undang.

Pengerusi Jawatankuasa Risikan Dewan Senat Amerika Syarikat, Dianne Feinstein membincangkan laporan tentang teknik soal siasat CIA berunsur penyeksaan terhadap tahanan militan yang gagal mendapatkan maklumat penting mengenai strategi pengganas di Capitol Hill, Washington, kelmarin.

Anehnya pada waktu yang sama berlaku perbalahan di antara ahli politik AS mengenai laporan tindak-tanduk Agensi Perisikan Pusat (CIA) ketika melaksanakan soal siasat terhadap tahanan yang disyaki terlibat dalam aktiviti keganasan. 

Laporan yang lebih dikenali sebagai Laporan Penyeksaan CIA itu adalah hasil siasatan selama empat tahun oleh Jawatankuasa Senat Mengenai Perisikan yang menelan belanja hampir AS$40 juta mempunyai 6,000 halaman keseluruhannya.

Setelah bertelagah hampir lapan bulan, baharu semalam akhirnya laporan tersebut dihebahkan kepada umum tetapi dengan 400 halaman sahaja kerana kebanyakan maklumat yang dianggap sensitif telah disunting. Apa yang paling nyata daripada laporan tersebut adalah CIA telah menjalankan soal siasat melebihi kuasa yang dibenarkan sehingga melampaui batas kemanusiaan dan menyembunyikan aktiviti terkutuk itu daripada pengetahuan White House dan Kongres AS.

Apa yang pasti adalah tindakan luar batasan CIA tersebut sebenarnya mendapat restu dan sokongan daripada segelintir pentadbir White House ketika era George W. Bush menjadi Presiden AS di antara 2002 hingga 2008. Tetapi sebaik sahaja Barack Obama dilantik Presiden pada tahun berikutnya, beliau terus mengeluarkan arahan menghentikan aktiviti penyeksaan CIA.

Paling mengaibkan lagi ialah AS telah menandatangani Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai penyeksaan tahanan ketika era Presiden Ronald Reagan pada 1988. Pada 1994, Presi­den Bill Clinton telah mengesahkan konvensyen tersebut yang memberi maksud bahawa AS tertakluk secara perundangan jika mengingkarinya.

Dalam reaksi awal terhadap laporan tersebut, Bush masih mempertahankan tingkah laku CIA dengan menggelar mereka sebagai pejuang sejati yang mempertahankan kedaulatan AS. Sementara Biden pula berpendapat hebahan laporan tersebut merupakan satu penghormatan kepada Amerika kerana sanggup mengakui kesilapan. Tetapi yang tidak enak didengar ialah Biden turut menyatakan semua negara tetap ada melakukan kesilapan yang serupa tetapi tidak mahu mengakuinya. Biden seolah-olah cuba menghalalkan perbuatan CIA dengan persepsi bahawa perlakuan tersebut adalah sesuatu yang lazim.

Perlakuan CIA yang menyeksa tahanan ketika sesi soal siasat tidak menggambarkan AS yang sering memperjuangkan demokrasi tulen dan sentiasa memberi tekanan kepada negara yang kononnya tidak mengamalkan demokrasi acuan Amerika. Twitter Biden mengenai Akta Hasutan adalah sebahagian modus operandi tersebut yang cuba memberi persepsi bahawa pengamalan akta tersebut berlawanan dengan aspirasi demokrasi.

Tetapi semua tahu niat tersirat Twitter tersebut mempunyai agenda yang tiada kena-mengena dengan pengamalan demokrasi. Hal ini kerana kenyataan dalam Twitter beliau mengenai Akta Hasutan disusuli pula dengan tweet yang menggesa Kuala Lumpur mengambil langkah betul dalam soal keputusan kes rayuan seorang ahli politik tempatan yang akan diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan. Kenyataan Biden tersebut seolah-olah cuba menggambarkan kerajaan Malaysia mempunyai pengaruh terhadap sistem keadilan negara.
Apabila Biden dengan bangga menyatakan bahawa hanya Amerika yang sanggup mengakui kesilapan yang telah dilakukan apabila menyiarkan laporan CIA kepada umum, kebenaran kenyataan Biden itu sebenarnya boleh dipersoalkan. Hal ini kerana Jawatankuasa Senat yang menghasilkan laporan tersebut pada ketika ini dikuasai oleh Parti Demokrat.

Tetapi bermula tahun hadapan, kedua-dua Dewan Perwakilan dan Senat akan dikuasai oleh Parti Republikan bersandarkan keputusan pemilihan perwakilan yang baharu berakhir pada November lepas. Jika laporan tersebut tidak diumumkan pada minggu ini, besar kemungkinan ahli politik Republikan yang menguasai Kongres AS tidak akan membenarkan laporan tersebut disebarkan.

Hal ini kerana keaiban yang terpalit disebabkan tindak-tanduk CIA berlaku ketika era pemerintahan Bush dari Parti Republikan. Sudah pasti ahli politik Republikan tidak mahu memberi gambaran kepada rakyat Amerika bahawa kepimpinan tertinggi mereka merelakan perlakuan kejam sedemikian rupa.

Wakil PBB mengenai keganasan iaitu Ben Emmerson telah mengesyorkan supaya mereka yang bertanggungjawab secara langsung dalam perlakuan CIA itu dihadapkan ke mahkamah untuk memastikan keadilan dilaksanakan kerana AS menjunjung tinggi konsep keadilan kepada mangsa kekejaman. Menurut Emmerson lagi, individu tersebut bukan sahaja dalam kalangan CIA tetapi juga golongan individu dalam pentadbiran era Bush.

Tetapi masyarakat antarabangsa agak sangsi bahawa AS akan mengambil tindakan susulan kerana setakat ini hanya seorang bekas staf CIA iaitu John Kiriakou yang sedang menjalani hukuman penjara. Kesalahan beliau bukan kerana menyeksa tahanan tetapi kerana membocorkan rahsia teknik penyeksaan CIA kepada media.


3 comments:

Anonymous said...

Pak Bidin cakap tak serupa bikin...

Anonymous said...

Israel tak ikut undang2 tak nak tweet?

abdhakim said...

Salam tuan Admin,saya Abdul Hakim ingin menyatakan keluhan beberapa rakan yang bertugas sebagai Pengawal Keselamatan.kerisauan mereka adalah berkaitan peraturan yang dikuatkuasakan oleh (PPD) pejabat pendidikan daerah berkaitan waktu bertugas dari 7pagi-7malam kepada 8pagi-8malam.perkara ini tidak menimbulkan masaalah bagi petugas yang masih bujang,tetapi bagi mereka yang mempunyai anak yang bersekolah sudah tentu menimbulkan masaalah sekiranya menghantar anak selepas jam 8pagi,terutama bagi pengawal keselamatan yang bertugas di sekolah Menengah,SK,SJKC,SJKTmahupun sekolah mubaligh.Mohon sekiranya tuan admin dapat panjangkan perkara ini dalam blog tuan.Untuk info boleh hubungi Abg rosli yang bertugas di sekolah Notre Dame jln gajah berang Melaka di 012 9346020.kami juga bersedi datang ke tempat tuan sekiranya diperlukan.Terima Kasih wassalam. Abdhakim786@yahoo.com.my

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Portal Berita Semasa