Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan senang kepadamu hingga kamu mengikuti agama mereka. Katakanlah: “Sesungguhnya petunjuk Allah itulah petunjuk (yang sebenarnya)”. Dan sesungguhnya jika kamu mengikuti kemahuan mereka setelah pengetahuan datang kepadamu, maka Allah tidak lagi menjadi pelindung dan penolong bagimu. al-Baqarah (2) : 120

Monday, August 25, 2014

MAMPUKAH LELAKI TUA INI BANTU KEMBALIKAN KEADILAN UNTUK MALAYSIA???


PADA 17 Julai 2014 lalu, sewaktu umat Islam di negara ini sedang bersiap sedia untuk bersahur pada malam 19 Ramadan, kita semua digemparkan dengan berita nahas pesawat MH17, yang ditembak jatuh oleh penjenayah yang tidak diketahui di Donetsk, Ukraine timur, mengorbankan semua 298 penumpang termasuk 15 anak kapalnya.

Selepas 37 hari kemudian, pada pagi Jumaat lalu, 20 jenazah pertama di kalangan anak kapal dan penumpang pesawat malang itu dibawa pulang oleh sebuah pesawat MAS 747 yang lain. Negara diisytiharkan berkabung bagi menghormati ketibaan kumpulan pertama jenazah tersebut. Jenazah mangsa-mangsa lain akan dibawa pulang secara berperingkat-peringkat selepas ini.

Walaupun harapan masih tinggi semua baki jenazah akan dapat dikesan dan dibawa pulang, kemungkinan tetap ada bahawa tidak semua akan dapat dikesan di tapak pesawat MAS itu jatuh, kerana pada masa ini kawasan berkenaan masih lagi menjadi medan pertempuran antara tentera kerajaan Ukraine dan tentera pemisah yang disokong oleh kerajaan Rusia.

Kita bersyukur disebabkan kecekalan dan kebijaksanaan "diplomasi senyap" Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengadakan rundingan secara sulit dengan ketua tentera pemisah tempoh hari, pegawai-pegawai kita dibenarkan memasuki kawasan berbahaya itu bagi tujuan mendapatkan kotak hitam pesawat, dan mendapatkan kerjasama mereka untuk mengesan dan mengambil balik jenazah penumpang dan anak kapalnya.

Ekoran itu, pada 21 Julai lalu, satu pasukan 68 pegawai polis kita tiba di Kiev untuk memulakan tugas mereka, bersama ahli pasukan penyiasat lain dari Belanda dan Australia.

Tugas utama mereka adalah memasuki kawasan nahas pesawat berkenaan untuk mengumpulkan bahan bukti bagi maksud memulakan prosiding jenayah terhadap pihak yang bertanggungjawab.

Pada Khamis lalu, Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail berkata di The Hague, Belanda bahawa Malaysia akan dapat "cukup keterangan" (have enough evidence) untuk memulakan prosiding jenayah terhadap penjenayah yang menembak jatuh pesawat MH17 itu.

Jelas beliau, walaupun pasukan penyiasat tidak begitu yakin akan dapat mengumpul semua mayat yang ada di Donetsk itu, ini tidak akan menimbulkan apa-apa masalah kepada pendakwaan.

"Satu mayat sahaja dari 227 beg mayat yang dihantar balik ke Belanda, disokong dengan keterangan yang kuat sudah mencukupi,'' tambahnya.

Abdul Gani turut menekankan bahawa Malaysia boleh memulakan prosiding jenayah di negara kita terhadap mereka yang "dikenalpasti" menembak jatuh pesawat MH17 itu kerana pesawat malang itu didaftarkan di Malaysia dan 43 penumpang pesawat (termasuk 15 anak kapal) yang terbunuh itu adalah warga negara kita.

Dua fakta penting itu menjadikan asas kukuh bagi negara ini mendakwa mereka di mahkamah kita, seperti kes-kes jenayah lain.

Apakah halangan atau rintangan yang pasti kita akan hadapi dalam kerja sukar mengheret penjenayah ke muka pengadilan? Di bawah ini disebutkan tiga halangan besar.

Pertama, kehadiran tertuduh - Dapatkah kita nanti membawa tertuduh ke negara kita ini untuk dibicarakan? Kita perlu ingat bahawa Perlembagaan Rusia menghalang warga negara itu diekstradisi ke negara lain. Sekiranya suspek (tentera pemisah yang disyaki menembak jatuh MH 17) itu telah diberi perlindungan di Rusia, pastinya sukar sekali bagi mereka dibawa ke negara ini.

Walaupun undang-undang antarabangsa mengizinkan satu prosiding jenayah itu dijalankan in absentia (tanpa kehadiran tertuduh), pastinya ini bukan prosedur terbaik yang diniatkan oleh Peguam Negara kita. Kita mahukan semua tertuduh yang terlibat hadir sendiri dan menjawab pertuduhan ke atas mereka.

Kedua - kecukupan keterangan untuk sabitan. Mampukah kita mengemukakan keterangan yang mencukupi untuk mendapatkan sabitan?

Benar, kita ada bukti yang cukup tentang jenayah yang berlaku. Tapi apakah kita punyai keterangan yang kukuh menunjukkan siapa yang menembak jatuh pesawat MH17 itu? Bolehkah kita dapat keterangan secara langsung (direct evidence) dari saksi-saksi yang melihat bagaimana pesawat itu ditembak jatuh?

Benar, kita ada keterangan forensik yang menunjukkan pesawat itu meletup disebabkan ditembak jatuh. Apakah kita mampu mengemukakan keterangan saksi-saksi yang jelas mengaitkan tindakan menembak itu dengan penembaknya?

Kita mesti dapat membuktikan kepada mahkamah satu rantaian keterangan yang kukuh (mengaitkan letupan pesawat dengan peluru berpandu, kemudian dengan orang yang melancarnya dari bumi atau udara pada masa dan ketika pesawat itu ditembak jatuh) tanpa putus-putus dan tanpa ragu-ragu.

Ketiga - Kehadiran saksi. Sementara sesiapa sahaja di kalangan ahli pasukan penyiasat antarabangsa boleh dipanggil memberi keterangan pakar (expert evidence) mengenai perbuatan menembak jatuh pesawat itu (isu "bagaimana jenayah itu dilakukan"), pasukan pendakwa perlukan saksi-saksi yang boleh menghubungkaitkan perbuatan jenayah itu dengan tertuduh (isu "siapa sebenarnya yang melakukan jenayah itu").

Saksi-saksi ini mesti mampu meyakinkan mahkamah melampaui keraguan munasabah apakah senjata sebenarnya yang digunakan untuk menembak jatuh pesawat MH17 itu - peluru berpandu dari pelancarnya bumi atau peluru berpandu dari jet pejuang di udara? Bagaimanakah ia dilakukan? Siapa yang melakukannya? Bila ia dilakukannya?

Dua elemen keadilan - hukuman serta pampasan Keadilan untuk MH17 bukan hanya setakat menghukum penjenayah. Konsep "keadilan bagi mangsa" di sini merangkumi dua elemen penting - hukuman dan pampasan.

Selain memulakan prosiding jenayah terhadap penjenayah, kerja mesti juga dilakukan untuk mendapatkan pampasan bagi ahli keluarga mangsa. Mengambil kira pengalaman silam, kerja kedua ini mungkin mengambil masa beberapa tahun.

Pada 3 Julai 1988, kapal laut Amerika USS Vincennes telah menembak jatuh sebuah pesawat awam udara Iran di Teluk Parsi, kerana disangkakan pesawat awam itu adalah jet pejuang Iran. Dalam insiden itu, semua 290 penumpang pesawat udara itu terkorban.

Keluarga mangsa terpaksa menunggu selama 8 tahun. Pada 1996, sewaktu Amerika Syarikat (AS) ditadbir oleh Presiden Bill Clinton, negara itu akhirnya memohon maaf kepada kerajaan Iran berhubung tragedi itu. AS membayar pampasan sebanyak AS$131.8 juta. Sebahagian darinya, AS$61.8 juta diserahkan kepada ahli keluarga mangsa.

Ditanya wartawan kenapa penjenayah nahas MH17 itu tidak diheret ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (International Criminal Court, ICC), Peguam Negara menjawab, ICC tidak ada bidang kuasa menjalankan pendakwaan kes itu kerana Malaysia dan Belanda sudah pun menyatakan kesanggupan masing-masing untuk mengambil tindakan terhadap pihak yang bertanggungjawab.

Mengikut undang-undang antarabangsa, hanya negara yang telah meratifikasi Statute of Rome (yang menubuhkan ICC) tertakluk kepada ICC. Hanya warga negara yang telah menyertai statut itu yang boleh diheret ke ICC.

Mengikut Wikipedia, pada masa ini hanya 122 negara menyertai statut tersebut. Setakat ini, Ukraine dan Rusia tidak tertakluk kepada bidangkuasa ICC. Pada masa ini, bidang kuasa ICC adalah mendengar kes-kes jenayah besar seperti genosid (genocide), jenayah terhadap kemanusiaan dan jenayah perang. Mulai 2017, ICC akan mendengar kes-kes aggression.

Ahli keluarga mangsa nahas MH17 perlu faham bahawa mencari keadilan bagi nahas MH17 bukan satu kerja mudah. Ia amat sukar sekali, tetapi bukan suatu yang mustahil.


No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Portal Berita Semasa