CERITA harta karun yang tersimpan di Pulau Nangka, Melaka bukan baharu. Diperturunkan dari satu generasi ke satu generasi.
Difahamkan, antara yang terlibat dalam pencariannya ialah seorang anggota polis yang ketika itu berusia 23 tahun. Kini dia berusia 50 tahun. Usaha mengesan harta karun di Pulau Nangka, katanya, dilakukan secara rahsia selama berpuluh-puluh tahun. Namun kerajaan negeri sekarang mahukan pencarian khazanah berharga itu dibuat secara terbuka.
Ketua Menterinya, Datuk Seri Idris Haron yang mahukan pencarian harta karun memasuki fasa baharu itu, pada 7 Mei lalu memasuki usia setahun mengetuai kerajaan negeri.
Idris yang juga menginjak umur 48 tahun kelmarin (13 Mei) percaya ukuran untuk menilai prestasinya dalam setahun ini sebagai Ketua Menteri boleh datang daripada sesiapa sahaja. Yang menilainya itu boleh merupakan ukuran kualitatif atau kuantitatif - ukuran secara berfakta atau emosi. Namun bagi Idris, semua ini mesti tidak lari dari usaha untuk menambah baik kesejahteraan rakyat Melaka, tambah baik kemakmuran ekonomi dan kualiti sehingga mencapai perkhidmatan berintegriti.
Boleh jadi kita popular atau sebaliknya.Tapi bunyinya macam tak popular kepada kumpulan yang lazimnya mendapat perhatian sebelum ini. Dulu dapat perhatian, kini tertekan. Bila tertekan, dia marah. Suspense, hancur kita dan rosak Melaka, kata mereka. Sebab itu siapa tak boleh bekerja dengan saya, pintu sentiasa luas terbuka," kata Idris yang masih terngiang-giang di telinga penulis semasa beliau mula-mula menyandang jawatan Ketua Menteri.
Idris rela tidak popular daripada tidak efektif. Itu membayangkan era pentadbirannya yang cukup tegas dengan membayangkan keseriusan yang meletakkan kepentingan rakyat mengatasi segalanya.
Pernah dalam satu majlis beliau mendapat tepukan gemuruh daripada khalayak yang hadir. Bukan kerana beliau seorang Ketua Menteri tetapi kerana satu kisah benar yang dilaluinya. Ia berkenaan gelagat seorang penyokong partinya yang memiliki sebuah restoran. Oleh kerana hubungan politik, restorannya yang kotor dengan tikus berkeliaran di sana sini, masih tetap dia dibela oleh pihak tertentu atas alasan dia penyokong parti. Cuma, pendirian Idris apabila berdepan senario sebegitu, beliau lebih rela mengorbankan penyokongnya itu asalkan ribuan rakyat bersama-samanya untuk mengekalkan kebersihan restoran-restoran di Melaka.
Idris dikatakan bergerak secara berstruktur, sistematik dan berstrategi. Mungkin ada pihak akan mengatakan beliau sukar ditemui atau sukar difahami. Tetapi seperti mana diluahkan kepada penulis tidak lama dulu bahawa beliau tetap yakin apa yang dilakukannya demi mencapai apa yang disasarkan dalam spektrum termasuk politik, ekonomi dan sosial.
Tindakannya melancarkan kempen Dont Mess With Malacca" atau Jangan Kotorkan Melaka dibuat semata-mata untuk memastikan Melaka bersih bukan setakat 100 tahun tetapi beratus-ratus tahun akan datang. Apa dicita-citakannya ialah kalau orang Melaka ada sampah di tangan, dia lebih rela kotorkan tangannya atau koceknya daripada membuang merata-rata. Kerana itu juga, Idris mengarahkan pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri mengenakan saman ekor atau kompaun terhadap mereka yang membuang sampah sesuka hati dari kenderaan.
Cuma yang penulis amati, tiada pihak membandingkan pentadbiran Idris dengan ketua menteri sebelumnya, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam.
Masing-masing ada gaya tersendiri. Idris meminati sukan badminton dan golf selain gemar berkuda dan motosikal kuasa tinggi manakala Mohd. Ali berjoging.
Sesuatu yang membanggakan adalah Melaka tidak ada ketua pembangkang dalam tempoh sekurang-kurangnya setahun ini. Walaupun DAP memiliki lapan daripada 28 kerusi di Melaka, nampaknya mereka masih tercari-cari calon yang sesuai.
Ketua pembangkang sebelum ini, Goh Leong San oleh kerana keikhlasannya memuji Idris dengan mengatakan beliau seorang yang berpelajaran, banyak membaca dan yakin Melaka menjadi lebih baik di bawah pentadbirannya, telah dikritik hebat oleh rakan-rakan DAPnya sehingga terpaksa meletak jawatan Oktober tahun lalu.
Malangnya, ketiadaan ketua pembangkang mencetuskan kecelaruan di Dewan Undangan Negeri apabila mereka tidak dapat menentukan soalan-soalan yang diajukan kepada dewan agar tidak bertindih.
Pada sesi lalu sahaja, sejumlah enam soalan diserah kepada DUN tetapi semuanya bertindan. Ini menunjukkan tiada integrasi sesama pembangkang.
Idris yang sempat ditemui penulis di ibu negara baru-baru ini cuma memberitahu, beliau berpegang kepada buat kerja kerana Allah - dengan mengutamakan keberkatan, kemudian barulah akan datang ketepatan dan kecepatan.
Apalah makna jika kita cepat dan tepat, tetapi tak ada berkat. Di mana keberkatan, kalau kita tidak tepat dan cepat. Setiap kerja mesti ada ketekunan, ketulusan dan kerajinan serta restu Allah," kata Idris.--UM
No comments:
Post a Comment