SIAPA sebenarnya yang bertanding, Ramkarpal atau mendiang ayahnya, Karpal Singh?
Persoalan itu sudah menjadi perkara biasa dalam kalangan pengundi di Bukit Gelugor menjelang hari pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen berkenaan Ahad ini.
Tanda tanya mereka itu ada asasnya kerana hampir keseluruhan poster, banting dan risalah kempen DAP menggunakan gambar dan nama Karpal.
Slogan I Am Karpal Singh yang disertakan dengan gambar mendiang boleh ditemukan di kebanyakan tiang-tiang lampu di kawasan Parlimen Bukit Gelugor.
Malah, pemimpin-pemimpin DAP juga begitu ghairah menjaja nama mendiang bekas pengerusi parti itu dalam setiap ceramah serta kempen mereka sehingga menenggelamkan calon sebenar, Ramkarpal.
Melihat kepada taktik DAP itu, ramai yang membuat kesimpulan parti berkenaan terlalu bergantung kepada elemen simpati untuk meraih sokongan pengundi.
Menghidupkan semula mendiang Karpal di poster, banting dan risalah kempen dengan mudah menarik semula ingatan pengundi terhadap kemalangan yang meragut nyawa Karpal pertengahan bulan lalu.
Sesiapa pun akan bersimpati apatah lagi kehilangan Karpal berlaku secara mengejut dan masih sukar diterima sebahagian besar pengundi-pengundinya sehingga kini.
Maka, tidak hairanlah DAP begitu berkeyakinan mereka mampu mendapatkan majoriti lebih tinggi dalam PRK berkenaan berbanding lebih 41,000 majoriti yang diperoleh Karpal dalam pilihan raya umum lalu.
Calon sebenar DAP, Ramkarpal sebenarnya cukup bertuah kerana mewarisi kekuasaan politik daripada bapanya yang sudah cukup tersohor dengan gelaran Harimau Jelutong.
Tanpa usaha berlipat kali ganda sekali pun, kerusi Parlimen itu sudah hampir pasti menjadi miliknya. Seharusnya, elemen politik simpati tidak dipilih sama sekali dalam strategi berkempen parti itu.
Sama ada disedari atau sebaliknya, apa yang dilakukan parti itu adalah sesuatu yang tidak adil kepada Ramkarpal.
Taktik itu seolah-olah menafikan kredibiliti dan kemampuan anak ketiga Karpal ini untuk membuktikan kemampuannya dalam berpolitik.
Situasi ini juga tidak membantu beliau meningkatkan imejnya sebagai ahli politik yang kini semakin diragui kerana dikatakan terlalu baru menjadi ahli DAP tetapi sudah diberi kepercayaan menjadi wakil rakyat.
Sesiapa pun boleh memahami pendirian DAP yang kononnya mahu mengangkat perjuangan Karpal menerusi strategi itu.
Tetapi mereka terlupa strategi itu juga boleh memakan diri kerana pengundi sedar yang akan mewakili mereka kelak adalah Ramkarpal, bukan sejarah perjuangan mendiang bapanya.
Pengundi memerlukan jaminan apakah yang mampu disumbangkan Ramkarpal terhadap mereka atas faktor peribadi, bukan hanya bergantung kepada mendiang bapanya, Karpal atau parti politiknya DAP semata-mata.
Namun, sehingga ke hari ini, perkara itu cukup sukar dilihat kerana Ramkarpal dilihat selesa bergerak di sebalik bayang-bayang mendiang bapanya.
No comments:
Post a Comment