APABILA Dewan Ulama Pas membuat keputusan mengemukakan usul kepada Majlis Syura Ulama dan Jawatankuasa Pas Pusat untuk membatalkan tahaluf siyasi dengan DAP, ramai yang memandang sinis, malah ada yang menyifatkan ia sebagai sandiwara kelas tertinggi.
Bagaimanapun, sepanjang mengikuti perkembangan politik Pas khususnya dalam soal hubungan dengan DAP, penulis sentiasa yakin bahawa usul itu bukanlah satu sandiwara atau wayang politik. Ini memandangkan yang mengemukakan usul itu bukanlah daripada kelompok Anwarinas tetapi daripada golongan ulama yang sememangnya sudah sekian lama menyimpan perasaan terhadap keceluparan dan kebiadaban DAP.
Malah sebelum berlangsungnya pemilihan parti itu di Kuala Selangor pada bulan lalu, penulis sudah mendapat maklumat daripada kelompok ulama bahawa muktamar kali ini akan dijadikan medan kebangkitan kumpulan ulama untuk kembali menguasai Pas dan sekaligus mengajar DAP bagaimana mahu menjadi sekutu yang baik.
Dan kelmarin ternyata, golongan ulama Pas menunjukkan ketegasannya apabila meluluskan usul Dewan Ulama Pas Pusat untuk membatalkan tahaluf siyasi dengan DAP tetapi mengekalkan tahaluf siyasi dengan PKR.
Ketika mengumumkan perkara itu, Setiausaha Majlis Syura Ulama, Datuk Dr. Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, keputusan tersebut dibuat kerana kesal dengan tindakan provokasi berterusan DAP.
“Majlis Syura Ulama kesal dengan tindakan-tindakan provokasi berterusan dan keputusan DAP yang mengecam dan melanggar semangat kerjasama Pakatan Rakyat, serta campur tangan dalam akidah, dasar dan matlamat Pas. Oleh itu, hubungan tahaluf siasi dengan DAP terbatal,” tegasnya.
Keputusan itu juga sekali gus bermakna Pas tidak mempunyai apa-apa lagi hubungan politik dengan DAP yang semua orang tahu tidak pernah menghormati dasar perjuangan Pas yang berteraskan Islam.
Malah ia juga memenuhi kehendak ahli-ahli di peringkat akar umbi yang sekian lama merasakan maruah Pas telah diperkotak-katikkan oleh DAP.
“Keputusan ini melegakan kami kerana ia membuktikan dalam soal maruah Pas tidak akan bertolak ansur dan Dewan Ulama berjaya menebus maruah Pas yang selama ini boleh dianggap diinjak-injak oleh DAP,” kata seorang pemimpin muda Pas ketika dihubungi.
Walaupun keputusan Pas itu akan menimbulkan persoalan mengenai kedudukan kerajaan PKR di Selangor memandangkan DAP turut berada di dalamnya, namun tiada apa yang aneh mengenai perkara tersebut.
Masih ingatkah kita, pada tahun 90-an, Parti Melayu Semangat 46 (S46) menjalin kerjasama dengan dua parti berbeza iaitu mewujudkan Angkatan Perpaduan Ummah (APU) dengan Pas dan Barisan Alternatif dengan DAP? Kalaulah ketika itu ditakdirkan gabungan pembangkang menang sudah pasti pentadbiran negara akan menyaksikan satu gabungan kerajaan yang pelik, apabila di dalamnya ada dua parti yang tidak mempunyai hubungan politik tetapi bersama-sama menubuhkan kerajaan.
Dalam kes di Selangor, segala-galanya terserah kepada Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali untuk membuat keputusan, apakah tunduk kepada desakan DAP supaya menyingkirkan Pas atau meneruskan pentadbiran kerajaan sedia ada dengan memastikan tiada konflik yang berlaku antara Pas dan DAP.
Kenapakah perlu hanya Pas diberi tekanan meninggalkan kerajaan Selangor sedangkan punca segala masalah sehingga tercetus konflik dalam pakatan pembangkang adalah disebabkan sikap biadab DAP? Kalaulah DAP merasakan mereka ‘taiko besar’ dalam pakatan dan boleh hidup tanpa bantuan Pas maka mereka yang perlu meninggalkan kerajaan Selangor.
Penulis bukanlah ingin menyebelahi mana-mana parti dalam soal ini, tetapi berpendapat Pas juga mempunyai hak dan kuasa untuk mempertahankan maruah mereka serta membuat pendirian politik secara bebas tanpa perlu tunduk kepada mana-mana pihak.
Perlu diingat, Pas tidak memerlukan sokongan DAP dalam survival politiknya. Majoriti kawasan yang ditandingi oleh Pas dalam pilihan raya adalah majoriti pengundinya adalah orang Melayu. Tetapi yang amat mengharapkan bantuan Pas adalah PKR. Jika PKR lemah, DAP pun akan turut lemah kerana DAP tidak mempunyai kekuatan politik untuk menjadi parti dominan di Selangor dan negeri-negeri lain kecuali di Pulau Pinang.
Sejarah politik sudah membuktikan, DAP hanya berupaya memerintah sendirian di Pulau Pinang tetapi mereka tidak akan mampu menguasai negeri-negeri lain kerana tidak mempunyai sokongan politik yang mencukupi.
DAP sememangnya menyedari keadaan itu, sebab itulah mereka mempertingkatkan usaha menarik orang Melayu khususnya generasi mudah menyertai parti itu. Perancangan politik mereka ialah apabila pilihan raya nanti ahli politik Melayu akan diletakkan bertanding mewakili parti itu khususnya di Perak dan Selangor. Jika nasib mereka baik, parti itu tidak perlu mengulangi sejarah Perak selepas pilihan raya umum 2008, yang mana Pas hanya memegang jawatan Menteri Besar tetapi ‘tongkat kuasa’ berada di tangan DAP.
Apapun sudah pastilah Majlis Syura Ulama sudah membuat perkiraan politik yang mendalam sebelum membuat keputusan mengenepikan kerjasama dengan DAP. Ini seperti kata Dr.Nik Muhammad Zawawi, “Pas terus istiqamah dengan prinsip Islam sebagai rahmat untuk semua yang menegakkan keadilan dan kesejahteraan untuk semua kaum.”
Yang akan berada dalam tidak keruan ialah puak-puak Anwarinas yang majoritinya sudah tersingkir daripada memegang jawatan penting dalam Pas. Kelompok inilah yang dijangka membuat gerakan politik bagi menjalinkan kerjasama DAP termasuklah ura-ura penubuhan sebuah parti baru yang disebut-sebut sebagai ‘Democratic Islamic Party’.
Namun kepemimpinan Pas tidak akan khuatir dengan ‘ancaman’ tersebut kerana kalaulah perpecahan berlaku dalam parti itu sehingga terwujudnya parti serpihan Pas ia sama sekali tidak akan menggugat Pas, memandangkan parti tersebut sudah pernah menempuhnya.
Tambahan pula, ahli-ahli Pas sudah pasti matang untuk membuat keputusan sama ada terus bersama golongan ulama yang menebus kembali maruah parti itu atau kelompok yang bersedia menggadaikan maruah demi merebut sebuah kekuasaan.
f
No comments:
Post a Comment