Setelah beberapa hari reda bahang kehangatan pemilihan PAS baru-baru ini, PAS dilihat sedang menyusun kembali “batu-bata” yang runtuh akibat pertembungan golongan pro-ulama dengan golongan yang disifatkan sebagai “syaitan dalam jemaah”.
Sedang menyusun kembali “batu-bata” di dinding PAS yang “rompong” akibat “bedilan-bedilan” para perwakilan PAS tempohari, kita dapat melihat beberapa ketul “batu bata” yang “tersesat” menjatuhkan diri sendiri dan ada pula yang enggan berada di “dinding” yang disusun baru.
Terluka, kecewa, geram, marah, mengamuk dan perasaan bercampur baur. Itulah berlaku di dalam parti itu sekarang. “Jampi”lah sampai bersembur air liur pun, hati mereka rajuk tegar enggan dipujuk. Buruk benar orang tua-tua merajuk, kan?
Pada pandangan saya, pemilihan PAS kali ini bukan saja berjaya menempatkan kembali kepimpinan ulama PAS di dalam parti tersebut, sekaligus telah menyingkirkan puak-puak pro-DAP dan PKR yang menjadi “virus” di dalam PAS.
Meskipun begitu, tidak juga dinafikan bahawa beberapa pemimpin profesional yang “neutral” di dalam PAS turut “terkorban”, tidak dipilih perwakilan PAS yang hadir dari segenap pelosok negeri itu. Ramai yang “gugur” meskipun mereka tidak pro-DAP mahupun PKR.
Hasilnya, desas-desus di peringkat akar umbi di hampir semua negeri sedang bingung, berpecah-belah, tidak berpuas hati, malah ramai juga yang seolah hilang rasa hormat pada rasional pemikiran kepimpinan PAS, khususnya Dewan Ulama yang mengeluarkan “chai”.
Pada saya, mungkin itulah jadinya apabila membuat pilihan dengan hanya berpandukan hati berbaur emosi yang tebal, tanpa menggunakan akal fikiran yang dikurniakan Allah SWT sewajarnya ketika memangkah kertas undi.
Rasanya, mungkin mereka yang mengundi berdasarkan emosi perasaan benci terhadap “syaitan dalam jemaah” itu telah mengakibatkan kedudukan dalaman PAS yang masih “fragile” dan kurang stabil selepas muktamar berakhir.
Paling jelas, Presiden PasMa, Datuk Phahrolrazi Zawawi sudah mengumumkan bahawa dia akan menubuhkan sebuah parti baru selepas Aidilfitri ini yang bersifat pro-Pakatan Haram dan mahu menjalin hubungan, bergabung dengan DAP dan PKR sebagai sebuah pakatan.
Apatah lagi dengan kenyataan reaksi para pemimpin DAP dan PKR sebelum ini yang dilihat “sangat mesra” dengan PasMa berbanding PAS, dijangka parti itu akan dapat bergabung dengan mudah dengan dua parti pembangkang berkenaan.
Saya tidak hairan jika pemimpin PAS seperti Mat Sabu, Khalid Samad, Ahmad Awang, Hanipa Maidin atau Husam Musa keluar parti dan mengepalai parti baru tersebut. Kerana mungkin mereka itulah yang dimaksudkan sebagai “syaitan dalam jemaah” sebelum ini.
Namun saya agak ralat jika beberapa pemimpin profesional yang sebelum ini begitu setia dan memberikan sokongan padu pada golongan ulama PAS, tiba-tiba beralih arah menyertai parti tersebut gara-gara tidak terpilih di dalam barisan kepimpinan PAS, sekaligus merasakan diri mereka juga dianggap sebagai “syaitan dalam jemaah”.
Desas-desus mula kedengaran begitu di peringkat akar umbi yang mengatakan terdapat pemimpin-pemimpin seperti itu yang sudah tawar hati dengan PAS dan sedang memikirkan dengan serius untuk menyertai parti baru itu atau tidak.
Pada pandangan saya, sekiranya mereka bertindak keluar dari PAS dan menyertai parti yang pelopori Phahrolrazi itu, saya yakin bahawa yang tinggal di dalam PAS hanyalah golongan lebai-lebai kadok yang merasakan diri mereka lebih Islam dari umat Islam yang lain!
Ekoran itu, timbul persoalan di luar pemikiran saya, siapakah “syaitan dalam jemaah” yang dimaksudkan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi sebelum ini. Siapakah yang merosakkan PAS sebenarnya? Golongan pro-ulama yang emosional atau siapa sebenarnya? Wallahua’lam.
No comments:
Post a Comment