KUALA LUMPUR, 4 April (Bernama) -- Sebuah helikopter, yang membawa enam orang termasuk juruterbangnya, terhempas di Jalan Sungai Lalang, Kampung Pasir Baru, Semenyih dekat sini, petang ini.
Jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Kajang berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 4.57 petang tadi.
"Maklumat awal yang diterima menyatakan helikopter itu terhempas dan terbakar pada 4.55 petang ini," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Beliau berkata sebanyak tiga pasukan Bomba dan Penyelamat dari Balai Bomba Kajang, Bangi dan Semenyih diarah ke lokasi kejadian.
Bomba juga belum mengenal pasti jenis helikopter itu.
Sementara itu, jurucakap Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) berkata tiga mayat nahas helikopter itu telah ditemui, dan pihak berkuasa sedang mencari tiga lagi penumpang lain.
Jurucakap pasukan penyelamat Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) berkata kemalangan itu berlaku ketika hujan dan angin kencang.
"Unit Forensik polis akan melakukan siasatan lanjut bagi mengenal pasti mangsa nahas itu," katanya kepada Bernama. -- BERNAMA
No comments:
Post a Comment