BUKU ini ditulis bagi menjawab segala kemusykilan yang timbul berhubung pelaksanaan hukum hudud di negara yang berbilang kaum dan agama seperti Malaysia.
Langkah ini dibuat kerana wujud salah faham termasuk di kalangan orang Islam sendiri terhadap undang-undang jenayah berat berkenaan sehingga timbul tanggapan hukuman yang dikenakan kejam dan ketinggalan zaman.
Cukup menarik buku yang ditulis sekumpulan 10 pensyarah Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (Kias), Kelantan diketuai Dr. Mohd. Azhar Abdullah disampaikan dalam bentuk soal jawab dengan penjelasan yang ringkas dan mudah difahami.
Soalan-soalan dalam buku ini sebenarnya diambil daripada kemusykilan yang ditimbulkan pelbagai pihak dalam akhbar, televisyen, Internet dan ceramah termasuk yang ditimbulkan oleh bukan Islam.
Apabila membicarakan tentang hukum hudud ia melibatkan tujuh kesalahan iaitu zina, qadzaf (membuat tuduhan zina tanpa bukti), minum arak, mencuri, merompak, bughah (pemberontakan) dan murtad yang akan dilaksanakan terhadap orang Islam sahaja.
Isu pertama yang dijawab dalam buku ini ialah hukuman sebat kepada penzina belum berkahwin sebanyak 100 kali yang dianggap sangat kejam berbanding diperuntukkan dalam undang-undang sedia ada yang hanya membenarkan maksimum 20 sebatan.
Tuduhan dibuat kerana pihak berkenaan tidak memahami kaedah sebatan hudud yang bersifat sederhana dan tidak mencederakan sehingga membolehkan pesalah berjalan dan melaksanakan aktiviti harian setelah menjalani hukuman.
Ini berbeza dengan kaedah sebatan yang dilaksanakan di Malaysia sekarang yang akan menyebabkan kulit pada tempat pertemuan dengan rotan pecah dan berlumuran darah sehingga menyebabkan pesalah merana seumur hidup.
Isu kedua, yang sering dibangkitkan ialah hukuman rejam dengan batu sehingga mati terhadap penzina yang sudah berkahwin yang disifatkan sebagai zalim.
Zina adalah kesalahan hudud paling sukar untuk dibuktikan di mahkamah dan berikutan hakikat itu tidak ramai yang pernah menjalani hukuman di bawah kategori berkenaan.
Ini kerana kesalahan itu memerlukan empat saksi lelaki yang adil dan beragama Islam yang melihat sendiri dengan jelas kemasukan zakar lelaki ke dalam faraj perempuan.
Tiada keterangan lain yang diterima oleh syarak untuk membuktikan kesalahan zina seperti melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan video.
Bagi mengelak pihak tidak bertanggungjawab membuat tuduhan palsu maka hukum hudud mempunyai peruntukan qadzaf bagi membolehkan individu yang membuat tuduhan tidak benar disebat 80 kali.
Dalam sejarah Islam, kebanyakan orang yang dijatuhkan hukuman kerana kesalahan zina adalah berdasarkan pengakuan sendiri secara sukarela di hadapan hakim kerana menyedari bahawa mereka tidak akan lagi dihukum kali kedua di akhirat nanti.
Walaupun telah mengaku berzina, seseorang itu boleh menarik balik pengakuannya ketika hukuman sedang dijalankan dan segala keputusan yang telah dibuat oleh mahkamah sebelum itu adalah terbatal.
Jika ada pihak yang masih menganggap hukuman itu terlalu kejam harus ingat bahawa Islam memberikan pelbagai kemudahan bagi membolehkan seseorang itu melakukan persetubuhan secara halal termasuk merendahkan mas kahwin dan membenarkan lelaki berkahwin sehingga empat isteri mengikut kemampuannya.
Isu ketiga, ada pihak mempersoalkan kenapa orang murtad dikenakan hukum bunuh sedangkan memilih mana-mana agama merupakan satu kebebasan peribadi yang perlu dihormati.
Sebenarnya, hukuman bunuh hanya dikenakan ke atas individu yang mengisytiharkan kemurtadan secara terbuka dan dalam masa sama menyeru serta menghasut orang Islam supaya mencontohi tindakannya.
Hukuman bunuh tidak dilaksanakan secara melulu sebaliknya hanya setelah orang yang murtad tersebut diberikan tempoh masa tertentu untuk bertaubat dan telah menjalani sesi kaunseling dan nasihat.
Hukuman bunuh tidak akan dikenakan jika individu murtad berkenaan melakukannya secara senyap-senyap dan tidak menyebarkan dakyah kepada orang lain untuk mencontohinya.
Isu keempat, ada pihak menganggap hukuman potong tangan terhadap pencuri yang mencuri dalam nilai kecil adalah tidak adil dan setimpal dengan kesalahan yang dilakukannya.
Islam berpendirian hukuman itu setimpal kerana jenayah berkenaan walaupun bernilai kecil telah menimbulkan ketakutan dan ketidaktenteraman kepada tuan punya barang dan masyarakat sama seperti mencuri barangan dan wang bernilai besar.
Turut didedahkan dalam buku itu, jumlah kes jenayah di Arab Saudi yang melaksanakan hukum hudud adalah lebih rendah berbanding negara-negara yang tidak melaksanakannya.
No comments:
Post a Comment