Boleh dikatakan ramai pemerhati politik tanahair yang teruja apabila Naib Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man mengumumkan kesediaannya untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden, sekaligus mencabar penyandangnya, Mohamad Sabu, petang tadi.
Setelah mengukuhkan kedudukan Datuk Dr Haron Din Al-Hafiz menggantikan Al-Marhum Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai Mursyidul Am PAS, kini Tuan Ibrahim yang dilihat sebagai pro-ulama pula menyatakan kesediaan untuk jawatan nombor dua PAS itu.
Nampaknya, dua jawatan utama yang dimomok dan dibayangkan puak “jebon” di dalam PAS untuk menjatuhkan kepimpinan ulama dalam parti itu sudah awal-awal lagi di”booking” oleh golongan pro-ulama.
Sebelum ini, aktivis PAS pro-PasMa di Kedah, Zulhazmi Shariff cuba mencatur kedudukan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi di kerusi Mursyidul Am sehingga menyebabkan ramai ahli dan penyokong pro-ulama PAS yang tidak senang duduk.
Namun nampaknya lobi awal PasMa itu tidak menjadi apabila diisi Ustaz Haron Din. Dan kini, Mat Sabu pula dicabar Tuan Ibrahim bagi jawatan Timbalan Presiden. Agaknya apa tindakan PasMa dan gerakan yang mahu menamatkan penguasaan ulama di dalam PAS?
Tidak dinafikan kedudukan Mat Sabu tengah “panas”. Tersepit. Imejnya buruk di mata ahli dan penyokong PAS kini sebagai suspek utama mahu menjatuhkan Hadi.
Mungkin diatas lemahnya kedudukan Mat Sabu itu, Tuan Ibrahim berani umum awal untuk bertanding jawatan yang disandang Abang Mat tersebut. Malah besar kemungkinan, Tuan Ibrahim akan menang mudah mengatasi Mat Sabu nanti.
Soalnya, apakah tindakan yang bakal diambil Abang Mat? Sama ada lawan Tuan Ibrahim bagi mempertahan jawatan Timbalan Presiden, atau bertindak merebut jawatan Presiden dari Abdul Hadi?
Pada pandangan saya, situasi ini bagaikan “diluah mati ibu, ditelah mati bapa”. Jika lawan Tuan Ibrahim, mungkin Mat Sabu kalah. Malah kalau mahu dilawan Abdul Hadi pun, rasanya dia akan kalah juga.
Pada saya, kemungkinan besar Mat Sabu akan menegaskan bahawa dia tidak “gila jawatan”. Kemungkinan besar untuk “selamat”, Abang Mat kita itu akan mengeluarkan kenyataan bahawa dia hanya mengikut pencalonan dari kalangan ahli dan perwakilan PAS untuk kedudukannya.
Dengarnya “zuhud”, bukan? Merendah diri untuk menerima pencalonan yang sesuai. Padahal, dia dalam keadaan tersepit, tidak mampu menetap keputusan untuk bertanding jawatan apa pada pemilihan PAS kali ini.
Pada hemat saya, “kehilangan” Mat Sabu dari kepimpinan utama PAS sekiranya berlaku tidak akan memberi kesan besar yang keterlaluan. Bukan Mat Sabu seorang saja yang berkomplot untuk menjatuhkan kepimpinan ulama PAS. Malah ramai lagi katanya…
Jika gagal percaturan pada pemilihan kali ini, maka mereka akan mencatur untuk pemilihan yang akan datang pula nanti. Lagipun, bukankah pemimpin PAS sendiri yang menyatakan bahawa gerakan menjatuhkan Abdul Hadi bermula sejak 1998 lagi, kan?
Dalam keadaan Abdul Hadi yang kian berumur dan sering uzur sejak kebelakangan ini, dilihat tiada calon yang sesuai untuk mengisi jawatan nombor satu PAS itu. Tuan Ibrahim sendiri menegaskan beliau belum sedia, tapi tak tahulah pada masa akan datang.
Pada saya, kini adalah masa untuk Mat Sabu membuat keputusan tegas. Dia perlu putuskan untuk bertanding jawatan apa kali ini. Namun alang-alang menyeluk pekasam, pada saya lebih baik Abang Mat bertanding merebut jawatan Presiden PAS saja.
Kalah atau menang, itu soal lain. Datuk Mahfuz Omar kalah bertanding Naib Presiden, tapi dilantik menjadi Ketua Penerangan PAS walau dia dikatakan tidak tahu tugas penting tersebut. Mungkin Mat Sabu akan dilantik ke jawatan itu jika kalah bertanding nanti, kan?
Orang lama dalam politik PAS seperti Mat Sabu sememangnya licik dalam mencatur kedudukannya. Malah kadangkala kenyataannya di media hanyalah retorik politik semata-mata dengan motif serampang 10 mata. Saya yakin, Abang Mat akan “survive” kali ini.
Justeru itu, kita sama-sama nantikan apa keputusan Mat Sabu nanti. Saya yakin, ramai yang ternanti-nanti jawapan darinya. Sehingga artikel ini ditulis, Abang Mat masih belum umumkan mahu bertanding sebarang jawatan untuk pemilihan kali ini. Kita tunggu!
4 comments:
Tanding presiden, kalau kalah tak malu.
Agen syaitan ni akan minta nasihat dari bapak syaitan nanti....
Mungkin dah tiba masanya mat sabun jadi timbalan presiden dap sebab dia lebih senang makan dengan diaorang.......
Trust me...pkr pun xnk mat sabu...dia hanya berua sbg useful idiot...gila amik masuk dlm pkr..bapak sendiri dikencing2...nanti masuk pkr..abis porak peranda....
Post a Comment