Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan senang kepadamu hingga kamu mengikuti agama mereka. Katakanlah: “Sesungguhnya petunjuk Allah itulah petunjuk (yang sebenarnya)”. Dan sesungguhnya jika kamu mengikuti kemahuan mereka setelah pengetahuan datang kepadamu, maka Allah tidak lagi menjadi pelindung dan penolong bagimu. al-Baqarah (2) : 120

Saturday, November 09, 2013

DUA SUSPEK CULIK KANAK-KANAK BRITAIN DIBURU


Kuala Lumpur, 9 Nov - Polis sedang memburu dua suspek berusia 30-an masing-masing seorang lelaki dan wanita yang dipercayai menculik seorang kanak-kanak lelaki warga Britain, berusia setahun lapan bulan di sini, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Ku Chin Wah percaya kedua-dua suspek itu dikenali keluarga kanak-kanak berkenaan.

Beliau berkata pihaknya kini sedang mengenal pasti identiti kedua-dua suspek sama ada mereka warga tempatan atau asing.

"Kita percaya kes ini tiada kaitan dengan meminta wang tebusan, mungkin ada motif lain dan kita sedang siasat," katanya kepada pemberita di Balai Polis Pantai di sini, hari ini.

Dalam kejadian pukul 6.10 petang semalam, kanak-kanak itu Freddie Joseph dipercayai diculik ketika kanak-kanak itu bersama ibunya sedang minum petang di halaman rumah mereka di Jalan Terasik 7, Bangsar.

Bagaimanapun kanak-kanak tersebut telah dijumpai orang awam di Taman Tasik Titiwangsa di sini, kira-kira 12.20 tengah hari tadi dalam keadaan keletihan.

Mengulas lanjut mengenai penemuan kanak-kanak tersebut, Ku berkata kanak-kanak tersebut akan dimasukkan ke hospital untuk pemeriksaan lanjut sebelum diserahkan kepada ibunya.

Katanya, polis akan meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan Taman Tasik Titiwangsa bagi mengesan waktu suspek meninggalkan kanak-kanak itu.

Beliau berkata orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian boleh menyalurkannya di balai berdekatan bagi membantu siasatan.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 3(1) Akta Culik 1961. - BERNAMA

Sent from my iPhone

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Portal Berita Semasa