MELAKA 4 Okt. - DAP Melaka kini berdepan kemelut perpecahan apabila Pengerusi negeri, Goh Leong San bersedia mendedahkan perbuatan salah laku beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti itu yang memenangi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) lalu.
Tindakan itu diambil berikutan kata Leong San, beliau semakin hilang sabar dengan pemimpin Pusat DAP kerana campur tangan dalam hal ehwal parti itu di negeri ini.
Katanya, beliau akan mendedahkan beberapa dokumen penting berhubung pemilihan calon dalam PRU-13 lalu jika pucuk pimpinan parti itu masih gagal menyelesaikan masalah dalaman yang dihadapi sekarang.
"Saya tidak akan bertolak ansur lagi dan akan mendedahkan sesuatu jika ada pihak yang terus mendesak saya untuk melepaskan jawatan tanpa alasan yang konkrit," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Leong San yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong turut menegaskan, beliau tidak akan teragak-agak untuk mendedahkan penyelewengan berkaitan dengan dana parti itu.
"Saya bersedia membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) jika pemimpin Pusat parti gagal menyelesaikan masalah yang dihadapi," ujarnya.
DAP negeri itu didakwa berpecah kepada dua kumpulan apabila ada beberapa ADUN tidak menghormati Pengerusi negeri dan Jawatankuasa Perhubungan parti selain tiada usaha pucuk pimpinan untuk memulihkannya.
Dalam pada itu, Leong San turut menjawab kritikan yang dilemparkan rakannya yang juga ADUN Ayer Keroh, Khoo Poay Tiong dan ADUN Kota Laksamana, Lai Keun Ban.
Beliau dikritik hebat oleh kedua-dua ADUN tersebut ekoran kenyataannya memuji pentadbiran Ketua Menteri, Datuk Idris Haron dalam sidang DUN kelmarin. -UTUSAN ONLINE
1 comment:
Nampk sangat DAP ni hipokrik, dia kata akan report SPRM jika masih mendesak dia meletak jawatan. Ini bermakna memang ada penyelengan dalam DAP
Post a Comment