Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan senang kepadamu hingga kamu mengikuti agama mereka. Katakanlah: “Sesungguhnya petunjuk Allah itulah petunjuk (yang sebenarnya)”. Dan sesungguhnya jika kamu mengikuti kemahuan mereka setelah pengetahuan datang kepadamu, maka Allah tidak lagi menjadi pelindung dan penolong bagimu. al-Baqarah (2) : 120

Monday, September 30, 2013

ADAKAH PAS-UMNO AKAN BERSATU WALAUPUN TANPA USTAZ AZIZAN?


PADA 2008, apabila Perak, Selangor, Pulau Pinang dan Kedah jatuh ke tangan pakatan pembangkang, satu kesepakatan dibuat agar akhbar Utusan Malaysia diboikot oleh pentadbiran kerajaan negeri yang dikuasai oleh Pas, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Bagaimanapun Kerajaan Negeri Kedah yang ketika itu dipimpin oleh Tan Sri Azizan Abdul Razak menolak kesepakatan tersebut dan ini dijelaskan beliau dalam wawancara bersama Mingguan Malaysia apabila Azizan berkata, ''Seperti mana akhbar Utusan Malaysia, saya tidak akan memboikot kerana berita yang ditulis benar dan bukan direka-reka. Jika wartawan tulis betul sama ada memberi persepsi negatif atau positif, saya tidak akan marah tetapi jika tidak benar saya akan ambil tindakan.''

Itulah sikap Azizan,69, seorang ahli politik bertaraf ulama yang menjadi Menteri Besar Kedah pertama daripada Pas. Beliau yang dikenali sebagai seorang periang, sentiasa bergurau tetapi tegas sebagai seorang pemimpin menghembuskan nafas terakhir di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar, pukul 11 pagi semalam akibat serangan jantung.

Sememangnya, Azizan yang dilahirkan pada 25 Oktober 1944 adalah satu sosok tubuh pemimpin yang dikagumi dan dihormati oleh kawan dan lawan kerana ketegasannya mempertahankan prinsip yang benar itu benar, yang batil itu batil dan salah tetap salah.

Penulis diberitahu bagaimana ketika mula melangkah masuk ke pejabat Menteri Besar Kedah selepas Pas menawan negeri itu, Azizan amat memahami bahawa di dalam pentadbiran kerajaan negeri sudah pasti sebahagian kakitangannya mempunyai pendirian politik masing-masing.

Bagaimanapun Azizan tidak membuta tuli memecat atau menukar pegawai atau kakitangan sesuka hati, sebaliknya Allahyarham mengingatkan mereka bahawa parti mana pun yang mereka sokong, beliau tidak kisah, apa yang penting ialah menjalankan amanah yang diberikan oleh rakyat.

Sebab itulah, dalam mengamalkan prinsip itu kadang kala Azizan terpaksa berhadapan dengan tentangan dari dalam parti sendiri. Ia termasuklah apabila Allahyarham membuat keputusan mengekalkan beberapa ketua pegawai eksekutif syarikat berkaitan kerajaan (GLC) milik kerajaan negeri yang dianggap penyokong Barisan Nasional (BN).

''Kalau hampa (mereka) tak boleh kerja, tak kan aku nak bagi kat hampa.'' itulah kata-kata yang pernah dihamburkan oleh Azizan apabila ada ahli Pas bersungut kenapa jawatan dalam GLC diberikan kepada individu yang dilihat menyokong BN.

''Bagi Azizan, apa yang penting boleh buat kerja atau tidak, bukannya warna baju politik yang dipakai,'' kata seorang pemimpin muda Pas dari Kedah kepada penulis ketika dihubungi.

Sebagai seorang yang mempunyai kelulusan dari dua universiti berbeza iaitu Sarjana Muda Syariah Universiti Al-Azhar dan Undang-undang Universiti Kent, Canterbury, United Kingdom, Azizan sentiasa dihormati apabila memberi pandangan dan ketegasan dalam membuat keputusan.

Ketegasan ini terbukti ketika Allahyarham menjadi Menteri Besar apabila tercetusnya isu pembalakan di Kedah. Azizan tidak berasa tergugat dengan tekanan demi tekanan biar pun ia datang daripada orang dalam Pas sendiri dan sekutu parti itu DAP.

Sebaliknya Azizan membidas, kelompok yang menyerang beliau dengan menegaskan, ''Jika mereka hendak membuat serangan peribadi teruskanlah. Tetapi saya tidak akan cepat melatah. Saya menghormati pandangan rakyat kerana mereka mempunyai pandangan sendiri dan saya juga ada pandangan saya. Kita akan guna pandangan mereka dan pandangan saya. Itu hak saya.''

Ketegasan Azizan inilah yang turut memungkinkan Allahyarham yang fasih dalam bahasa Inggeris, bahasa Arab dan bahasa Filipina turut dihormati di dalam parti sendiri.

Bagi seorang lagi pemimpin muda Pas Kedah, Azizan adalah penyokong kuat golongan ulama dan sama sekali tidak akan bertolak ansur dalam soal berkaitan prinsip perjuangan Pas.

''Sebab itulah apabila Azizan hadir dalam mana-mana mesyuarat Pas di peringkat pusat, pemimpin-pemimpin tertentu yang dilihat terlalu menyokong kerjasama dengan PKR dan DAP tidak akan bercakap banyak.

''Ia memandangkan Azizan bersedia bertegang leher dengan mereka semata-mata mempertahankan golongan ulama dan prinsip perjuangan Pas,'' katanya ketika dihubungi.

Bagaimanapun dalam ketegasannya itu, Allahyarham dikenali sebagai seorang yang kuat bergurau, pandai mengambil hati dan prihatin. Pengalaman ini dialami oleh bekas Naib Presiden Pas, Datuk Nakhaei Ahmad yang pernah tinggal sebilik bersama Allahyarham ketika mereka menuntut di Universiti Al- Azhar, Mesir.

''Sepanjang perkenalan kami, saya tidak pernah berkecil hati dengan Allahyarham. Ini kerana Allahyarham seorang yang kuat bergurau, dalam kata mudah, Allahyarham sentiasa membawa keceriaan sepanjang masa,'' katanya ketika dihubungi.

Menurut Nakhaei, hubungan beliau dengan Azizan tetap seperti biasa biarpun beliau meninggalkan Pas.

''Apabila kami berjumpa, Azizan akan melayan seperti seorang sahabat, tidak ada perubahan, sama seperti mana kami belajar dahulu,'' katanya.

Bagi penulis sendiri, pengalaman bertemu dengan Allahyarham kali pertama pada tahun 1996 ketika kami bertemu di Sungai Limau, Yan masih segar dalam ingatan.

Ketika itu, penulis mewawancara Allahyarham mengenai perpaduan antara UMNO dan Pas. Allahyarham sempat mengingatkan bagaimana dalam kehidupan ini kita harus berpegang kepada kebenaran apabila melakukan sesuatu.

''Biaq (biar) pi orang tak suka, kalau hang kena tulis benda betui hang tulis saja, sebab yang nak jawab kat akhirat bukan depa (mereka) tapi hang '' kata Allahyarham.

Dari segi kepimpinan pula, Allahyarham dikenali pemimpin yang bersedia turun ke bawah bertemu rakyat dan singgah di rumah siapa sahaja yang Allahyarham berkesempatan.

Penulis masih ingat dua tahun lalu ketika Allahyarham menghadiri sebuah majlis di satu kawasan perumahan di Bedong, Kedah, Allahyarham sempat menziarahi isteri kawan lamanya yang sedang sakit.

Biar pun ketika itu sedang hebat diperkatakan berhubung kedudukan Kerajaan Negeri Kedah yang dikatakan goyah kerana akan ada wakil rakyat melompat parti, namun Azizan tetap tenang.

Sebaliknya, beliau berkata kepada kawannya itu, ''Haji, kalau ditakdirkan Allah, depa nak lompat, lompatlah, aku pun tak hairan jadi MB. Yang penting aku nak jaga rakyat.'

Itulah Tan Sri Azizan Abdul Razak, insan yang mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Sungai Limau dan pernah belajar di Maktab Mahmud pada tahun 1959 hingga 1965.

Allahyarham pernah menjawat jawatan sebagai Ketua Jabatan Syariah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan pensyarah pelawat Mindanao State University, Filipina dan pensyarah sambilan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Sesungguhnya Azizan yang memegang pelbagai jawatan dalam Pas termasuk Naib Presiden (2003-2005) dan Ahli Majlis Syura Ulama akan dikenang sebagai pemimpin yang ceria tetap tegas dalam menegakkan kebenaran dan memperjuangkan prinsip perjuangan. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham dan menempatkan Allahyarham bersama-sama orang beriman serta beramal soleh.--UM

- AL FATIHAH

2 comments:

Anonymous said...

Dengan tajuk - ADAKAH PAS-UMNO AKAN BERSATU WALAUPUN TANPA USTAZ AZIZAN?

Sungguh tinggi harapan tuan blogger.

Harapan saya hanya ... jika boleh lah ... pemimpin UMNO dan PAS duduk semeja utk bincang arah tuju umat Islam/Melayu di Malaysia tanpa perlu bubar UMNO atau PAS dan tanpa syarat utk duduk semeja.

Moga ALLAH Makbulkan harapan sikerdil ini jua.

AMIN.

Anonymous said...

Insyallah penyatuan dua parti ini akan berlaku untuk kepentingan Islam dan Melayu

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Portal Berita Semasa