Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan senang kepadamu hingga kamu mengikuti agama mereka. Katakanlah: “Sesungguhnya petunjuk Allah itulah petunjuk (yang sebenarnya)”. Dan sesungguhnya jika kamu mengikuti kemahuan mereka setelah pengetahuan datang kepadamu, maka Allah tidak lagi menjadi pelindung dan penolong bagimu. al-Baqarah (2) : 120

Saturday, March 30, 2013

AKHIRNYA RAHSIA KENAPA PARLIMEN LAMBAT BUBAR DIDEDAHKAN!!!




SALAH satu ‘penyakit’ yang ada dalam kalangan pakatan pembangkang dan penyokong mereka ialah terlalu mudah untuk membuat tafsiran.

Pelbagai andaian mereka lakukan bagi memburuk-burukkan Barisan Nasional (BN) khususnya UMNO.

Begitu juga dalam isu pembubaran Parlimen, mereka membuat pelbagai tafsiran termasuklah hujah dangkal dengan mengatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak takut untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13.

Suatu ketika dulu, Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pernah berkata dalam satu pertemuan dengan anak-anak Kelantan, Najib ‘semak perut’ hendak bubar Parlimen kerana banyak masalah dalam UMNO.

Mereka sengaja melupakan tempoh tamat mandat kerajaan BN di peringkat Pusat ialah 30 April. Oleh itu Perdana Menteri tidak terikat dengan sebarang desakan supaya Parlimen dibubarkan lebih awal daripada tarikh itu.

Sebenarnya, penulis difahamkan yang resah gelisah kerana Parlimen belum dibubarkan ialah pembangkang.

Menurut satu sumber, pakatan pembangkang sudah merancang jika BN membubarkan Parlimen dan diikuti oleh negeri-negeri di bawah penguasaan parti itu sebelum tarikh tamat tempoh memerintah, pakatan pembangkang tidak akan berbuat demikian di negeri-negeri yang mereka kuasai.

Sebaliknya jentera pilihan raya di empat negeri yang mereka kuasai iaitu Pulau Pinang, Selangor, Kelantan dan Kedah akan dihantar untuk membantu jentera di Perlis, Negeri Sembilan, Terengganu, Sabah dan Sarawak.

Mereka begitu yakin melalui cara demikian ia akan membantu pakatan pembangkang menguasai negeri-negeri tersebut.

Kalau pakatan pembangkang menganggap mereka sudah cukup kuat dan mampu mempertahankan negeri-negeri yang mereka kuasai sekarang, maka bubarlah sebelum tarikh tamat tempoh memerintah.

Untuk rekod tarikh tamat tempoh memerintah Selangor ialah 22 April, Kelantan (28 April), Pulau Pinang (2 Mei) dan Kedah (5 Mei). Kalau mereka mempertikaikan kenapa Perdana Menteri tidak membubarkan Parlimen sekarang sedangkan tamat tempoh mandat ialah 30 April, kenapa mereka tidak bubar lebih awal di negeri-negeri yang mereka kuasai?

Tetapi kita percaya pembangkang tidak akan berbuat demikian kerana mereka sememangnya bersikap seperti tin kosong, ‘bunyi sahaja kuat, tetapi isinya tiada.’

Tambahan pula, pakatan pembangkang memahami kekuatan mereka di negeri-negeri berkenaan semakin luntur.

Di Selangor, penolakan rakyat terhadap kerajaan negeri pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) semakin ketara, apabila banyak janji yang dibuat dalam manifesto pada pilihan raya umum lalu tidak ditunaikan kerana Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim menganggap manifesto bukan satu perjanjian.

Di Pulau Pinang, pentadbiran kerajaan DAP berhadapan dengan pelbagai bantahan termasuk projek-projek mega yang ditentang oleh rakyat.

Di Kedah, kerajaan Pas bukan sahaja menghadapi masalah kepincangan menguruskan negeri malahan diancam masalah dalaman antara pemimpin-pemimpin Pas. Difahamkan Pas Kedah berpecah kepada empat kelompok.

Di Kelantan, isu tanah dan air terus menghantui kerajaan Pas. Malahan di negeri itu sudah ada gelombang yang cukup ketara mahupun perubahan kerana rakyat sudah bosan dengan kerajaan negeri yang lebih kaya dengan slogan dan retorik berbanding program bagi meningkatkan taraf hidup rakyat.

Berdasarkan kepada hujah-hujah itu, maka tidak payahlah puak-puak pembangkang hendak menyibuk mempertikaikan kenapa Perdana Menteri belum membubarkan Parlimen.

Tunggu sahajalah detiknya kalau betul-betul pembangkang yakin bila pun pilihan raya diadakan mereka boleh mencapai kejayaan besar.

Janganlah beri alasan dangkal kononnya terpaksa membuat kutipan derma kerana Perdana Menteri terlalu lambat membubarkan Parlimen.

Pilihan raya bukan medan menguji kekuatan sesiapa atau gelanggang untuk merebut kekuasaan sahaja, sebaliknya ia adalah penentu masa depan rakyat dan negara.

Kerajaan BN bukan seperti pakatan pembangkang asyik hendak berpolitik sepanjang masa dan terlalu kemaruk kuasa. Kerajaan BN hendak memastikan segala urusan negara dan perancangan untuk rakyat sudah diselesaikan barulah mandat diserahkan kepada rakyat untuk membuat keputusan.

Sepatutnya pembangkang bersyukur kerana apabila Parlimen lambat dibubarkan, maknanya mereka masih mempunyai masa untuk menunaikan segala janji-janji yang belum ditunaikan.

Tetapi pembangkang tahu mereka tidak ada kemampuan untuk menunaikan janji-janji yang dibuat, oleh itu mereka berharap apabila Parlimen dibubarkan dan pilihan raya diadakan rakyat akan melupakan janji-janji yang pernah mereka buat dalam pilihan raya lalu.

Inilah perangai pakatan pembangkang, mereka berpolitik semata-mata untuk kuasa sebab itulah mereka sanggup bergabung dalam satu pakatan biar pun berbeza ideologi dan hala tuju perjuangan.

Seperkara lagi, pembangkang juga risau semakin lambat Parlimen dibubarkan, semakin terdedah janji-janji palsu yang disenaraikan dalam manifesto pilihan raya mereka dan Buku Jingga.

Ia memandangkan apa yang mereka janjikan itu hanyalah omong kosong dan tidak berpijak di bumi nyata, segalanya mereka lakukan hanya semata-mata untuk menarik perhatian rakyat untuk menyokong mereka dalam pilihan raya umum nanti.

Ini belum lagi mengambil kira bagaimana dari semasa ke semasa, semakin banyak terdedah perangai pemimpin-pemimpin mereka termasuk dari segi moral.

Justeru mahu tidak mahu, pembangkang terpaksa membuat pelbagai andaian berhubung isu pembubaran Parlimen bagi menutup kelemahan mereka.

Dalam bahasa mudahnya lagi lambat pilihan raya diadakan, maka semakin banyak ‘wajah-wajah buruk’ pembangkang akan terdedah kerana bak kata seorang pemimpin BN di Pulau Pinang, ‘kertas tidak boleh membalut api.’’

Begitu juga sandiwara dan lakonan politik pembangkang, ia sudah pasti tidak akan bertahan lama sebab itulah mereka tidur tak lena, resah gelisah dan gundah gulana apabila Perdana Menteri belum membubarkan Parlimen.

Sementara mereka menuding jari mengatakan Perdana Menteri dan BN dalam ketakutan serta ‘semak perut’ untuk mengadakan pilihan raya , hakikatnya pembangkanglah yang sebenarnya berada dalam kedudukan ‘tidak tentu hala’.

Segala-galanya kerana pembangkang sudah tidak sabar lagi untuk menawan Putrajaya dan menumbangkan BN kerana pilihan raya kali ini dianggap penentu ‘hidup mati’ perjuangan politik mereka.

Namun kita percaya, tidak kira bila pun Parlimen dibubarkan dan pilihan raya diadakan, yang pasti rakyat sudah semakin mengetahui siapa yang sepatutnya mereka pilih sebagai kerajaan.

Tidak apalah kalau pembangkang hendak meneruskan perasaan gelisah tidak tentu hala mereka kerana Parlimen belum dibubarkan, yang pasti BN tidak akan mengikut jejak amalan politik dangkal mereka.-- UTUSAN

1 comment:

Anonymous said...

PAKEMBAR - President Parti Kecut Nak Bubar.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Portal Berita Semasa