Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan senang kepadamu hingga kamu mengikuti agama mereka. Katakanlah: “Sesungguhnya petunjuk Allah itulah petunjuk (yang sebenarnya)”. Dan sesungguhnya jika kamu mengikuti kemahuan mereka setelah pengetahuan datang kepadamu, maka Allah tidak lagi menjadi pelindung dan penolong bagimu. al-Baqarah (2) : 120

Thursday, December 06, 2012

GAZA:KAMI DATANG LAGI!!!



KANAK-KANAK Palestin duduk berselimutkan kain berwarna-warni sambil melukis dan dikelilingi persekitaran bukit-bukit timbunan runtuhan rumah mereka.

Mereka melukis kereta kebal Israel, mayat yang bergelimpangan di jalanan serta pejuang Palestin yang sedang menembak. Ini bagi menggambarkan suasana kejadian yang mereka lihat semasa serangan oleh tentera Israel.

Itu yang diperhatikan Ketua Unit Perubatan Misi Kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia, Datuk Dr. Alwi Abdul Rahman semasa beliau tiba di Gaza pada Ogos 2010.

Menyertai misi diketuai pengerusi kelab, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim ketika itu, Alwi memandang sayu sejumlah kanak-kanak Palestin di wilayah Gaza yang berkeliaran di jalanan. Mereka bermain perang-perang di luar rumah meskipun langit Gaza sedang dikepung oleh jet tempur F-16 dan pesawat tanpa pemandu milik Israel.

Esok, Jumaat 7 Disember, Alwi akan menyertai Abdul Azeez sekali lagi berlepas ke Gaza. Ia misi kedua Kelab Putera 1Malaysia ke Gaza dan ke-29 misi kemanusiaan kelab itu ke seluruh dunia termasuk domestik.

Abdul Azeez ketika ditemui saya bersama Alwi semalam memberitahu, misi kali ini sangat berbahaya. Ini kerana bukan sahaja Gaza yang sedang bergolak, malah Mesir sebagai pintu laluan untuk ke sana turut ditimpa masalah dengan beberapa siri demonstrasi yang melanda negara itu.

Demikian juga dengan cuaca di Palestin yang memasuki musim sejuk sekitar 10 darjah celsius.

"Jika pada misi pertama kami masuk ke Kaherah dahulu dan bermalam sehari di sana tetapi kali ini kami akan terus ke Rafa. Saya hendak ingatkan kepada sukarelawan-sukarelawan yang mengikuti misi ini, kita bukan pergi berkelah, melancong atau berjalan-jalan. Segala akibat yang mungkin boleh berlaku adalah atas inisiatif sendiri dan tanggungjawab sendiri.

"Jangan nanti jika berlaku sesuatu, ada isteri, ibu atau bapa yang cuba menyalahkan mana-mana pihak terutama pihak kerajaan atas kehilangan ahli keluarga mereka. Pemergian kita berpaksikan jihad atau fisabilillah," katanya.

Abdul Azeez berkata, misi kali ini yang melibatkan 61 sukarelawan termasuk 20 doktor pakar memfokuskan kepada bantuan perubatan selain menyediakan bekalan makanan.

"Kita akan membawa bekalan ubat-ubatan bernilai RM460,000, bekalan selimut 20,000 helai dari sini manakala bekalan makanan seberat 4 tan kita akan beli di sana," katanya.

Mengenai soal keselamatan, kata beliau, pihaknya menyediakan kelengkapan keselamatan kepada sukarelawan dan pengamal media yang mengikuti misi bantuan kemanusiaan itu.

"Sebanyak 11 jaket kalis peluru disediakan kepada sukarelawan yang mengikuti misi bantuan kemanusiaan ini pada 7 hingga 16 Disember ini.

"Misi kali ini akan bertumpu di tempat- tempat yang dihujani peluru Israel. Dalam misi kali ini, Gerakan Belia Gagasan 1Malaysia menghantar 20 wakil anak muda ke sana.

"Penglibatan mereka adalah tanda keprihatinan generasi muda negara ini terhadap kesengsaraan rakyat Palestin," kata beliau.

Menyerahkan penjelasan selanjutnya misi itu kepada Alwi, Ketua Jabatan Kecemasan Hospital Selayang itu memberitahu, banyak kanak-kanak Palestin mengalami trauma. Selain itu, mereka turut mengalami gangguan tidur, mimpi buruk dan terkadang mereka terbangun dalam keadaan mengigau.

"Palestin diibaratkan penjara yang terbesar di planet ini. Rakyatnya tidak boleh sewenang-wenang ke luar negara. Tahap trauma kanak-kanak mereka cukup kritikal. Mereka ketawa tetapi cuma terlihat pada jasad sahaja," katanya.

Seorang ahli psikologi berkata, serangan oleh tentera Israel baru-baru ini mengakibatkan lebih banyak kesan trauma berbanding konflik sebelum ini di Gaza kerana mereka tidak mempunyai tempat untuk lari menyelamatkan diri.

Malah, kaunselor dan pekerja bantuan khuatir kanak-kanak Gaza yang merupakan 56 peratus daripada 1.7 juta penduduk akan dibesarkan dengan perasaan benci terhadap Israel dan mudah menjadi mangsa kumpulan pelampau. Karektor mereka cukup keras kerana dibesarkan di lingkungan perang.

"Kami kehilangan generasi seterusnya," kata pegawai tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, John Ging di Gaza.

Begitupun Alwi mampu juga menarik nafas lega. Ini berikutan Perhimpunan Agung PBB pada 29 November lalu mengambil ketetapan mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara, apabila memberikannya status sebagai "Negara Pemerhati" dalam persidangan-persidangannya. Ini merupakan satu lonjakan ke depan dalam perjuangan umat Palestin dan umat Islam sendiri sejak masa yang panjang bermula dengan penjajahan British tahun 1917 dan semenjak pengisytiharan negara haram "I.s.r.a.e.l" tahun 1948.

Pengiktirafan itu menyebabkan status Palestin di PBB kini dinaik taraf daripada entiti pemerhati kepada negara pemerhati bukan anggota iaitu sama seperti status yang dimiliki oleh Vatican City.

Walaupun Palestin masih tidak layak untuk mengundi dalam UNGA, tetapi negara itu boleh menyertai agensi-agensi PBB lain terutamanya Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) - membolehkan siasatan dilakukan ke atas kekejaman Israel.

Pada 17 Disember nanti, Abdul Azeez akan kembali ke tanah air dari misi Gaza. Beliau kemudian akan mengemukakan laporan kejayaan misi kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Tun Dr. Mahathir Mohamad.--UM

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Portal Berita Semasa