MELAKA 31 Mei - Selepas membuat persiapan hampir tiga bulan, Pesta Sungai Melaka 2012 Edisi Keenam anjuran Perbadanan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) akan membuka tirainya esok hingga 30 Jun ini.
Pesta yang berlangsung selama sebulan di beberapa lokasi seperti Dataran Sungai Melaka, Taman Rempah, Dataran Pengkalan Rama dan Dataran 1Malaysia, Klebang bakal menyajikan lebih daripada 80 acara menarik.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Baharom Majid berkata, segala persiapan telah dibuat dan PPSPM telah mengatur pelbagai acara menarik dan padat yang bakal menarik lebih 500,000 pengunjung sepanjang sebulan ia diadakan.
Menurutnya, PPSPM yakin sasaran 500,000 pengunjung mampu dicapai terutamanya sewaktu musim cuti persekolahan selama dua minggu yang bermula Jumaat lalu.
''Pelbagai acara kali ini disusun lebih menarik dan teratur kerana hampir kesemua agensi kerajaan negeri, swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pihak berkuasa tempatan (PBT) dan institusi pengajian tinggi (IPT) turut serta menganjurkan aktiviti masing-masing.
''Beberapa acara yang diatur untuk tahun ini mendapat penyertaan peserta dari luar negara seperti pertandingan badang, perahu naga, bot kawalan jauh dan tarian singa," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, pelbagai acara yang diatur berlangsung pada hari biasa dan lebih menarik sewaktu cuti hujung minggu bermula dari pukul 9 pagi hingga 11 malam.
Katanya, majlis perasmian pesta itu berlangsung di Dataran Pengkalan Rama dan akan disempurnakan oleh Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Khalil Yaakob dan turut dihadiri Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam pada 8 Jun ini.
Ujarnya, majlis perasmian akan dimeriahkan dengan kehadiran empat artis terkenal tanah air iaitu penyanyi veteran, Francesca Peter, Ana Rafali, Zarina AF dan Erry dari kumpulan Putra.
Sehubungan itu Baharom meminta orang ramai untuk hadir beramai-ramai menyaksikan majlis perasmian di Dataran Pengkalan Ramai yang terletak bersebelahan Taman Rempah.
Antara acara menarik bakal menjadi tumpuan sepanjang sebulan pesta itu berlangsung seperti Melaka Idol, Bintang Pop Yeh Yeh, perarakan beca berhias, bot berhias, Melaka Parade, pertandingan memancing, Forum Perdana, Bintang Asli dan sebagainya.
Katanya, orang ramai tidak dikenakan bayaran untuk menyaksikan kesemua acara pesta yang diadakan nanti.
UTUSAN
No comments:
Post a Comment