PULAU PINANG 17 Feb. – Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dihadiahkan 12 kuntum bunga ros hitam daripada Pertubuhan Suara Anak-Anak Malaysia Pulau Pinang (PSAMPP), di bangunan Komtar, di sini hari ini.
Pemberian bunga tersebut adalah sebagai simbolik mendesak agar Guan Eng berundur daripada tampuk pemerintahan kerajaan negeri serta memberikan penjelasan berhubung isu penerbitan risalah My Balik Pulau.
Bagaimanapun hadiah tersebut hanya dapat diserahkan kepada wakil Ketua Menteri selepas Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP itu dikatakan tiada di pejabat.
Pengerusi PSAMPP, Mohamed Ghani Abd Jiman berkata, jika benar kerajaan negeri sebelum ini (Barisan Nasional) yang melakukan kesilapan berhubung kandungan risalah tersebut, Guan Eng sepatutnya bertanggungjawab memperbetulkan keadaan dan bukan meneruskan penerbitannya.
"Guan Eng telah menafikan penglibatan kerajaannya dalam penerbitan risalah itu dan menyatakan bahawa pihaknya tidak pernah membenarkan penggunaan logo berkenaan.
"Sepatutnya Guan Eng menyiasat serta mendakwa penerbit kerana menggunakan logo milik kerajaan negeri tanpa kebenaran. Sebaliknya, dia mahu menyaman orang yang mempersoalkan kebenaran isi kandungan My Balik Pulau," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Semalam, PSAMPP telah menghantar memorandum dan beberapa bukti menunjukkan pembabitan kerajaan DAP Pulau Pinang dalam penerbitan risalah My Balik Pulau kepada Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan Ketua Polis Negara di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Pulau Pinang. - Utusan
No comments:
Post a Comment