Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan senang kepadamu hingga kamu mengikuti agama mereka. Katakanlah: “Sesungguhnya petunjuk Allah itulah petunjuk (yang sebenarnya)”. Dan sesungguhnya jika kamu mengikuti kemahuan mereka setelah pengetahuan datang kepadamu, maka Allah tidak lagi menjadi pelindung dan penolong bagimu. al-Baqarah (2) : 120

Monday, April 06, 2015

FAKTA KES HELIKOPTER TERHEMPAS


Ini beberapa fakta yang dibacakan oleh Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai dalam satu sidang media khas pada Ahad di Putrajaya.

Antara yang menarik perhatian adalah helikopter yang terhempas di Semenyih pada tidak membuat sebarang panggilan kecemasan, dan ia mematuhui laluan penerbangan yang diluluskan.

Menurut Tiong Lai, Kawalan Trafik Udara (ATC) tidak merekod sebarang perbualan dengan juruterbang helikopter itu dan ia adalah normal.

"Adalah normal (helikopter) untuk terbang selepas mendapat kebenaran kecuali ia memerlukan keperluan (untuk menghubungi ATC)," katanya pada sidang media di sini, hari ini selepas kotak hitam helikopter malang itu diserahkan kepada Kementerian Pengangkutan.

"Kami juga memeriksa sama ada terdapat panggilan "Mayday" atau panggilan kecemasan tetapi kami tidak menemui sebarang panggilan," kata beliau.

Menurutnya laluan penerbangan yang diluluskan bagi helikopter itu meliputi kawasan terbentang luas - Kuantan, Pekan, Muadzam Shah, Bandar Tun Razak, Kuala Klawang, The Mines, Petaling Jaya dan berakhir di Subang.

Bernama melaporkan Liow berkata juruterbang helikopter Dauphin AS3655N2 (9M-1GB) itu, Clifford William Fournier Jr., mempunyai lesen sah bagi pemanduan pesawat jenis itu sejak 2012.

"Beliau telah menerbangkan pesawat sejak 2002 dengan hampir 13 tahun pengalaman terbang," katanya.

Liow berkata helikopter itu mempunyai perakuan layak terbang di bawah kategori Persendirian, yang kali terakhir diperbaharui pada 13 Feb tahun ini dan sah sehingga 8 Feb tahun depan.

Dikeluarkan oleh Airbus Helicopter, dan dahulunya dikenali sebagai Eurocopter France, pesawat itu dikeluarkan pada 1990 dan jangka hayatnya berusia 25 tahun setakat April tahun ini, katanya.

Penyenggaraan pesawat dijalankan oleh Airbus Helicopters Malaysia Sdn Bhd dan pemeriksaan terakhir dibuat pada 29 Jan tahun ini manakala ujian penerbangan dijalankan pada 9 Feb.

"Pesawat ini disahkan mempunyai tahap keselamatan yang diluluskan," kata beliau.

Liow berkata Kementerian Pengangkutan telah menubuhkan pasukan penyiasat yang diketuai Datuk Yahya Abdul Rahman, seorang penyiasat dengan lebih 20 tahun pengalaman dalam siasatan kemalangan helikopter.

Pasukan itu mengandungi empat anggota manakala wakil yang bertauliah dari Perancis juga akan dijemput memandangkan negara itu mereka bentuk dan mengeluar pesawat dan enjin, katanya.

Liow berkata kotak hitam pesawat malang itu yang dibawa keluar dari lokasi nahas pada Ahad, akan dihantar ke Biro Penyiasatan Kemalangan Udara (AAIB) di Farnborough, United Kingdom untuk analisis secara terperinci bagi mengenal pasti punca tragedi.

"Kami memerlukan masa untuk mengeluarkan data (kotak hitam) dan juga masa untuk menganalisis data," katanya, sambil menambah ia mungkin mengambil masa kira-kira tiga hari untuk mengeluarkan data dan seminggu lagi untuk menganalisisnya.

"Kami komited untuk mencari punca nahas itu," kata beliau.

Helikopter itu, yang membawa enam orang, terhempas di kawasan kebun getah di Semenyih, Selangor, pada 4.55 petang.

Mereka yang terkorban ialah Anggota Parlimen Rompin yang juga Pengerusi Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis, Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri Datuk Azlin Alias, pembantu operasi Fournier Aidana Baizieva, ahli perniagaan Datuk Tan Huat Seang dan pengawal peribadi Jamaluddin, Razakan B Seran.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam Datuk Azharuddin Abdul Rahman berkata Baizieva bukan pembantu juruterbang helikopter kerana helikopter itu tidak memerlukan pembantu.--AD

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Portal Berita Semasa