Ramai yang bertanya soalan ini... apa lagi yang akan dibuat selepas kempen minum arak Oktoberfest dan kempen belai anjing di Petaling Jaya pada Ahad.
Antaranya pendakwah popular, Ustaz Mohd Kazim Elias menyifatkan penganjuran kempen tersebut adalah agenda halus pihak tertentu.
Menurut kenyataan menerusi laman Facebook, beliau berkata kempen sebegini merupakan jarum halus yang dicucuk kepada umat Islam agar berfahaman lebih liberal.
“Ianya satu gerakan yang cukup halus untuk menghalalkan sesuatu yang sudah diharamkan dan dimulakan dengan satu kempen secara kecil-kecilan yang akhirnya akan merubah dan menidakkan hukum dan itulah tujuan asalnya,” jelasnya.
Katanya umat Islam di negara ini harus berhati-hati dengan setiap agenda yang dianjurkan bagi menjaga akidah masing-masing.
Jelasnya, aktiviti sebegini harus dipandang serius memandangkan ianya melibatkan urusan ibadat seharian.
“Tidaklah salah pegang anjing, tetapi apa sebabnya sampai buat kempen?.
“Berhati-hatilah dengan kempen sebegini, lepas kempen arak muncul pula kempen anjing lepas ini apa pula?” soalnya.
Tambah beliau, anjing tergolong dalam binatang mughalazah dan sama seperti babi.
“Tetapi nak dijadikan sebagai binatang peliharaan seperti kucing ayam dan lain-lain tidaklah boleh dipandang ringan kerana ianya melibatkan urusan ibadat seharian.
“Jangan selepas ini buat kempen babi dengan alasan bahawa babi sekarang sudah bersih dah diternak dalam ‘aircond’ dan mengamalkan tahap kebersihan mematuhi piawaian antarabangsa,” ujarnya.
Namun katanya tidak salah jika anjing dijadikan binatang untuk menjaga kebun bagi menjaga keselamatan rumah.
“Membela anjing untuk jaga kebun bagi menjaga keselamatan rumah dan mengesan barang jenayah tidaklah dilarang malah harus dalam Islam,” jelasnya.
Sementara itu, bekas Mufti Johor Datuk Nooh Gadut berkata penganjuran kempen tersebut satu percubaan untuk menghina ulama dan pihak berkuasa agama.
Penasihat Majlis Agama Islam Johor (Maij) itu berkata, perbuatan menyentuh anjing secara sengaja adalah haram kerana ia merupakan najis berat iaitu najis mughallazah yang dipandang secara serius dalam mazhab Shafie dan Hanbali.
"Jangan cuba mencipta budaya yang bercanggah dengan Islam dan mazhab Shafie, apatah lagi mempunyai unsur menghina ulama di negara ini," katanya.
"Perkara ini dilarang kerana tiga perkara iaitu agama, kesihatan dan budaya yang bercanggah dengan Islam. Perlu diingat di Malaysia kita berpegang teguh kepada mazhab Shafie,” katanya.
Menurut Berita Harian, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mewartakan pada Oktober tahun lalu haram bagi umat Islam menyentuh anjing yang kering tanpa darurat.
Sementara itu, Mufti Pahang Datuk Seri Abdul Rahman Othman berkata pihak berkuasa agama perlu memberi perhatian dan menyiasat tujuan penganjuran program itu yang jelas bertentangan dengan pegangan umat Islam negara ini.
Beliau berkata, umat Islam tidak seharusnya mengambil mudah mengenai perkara ini dan perlu merujuk pihak berkuasa agama terlebih dahulu sebelum melakukan sesuatu yang bercanggah dengan mazhab Shafie.-20/10/2014
1 comment:
lepas ni I want to eat pig pulak boleh?
Post a Comment