Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan senang kepadamu hingga kamu mengikuti agama mereka. Katakanlah: “Sesungguhnya petunjuk Allah itulah petunjuk (yang sebenarnya)”. Dan sesungguhnya jika kamu mengikuti kemahuan mereka setelah pengetahuan datang kepadamu, maka Allah tidak lagi menjadi pelindung dan penolong bagimu. al-Baqarah (2) : 120

Friday, August 08, 2014

MALAYSIA JADI SASARAN ISREAL UNTUK DISERANG???!!!


PEPERANGAN memberi impak besar kepada manusia. Perbezaan geopolitik pula tidak menghalang sesebuah negara menyatakan pendirian secara tegas dan berani. Dalam konteks Malaysia, nilai persaudaraan Islam dan naluri perikemanusiaan penganut agama lain menjadi nadi keprihatinan terhadap mangsa jenayah perang.

Kesan paparan berita oleh media cetak dan elektronik, membangkitkan keberanian Malaysia menyatakan secara tegas bahawa rejim Israel adalah pengganas. Berikutan itu, rakyat Malaysia melahirkan rasa persaudaraan dengan membuat apa sahaja yang boleh dan termampu. Umpamanya menyediakan tabung bantuan kemanusiaan, menghantar pasukan doktor perubatan - bukti negara yang berjiwa besar.

Tidak cukup dengan itu, rakyat kita mengadakan protes dan memboikot produk berkaitan Israel sebagai tanda keprihatinan kita bukan retorik.

Kelantangan Malaysia menyatakan pendirian bahawa tentera Zionis adalah penjenayah perang tidak pernah goyah.

Kelantangan dan tekanan media memberi kesan kerendahan moral rejim Zionis. Lalu, dengan mudah Israel menyalahkan Malaysia. Kebimbangan sudah menyerlahkan siapa Israel sebenarnya. Mereka takutkan kebenaran dan kemenangan Islam yang semakin kuat di Barat dan Eropah.

Perang saraf menerusi media sudah dipalu. Gelombang protes terhadap kekejaman jenayah perang negara haram Israel merebak ke seluruh dunia termasuk rakyat di Amerika Syarikat sendiri. Bukan semua menyokong kezaliman Israel.

Uniknya kerajaan dan rakyat Malaysia bersatu mengecam jenayah perang yang tidak bertamadun ini.

Hamas menafikan sekeras-kerasnya laporan media Israel bahawa anggotanya mendapat latihan mengenai cara melakukan serangan melalui payung terjun di Malaysia.

Katanya, tuduhan tidak berasas itu direka oleh perisik Israel untuk menjejaskan perpaduan dan sokongan masyarakat antarabangsa yang semakin meningkat terhadap rakyat Palestin yang sedang menghadapi jenayah perang dan pembunuhan beramai-ramai oleh rejim Zionis.

Israel mencipta tuduhan bagi mengalih perhatian daripada pembunuhan beramai-ramai yang dilakukan tenteranya terhadap orang awam, kanak-kanak, wanita dan golongan tua di Palestin.

Sementara dunia Arab yang lain kelihatan amat perlahan memberi reaksi dan pendirian meskipun mereka adalah jiran paling hampir dengan Palestin. Namun benarlah ungkapan yang berbunyi, "Israel tidak dapat menguasai Gaza, tetapi yang sebenarnya Israel menguasai negara lain selain Gaza".

Mengapa Israel bimbang dengan kelantangan Malaysia? Adakah negara kecil seperti kita mampu 'membedil' negara angkuh seperti mereka? Sedangkan mereka ada rakan karib dari Amerika Syarikat (AS), yang bersedia membekalkan bala tentera dan segala jenis senjata pembunuh yang disasarkan kepada orang awam.

Utusan Malaysia melaporkan jurucakap Pentagon, Laksamana Muda John Kirby dalam kenyataannya berkata, tentera Israel meminta bekalan pelurunya dipenuhi semula pada 20 Julai lalu dan Jabatan Pertahanan AS meluluskan pembelian itu tiga hari kemudian.

"AS sentiasa komited terhadap keselamatan Israel dan merupakan satu kepentingan untuk membantu sekutu kuat Washington membangunkan dan mengekalkan keupayaan pertahanan yang kuat.

"Penjualan bekalan peluru dan bom mortar kepada Israel memenuhi tujuan hubungan antara kedua-dua negara," katanya tanpa menjelaskan sama ada White House terlibat dalam keputusan menyalurkan bekalan peluru yang lain.

Secara umum kita mendapati tujuh sebab Israel bimbang dengan keberanian Malaysia.

1. Rakyat Malaysia bukannya bangsa Arab. Tetapi bagaimana naluri kemanusiaan umat Islam Malaysia lebih tebal daripada pemimpin Liga Arab. Bahkan penganut agama lain di Malaysia turut bersama menghulurkan bantuan perubatan, menyediakan tabung derma dan mengecam jenayah perang Israel.

2. Istiqamah dari pihak kerajaan dan seluruh umat Islam di Malaysia. Sikap ini jelas dan konsisten bahawa Malaysia tidak menyokong kekejaman Israel dari dulu, kini dan selamanya. Bahkan di serata masjid dan pelosok negeri sering membacakan doa qunut nazilah bagi memohon pertolongan Allah SWT memberi kemenangan kepada Islam dan menghancurkan Israel.

3. Ganjaran umat Islam yang korban syahid lebih mulia, berbanding kematian tanpa dorongan agama. Gencatan senjata sudah menjadi mainan Zionis, sekadar helah bagi merancakkan pembunuhan. Semangat Palestin disuburkan menerusi jemputan Imam-imam Palestin ketika bulan Ramadan. Ruangan bertemu menerusi tazkirah dan forum seperti di masjid-masjid menyemarakkan jalinan persaudaraan Islam khususnya dalam isu Palestin.

4. Serangan tanpa tujuan. Sasaran tentera Zionis bukan bersifat ketenteraan. Bedilan peluru dan bom di tempat awam, hospital, sekolah, pasar menjadikan tentera mereka bukan sebuah pasukan elit, malah melambangkan pasukan tentera Israel tidak bertamadun.

Moraliti tentera mereka sudah tidak waras. Keadaan ini jauh berbeza dengan kualiti disiplin dan ketahanan tentera Hamas. Hinggakan Israel bingung bagaimana mereka mendapat latihan yang sangat berkualiti tinggi.

5. Masjid menjadi simbol perpaduan umat Islam. Kemeriahan institusi masjid di Malaysia dimanfaatkan sepenuhnya untuk menyalurkan dan berkongsi maklumat bersama jemaah. Keadaan ini meningkatkan ketakwaan yang besar ganjaran di sisi Allah. Serangan ke atas masjid untuk menakutkan umat Islam tidak menjadi.

6. Kecaman Hak Asasi Manusia (HAM) yang berat sebelah. Sedangkan Malaysia mempunyai takrifan HAM yang lebih dominan. Definisi pengganas bagi Malaysia ialah kumpulan yang melakukan kekejaman, pencerobohan dan membunuh orang awam. Matlamat tidak menghalalkan cara, itu prinsip pegangan Islam Malaysia.

7. Israel terjerat dengan ideologi barat. Dari aspek keselamatan awam hinggalah kepada pertahanan negara yang tidak mengikut piawaian antarabangsa. Kepadatan bandar Gaza dilihat sebagai medan perang. penghapusan bangsa secara terang. Siapa pengganas? Adakah orang awam yang tidak bersenjata, kanak-kanak sekolah, pesakit di hospital, mereka yang bersolat di masjid atau tempat perlindungan pelarian?

Keberanian, naluri kemanusiaan dan tali persaudaraan Islam rakyat Malaysia mendekatkan jarak Gaza yang jauh. Selagi mana pengganas bermaharajalela selagi itu keberanian Malaysia menjadi perhatian.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Portal Berita Semasa