Ketika seluruh dunia terutama rakyat Malaysia dan insan terdekat berduka di atas kehilangan pesawat MH370, masih ramai rupa-rupanya individu yang sudah hilang deria sensitif mereka.
Kalau remaja yang sengaja meraih tumpuan ramai dengan menulis mesej tidak sepatutnya di laman sosial bolehlah kita faham, ini yang sudah sepatutnya matang dan berstatus selebriti pun sama naik.
Ingatkan golongan berhati kering ini mendapat pengajaran selepas insiden komen sinikal seorang bekas pemimpin persatuan dikecam, Isnin lalu, jejak menjengkelkan itu diikuti seorang pelakon, pengacara dan penyampai radio pula.
Walaupun stesen diwakilinya itu tidak sepopular saluran lain, kata-kata kurang enak berkaitan kehilangan pesawat berkenaan, selain topik dibincangkan pada pagi berkenaan sangat memualkan.
Bukan setakat pendengar, orang ramai yang mengikuti laman sosialnya juga terperanjat apabila mendapati beliau cuba berbuat lawak kononnya seorang rakan lain berada di pesawat sama.
Sebagai manusia yang dikurniakan akal sempurna, diharap selebriti atau mana-mana individu pun jangan mempersendakan isu serius begini, apatah lagi ia membabitkan nyawa insan lain.
Pihak pengurusan atau penerbitnya juga perlu memastikan perkara seumpama itu tidak berulang.
Cuba selami dan hormati perasaan keluarga terdekat dengan tidak menjadikan isu ini sebagai sendaan.--BH
No comments:
Post a Comment