SEPANG 8 Mac - Syarikat Penerbangan Malaysia Airlines System Bhd. (MAS), sedang berusaha mengesan kedudukan pesawat MH370 yang dilaporkan hilang di perairan Laut China Selatan pada pukul 2.40 pagi tadi.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ahmad Jauhari Yahya berkata, buat masa ini pihaknya tidak menerima sebarang laporan mengenai pesawat tersebut sama ada telah mendarat atau berjaya dikesan.
Beliau berkata, panggilan terakhir diterima adalah pada pukul 2.40 pagi tadi dan pada ketika itu, pesawat tersebut berada pada jarak 120 batu nautika iaitu di kawasan perairan timur Kota Bharu, Kelantan.
"Kita tidak mahu membuat sebarang spekulasi berkaitan pesawat ini sekarang hingga pihak menyelamat mengesan kedudukannya.
"Pihak MAS juga menolak spekulasi bahawa pesawat ini kehabisan bahan bakar ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing sebaliknya pesawat ini memiliki kapasiti mencukupi untuk terbang sehingga pukul 8. 30 pagi," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Pesawat yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 12.41 pagi tadi dijangka tiba di Beijing pada pukul 6.30 pagi waktu tempatan.
Pesawat jenis Boeing 777-200 itu telah mula beroperasi sejak 11 tahun lalu.
Dalam pada itu, beliau meminta pihak keluarga yang mempunyai pertanyaan berhubung insiden itu menghubungi talian 03-78841234 atau melayari laman web, www.malaysiaairlines. com untuk maklumat lanjut.
Katanya, ahli keluarga mangsa yang terlibat juga boleh terus ke bangunan kemudahan bantuan, KLIA di Zon Bantuan Selatan di sini dan mereka boleh menghubungi talian 03-87871269 untuk bantuan. - UTUSAN ONLINE
No comments:
Post a Comment