Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan senang kepadamu hingga kamu mengikuti agama mereka. Katakanlah: “Sesungguhnya petunjuk Allah itulah petunjuk (yang sebenarnya)”. Dan sesungguhnya jika kamu mengikuti kemahuan mereka setelah pengetahuan datang kepadamu, maka Allah tidak lagi menjadi pelindung dan penolong bagimu. al-Baqarah (2) : 120

Sunday, February 09, 2014

SIAPA KETUA MENTERI SARAWAK SELEPAS TAIB?


Saya sudah tua, pasti ada pemimpin baharu dapat meneruskan pembangunan Sarawak, " kata Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud, 78, pada Majlis Makan Malam Persatuan Melanau Kuching pada pertengahan bulan lalu.

Kata beliau: “Kini PBB sudah membentuk pemimpin muda yang berkaliber dan berkemampuan menggalas tanggungjawab membangunkan negeri Sarawak."

Siapakah pemimpin muda yang dimaksudkan Taib itu? Adakah Taib akan memilih pemimpin pilihan rakyat atau pemimpin yang disenanginya?

Benarkah Taib akan menjadi Yang Dipertua Negeri selepas berundur nanti? Jika itu berlaku, hala tuju Sarawak dijangka tidak akan banyak berubah kerana Ketua Menteri baharu akan terus dibayangi beliau.

Spekulasi Taib akan segera berundur dan menjadi Yang Dipertua Negeri mulai tercetus apabila berita tempoh perkhidmatan Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng berakhir pada 28 Februari ini, tersebar.

Spekulasi semakin menggelegak apabila Taib sebagai Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) memanggil mesyuarat untuk Majlis Kerja Tertinggi semalam, dan bertemu semua Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri BN hari ini, atas jawatannya sebagai Pengerusi BN Negeri.

Kini sah, Taib akan melepaskan jawatan sebagai Ketua Menteri Sarawak dan calon pengganti beliau akan diumum dalam tempoh terdekat.

Isu berkaitan pengunduran Ketua Menteri Sarawak yang telah berkuasa selama 33 tahun sudah lama bermain di pentas politik negeri dan nasional. Jika diambil kira janji beliau menjelang Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-10 pada 2011, bagi banyak pihak, mungkin masanya sudah tiba untuk beliau mengotakan janjinya.

Pengagum filem dan lagu P. Ramlee itu telah berkhidmat di bawah lima Perdana Menteri. Taib pertama kali menjadi ahli Kabinet Sarawak di bawah teraju Stephen Kalong Ningkan ketika berusia 27 tahun pada 1963, sebelum menjadi Ahli Parlimen pada 1967.

Atas cadangan bapa saudara beliau, Tun Abdul Rahman Yakub kepada Tun Abdul Razak, Taib menjadi Menteri Persekutuan pada 1972. Nyawa politik Taib begitu panjang meskipun beliau dibelenggu dan diasak pelbagai cabaran dan isu peribadi, terutamanya mengenai kekayaan beliau, adik-beradik dan anak-anaknya.

Cabaran terbesar ialah tentangan sengit daripada bapa saudaranya sehingga mencetuskan Peristiwa Ming Court pada 1987. Dalam peristiwa penuh dramatik itu, Taib yang dilahirkan di Kampung Sungai Merbau, Miri pada 21 Mei 1936 akhirnya membubarkan Dewan Undangan Negeri, dan akhirnya beliau menang dengan 28 kerusi, berbanding puak Rahman Yakub 20 kerusi.

Kejayaan Taib mengekalkan kuasa sebahagiannya kerana ketegasan dan keberaniannya mengambil tindakan terhadap musuh politiknya.

Taib dianggap sebagai pemimpin politik yang berani dan sukar dicabar kerana kepintarannya berpolitik dan merencanakan strategi pintar menerajui parti dan menangani pemimpin politik lain.

Taib sama sekali tidak berkompromi dengan penentang dalam parti atau mereka yang tidak menyokong dasar beliau. Kejayaannya dalam melaksanakan dasar politik pembangunan sehingga mampu memikat hati pengundi terutama di luar bandar merupakan formula pengekalan kuasa BN, sekali gus memungkinkan kedudukan beliau tidak tergugat.

Kejayaan beliau membawa pembangunan prasarana, ekonomi, sosial dan budaya dikagumi ramai. Tetapi kejayaan beliau mengukuhkan kesepaduan sosial dan perpaduan dalam kalangan 27 etnik di Sarawak sehingga wujudnya kestabilan sosiopolitik tentu satu pencapaian yang hebat.

Dari segi ini, kesediaan untuk berkongsi kuasa dan mengambil kira agenda dan aspirasi semua etnik tentu satu lagi rahsia kejayaan beliau.

Pengganti

Siapakah pengganti sebenar Taib? Pelbagai nama disebut-sebut sebagai pengganti, antaranya Timbalan Presiden PBB, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg; Naib Presiden Kanan PBB, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan serta Penasihat Khas Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem. Masing-masing calon memiliki kelebihan.

Meskipun beberapa tahun lalu nama Adenan tenggelam gara-gara kesilapan beliau sendiri, namun kebelakangan ini nama beliau kembali menyinar, apatah lagi Adenan merupakan mantan adik ipar Taib.

Pemergian Taib dan Adenan mengerjakan umrah bersama dan kelihatan bersama ketika mengunjungi masyarakat Cina di Sibu baru-baru ini juga menjadi bualan peminat politik dan pihak media di Sarawak.

Kelebihan Adenan yang pernah menjadi Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar di bawah kepemimpinan Tun Abdullah Ahmad Badawi, terletak pada kepintarannya berhujah dan menjadi benteng di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak apabila Barisan Nasional (BN) berdepan dengan pembangkang yang semakin berani dan lantang. Adenan sudah tentu menjadi pilihan Taib.

Abang Johari yang pernah mengalahkan Adenan dalam pemilihan jawatan Timbalan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) pada 1998 mengejutkan Taib sehingga hubungan mereka menjadi dingin untuk beberapa tahun.

Tetapi sebagai pemimpin yang komited dan setia kepada perjuangan parti, Abang Johari, juga mempunyai banyak kelebihan.

Sebagai pemimpin yang memiliki pengalaman luas dan telah memperlihatkan prestasi cemerlang dalam setiap kementerian yang diterajuinya, Abang Johari menjadi pilihan rakyat.

Beliau bukan sahaja mempunyai keperibadian yang disenangi rakyat, tetapi sentiasa prihatin terhadap nasib rakyat pelbagai kaum di negeri ini.

Dari segi kekananan dalam parti, kelebihan berpihak kepada beliau. Ketika krisis Ming Court, beliau memilih untuk menyokong Taib, sekali gus memperlihatkan kesetiaan beliau kepada Taib dan PBB.

Awang Tengah, sebagai orang kanan yang sering diberi kepercayaan oleh Taib, juga satu nama yang tidak dapat diketepikan, apatah lagi beliau sering diberi kepercayaan oleh Taib dalam tugas berkaitan dengan politik, pentadbiran dan peribadi.

Nama Datuk Seri Effendi Norwawi, yang begitu menyerlah satu ketika dulu juga bagaikan sudah terpadam daripada radar politik Sarawak.

Sebenarnya, kisah Taib hendak berundur sudah bermula pada awal 1990-an. Ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan PBB Bahagian Satok dan Tupong pada 26 April 1992, beliau menamakan tiga muka lama dan seorang muka baru sebagai penggantinya - Abang Johari, Adenan, Effendi dan bekas Menteri Pertahanan, Tan Sri Abang Abu Bakar Abang Mustapha.

Dalam satu wawancara dengan majalah Asiaweek pada Ogos 1995, Taib meminta satu dua tahun lagi bagi memastikan kestabilan ekoran pergolakan politik selepas tercetusnya Peristiwa Ming Court.

Dalam wawancara itu, beliau menjelaskan adalah tindakan yang tidak bertanggungjawab dan bertentangan dengan etika peribadi beliau, dan tentu mengecewakan orang di sekeliling beliau, jika penyerahan kuasa tidak berjalan dengan lancar.

Pada majlis ulang tahun ke-23 sebagai Ketua Menteri Sarawak pada Mac 2004, Taib membayangkan bahawa barisan bakal pengganti yang dinamakan itu belum lulus penuh untuk peralihan kuasa dilakukan. Beliau menegaskan mahu memastikan BN mantap sebelum bersara.

Sesudah 33 tahun berkuasa, dan lebih daripada 22 tahun kenyataan itu dikeluarkan, sudah tentu barisan kepemimpinan pelapis yang disediakan oleh beliau sudah lebih daripada bersedia dan matang untuk mengambil alih jawatan Ketua Menteri.

Selepas PRU-13 lalu, sudah banyak kali beliau menyebut, bersedia untuk melepaskan jawatannya. Sesiapa pun yang menjadi pengganti beliau, rakyat Sarawak sebenarnya mendambakan seorang pemimpin yang cerdas dan cergas, berintegiriti tinggi, adil, memiliki sentuhan rakyat, mempunyai wawasan tajam, tidak tamak kuasa dan harta, tidak mengutamakan keluarga dan kroni, serta dapat menjalinkan hubungan harmoni dengan Putrajaya.

Rakyat Sarawak mahu melihat kemunculan seorang Ketua Menteri yang mengutamakan kepentingan rakyat pelbagai kaum, terus merancakkan pembangunan yang menjadi legasi Taib, dapat mengagihkan kekayaan negeri Sarawak dengan saksama, merapatkan jurang pembangunan antara bandar dengan luar bandar dan jurang ekonomi antara kaum.

Persoalannya, adakah Sarawak akan menyaksikan kemunculan Ketua Menteri baharu Mac depan? Atau Taib akan terus membiarkan 2.6 juta rakyat Sarawak terus berteka-teki siapa Ketua Menteri yang baharu.

- Penulis ialah penganalisis politik dan Pensyarah Kanan di Universiti Malaysia Sarawak

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Portal Berita Semasa