Parti Tindakan Demokratik (DAP) tidaklah demokratik seperti yang sering dijaja oleh kepimpinan tertinggi. Ini berikutan pengakuan, kritikan dan kenyataan terbuka oleh pemimpin serta penyokong parti itu sejak akhir-akhir ini.
Rata-rata mereka ini tampil tidak berpuas hati dengan segelintir kepimpinan tertinggi dalam parti itu yang begitu ‘tamak kuasa’ sehingga sanggup berbuat apa sahaja walaupun melanggar perlembagaan parti mahupun prinsip dan pegangan DAP selama ini.
Pergolakan serius antara pemimpin negeri dan kepimpinan pusat berikutan campur tangan ‘ghaib’ dalam urusan negeri masing-masing yang hanya bermotifkan kuasa politik berbanding perjuangan sebenar demi rakyat dan negara tercinta.
Antara yang sedang bergolak dengan hebat ketika ini ialah, Melaka apabila Ketua Pembangkang di Dewan Undangan Negeri, Goh Leong San dari DAP meletakkan jawatan serta merta apabila disindir oleh ADUN DAP kerana ucapannya yang memuji Ketua Menteri Melaka, Datuk Idris Haron. Perletakan jawatan Goh diikuti oleh ADUN Bachang, Lim Jak Wong sebagai Ketua Whip.
Adalah sungguh memeranjatkan apabila Leong San bertindak sedemikian kerana selama ini DAP Melaka merupakan satu-satunya negeri dalam parti itu yang masih bersatu walaupun berlainan kem, masing-masing sanggup berdiam diri atau menyelesaikan kemelut dalam keadaan tertutup dan sukar dihidu oleh mana-mana pihak.
Leong San ketika dihubungi penulis baru-baru ini melahirkan rasa kekesalan yang tidak terhingga dengan sikap segelintir pemimpin parti itu yang sudah mula menunjukkan minat untuk menerajui kepimpinan tertinggi negeri yang ketika ini diterajui beliau.
“Dua pemimpin DAP Melaka ini mempunyai sokongan kuat daripada kepimpinan tertinggi parti, kerana itulah mereka berani memberi ‘tekanan’ kepada saya untuk meletak jawatan. Mungkin saya tidak menyokong kumpulan tertentu dalam parti, menjadi punca perkara ini berlaku.
“Sebagai Pengerusi Negeri selama lapan tahun, saya telah bertolak ansur sedaya upaya supaya masyarakat umum mempunyai tanggapan bahawa kami bersatu hati walaupun pada hakikatnya itu bukanlah satu kebenaran,” ujarnya.
Peletakan jawatan Leong San itu memberi tamparan hebat kepada DAP selepas ADUN Luyang, Sabah, Hiew King Cheu baru-baru ini turut mengumumkan keluar parti tersebut dan menjadi wakil rakyat Bebas.
No comments:
Post a Comment