Pemuda UMNO menolak cadangan menjadikan BN parti tunggal mewakili semua kaum seperti yang dicadangkan parti Gerakan baru-baru ini.
Dalam mesyuarat pertama selepas PRU13, Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin memberitahu pendirian barisan Exco Pemuda UMNO TIDAK SETUJU dengan cadangan tersebut dan mahu UMNO serta parti-parti komponen lain kekal dalam BN seperti sekarang ini.
"Masa belum sesuai lagi untuk itu," jelas Khairy dalam sidang media di PWTC sebaik selepas mesyuarat tersebut petang Khamis.
"Kita mahu perkukuhkan UMNO untuk memastikan prestasi UMNO akan menjadi lebih cemerlang dan boleh menyumbang kemenangan besar BN pada pilihan raya akan datang," katanya.
Sebelum ini beberapa pemimpin UMNO termasuk Ketua Penerangan,Datuk Ahmad Maslan tidak setuju dengan cadangan berkenaan.
Bagaimanapun, jelas Khairy, Pemuda UMNO mahu sistem keahlian terus BN yang pernah diputuskan tidak lama dulu diaktifkan untuk mereka yang tidak mahu masuk mana-mana parti komponen.
Beliau memberitahu keputusan membuka keahlian secara langsung dibuat semasa Konvensyen BN tiga tahun lalu.Namun ia tidak begitu aktif.
Katanya bagi mengalakan kemasukan ahli secara langsung,strukturnya harus lebih diperjelaskan.
Misalnya bagaimana status mereka yang masuk sebagai ahli secara langsung dalam bahagian-bahagian BN.
Khairy juga memaklumkan pendirian rasmi Pemuda UMNO sokong cadangan supaya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO tidak ditandingi dalam pemilihan parti akan datang.
"Walaupun kita menghormati proses demokrasi, namun atas kesedaran bahawa kita perlu memperkukuhkan UMNO, mahu melihat agenda transformasi jadi keutamaan dan bukannya politik dalaman, politik pemilihan.
"Atas kesedaran bahawa Datuk Seri Najib Tun Razak adalah orang yang layak memegang jawatan Presiden UMNO dan Tan Sri Muhyiddin Yassin orang yang layak untuk memegang jawatan Timbalan Presiden UMNO, kita sokong mereka kekal dalam pemilihan akan datang," katanya.
Menurutnya lagipun prestasi UMNO telah bertambah baik pada PRU13 berbanding PRU12.
Maka UMNO perlu memberi keutamaan kepada usaha memperkukuhkan kedudukan parti terutama selepas prestasi,katanya.
Sementara itu berhubung dengan pemilihan Pemuda UMNO pula, Naib Ketua Pemuda UMNO, Datuk Razali Ibrahim memberitahu media kemudian bahawa mereka mahu agar Khairy terus memimpin sayap UMNO itu.
Razali berkata, mesyuarat yang berbincang mengenai perkara itu telah merayu kepada Khairy untuk menawarkan diri sebagai Ketua Pemuda UMNO dalam pemilihan parti akan datang.
"Memandangkan tidak ada lagi bentuk pencalonan di peringkat bahagian untuk satu-satu calon melayakan diri untuk bertanding, kita telah merayu kepada Khairy untuk mengisi borang pencalonan bagi menawarkan diri sebagai calon Ketua Pemuda UMNO dalam pemilihan akan datang."
Jelasnya, sokongan kepada Khairy itu mengambil kira proses kepimpinan yang dilalui bersama beliau selama hampir 5 tahun.
"Kita dapati perjalanan pilihan raya umum yang lalu telah disumbangkan Pemuda di bawah kepimpinan beliau."
"Kalau kita perasan tidak banyak isu dari segi calon merajuk dan sabotaj parti di kalangan pemuda dengan sebab itu kita rasa perlu mengekalkan mandat baru kepada Khairy memandangkan beliau juga Menteri Belia dan Sukan yang menjurus kepada orang muda," kata Razali.
Mengenai dirinya, Razali menjelaskan, beliau tidak akan mempertahankan jawatannya kini berikutan kekangan umur.-6/6/2013
No comments:
Post a Comment