Situasi selepas PRU13 berbeza daripada dua belas pilihan raya sebelum ini atas satu sebab. Perhimpunan diadakan di beberapa tempat di Semenanjung untuk menentang keputusan PRU-13 kerana kononnya penipuan besar-besaran dilakukan” oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Barisan Nasional (BN).
Setakat ini pemimpin-pemimpin pembangkang tertentu yang membuat tuduhan ini gagal mengemukakan sebarang bukti yang kukuh.
Setiap tuduhan liar yang direka – dari 40,000 rakyat Bangladesh yang diterbangkan ke Malaysia sebagai “pengundi hantu” ke peristiwa blackout di Bentong – hanya mengesahkan bahawa kita berdepan dengan pembohong-pembohong bertaraf dunia.
SPR serta beberapa pakar undang-undang telah berulang kali menekankan bahawa sekiranya pembangkang memiliki bukti tentang penipuan di mana-mana kawasan pilihan raya, di peringkat negeri mahupun di peringkat Parlimen, petisyen boleh dikemukakan di mahkamah seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Malaysia.
Ini adalah saluran undang-undang yang digunapakai sejak Pilihan Raya Umum Pertama pada 1959. Sekiranya ada cara tertib berdasarkan Perlembagaan untuk menyelesaikan isu-isu pilihan raya, kenapa sebahagian daripada pembangkang terus memprotes?
Jelas bahawa protes merupakan agenda ketua mereka, Datuk Seri Anwar Ibrahim, untuk mencapai cita-cita besar beliau iaitu, menjadi Perdana Menteri Malaysia. Beliau berharap bahawa siri perhimpunan akan menjejas kredibiliti kerajaan BN dan ini mungkin dapat memujuk beberapa ahli parlimen BN melompat masuk pakatan pembangkang.
Kemerosotan kredibiliti BN juga mungkin mendorong lobi-lobi tertentu di negara-negara Barat seperti Amerika Syarikat (AS) memesatkan kempen mereka untuk menekan kerajaan Datuk Seri Mohd Najib menyahut tuntutan-tuntutan Anwar tentang pilihan raya.
Tetapi, Anwar tidak akan mencapai matlamatnya. Majoriti rakyat Malaysia tahu bahawa keputusan PRU-13 adalah adil dan mencerminkan realiti sentimen dan kecenderungan politik kini. Pembangkang sebagai contoh telah memperolehi 89 kerusi Parlimen – yang terbanyak dalam sejarah politik negara, selain daripada mengekalkan kuasa dalam tiga buah negeri dengan majoriti besar!
Kerajaan-kerajaan Barat, termasuk kerajaan AS, menerima keputusan PRU-13 secara rasmi dan liputan dalam media Barat yang pro-Anwar pun sudah berkurangan.
Pendekatan kerajaan BN juga membantu BN menguasai keadaan. Polis tidak cuba menyuraikan perhimpunan-perhimpunan dengan gas pemedih mata dan sebagainya. Cuma beberapa aktivis didakwa kerana melanggar undang-undang tertentu.
Kerajaan BN yang dipilih secara demokratik harus terus memerintah secara normal. Kabinet peringkat pusat dan sepuluh buah negeri yang dikuasai BN harus melaksanakan dasar-dasar dan program-program mereka. Bertindak secara normal adalah respons yang paling sesuai terhadap mereka yang ghairah dengan perhimpunan dan demonstrasi.
Pada masa yang sama BN perlu memberi fokus kepada cabaran-cabaran yang masih belum diatasi. Kos hidup yang meningkat yang memberi dampak pada golongan yang kurang berada, terutamanya di kawasan bandar – sebahagian daripada mereka menolak BN dalam PRU-13 – harus ditangani dengan langkah-langkah yang lebih berkesan.
Pengawalan terhadap harga barangan; perumahan mampu milik oleh golongan kurang berada; penyediaan sistem pengangkutan awam yang cekap dan menyeluruh dan struktur gaji yang adil adalah antara perubahan-perubahan yang harus dilaksanakan melalui penyusunan semula ekonomi.
Pembanterasan rasuah, yang juga merupakan isu besar dalam PRU-13, memerlukan iltizam yang lebih kuat dari kepimpinan politik.
Dalam hubungan ini, cadangan daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang pernah disyorkan oleh NGO-NGO sebelum ini, untuk melarang sanak-saudara ahli-ahli Kabinet, Exco negeri atau pegawai-pegawai tinggi perkhidmatan awam daripada membidakan kontrak atau projek kerajaan semasa mereka memegang jawatan, harus dikuatkuasakan dengan serta-merta.
Begitu juga, suatu mekanisme perlu dibentuk untuk mempertingkatkan akses masyarakat kepada aset dan liabiliti semua ahli Parlimen dan Dewan Undangan dan keluarga terdekat mereka, seperti mana terdapat di beberapa negara yang lain.
Tahap insiden jenayah yang membimbangkan adalah satu lagi cabaran yang menghadapi kepimpinan BN dewasa ini. Dalam PRU-13, isu ini diperalatkan oleh pembangkang untuk menunjukkan pengundi bahawa BN gagal melindungi keselamatan khalayak ramai.
Pendekatan yang lebih berkesan adalah pra-syarat untuk memulihkan keyakinan rakyat terhadap pemerintah.
Dalam suasana politik pasca PRU-13, BN juga memberi perhatian kepada struktur BN. Dalam keadaan dimana prestasi parti-parti Cina merosot sama sekali, kita faham kenapa pemimpin-pemimpin BN tertentu bertanya sama ada sudah tiba masanya untuk membubarkan semua parti komponen dan digantikan dengan satu parti tunggal.
Ini adalah persoalan yang kompleks yang perlu dikaji secara mendalam. Yang lebih penting dan lebih mencabar, adalah sikap dan nilai-nilai kepimpinan dan keahlian parti-parti komponen BN.
Oleh kerana UMNO dan BN sudah berkuasa selama beberapa dasawarsa dan hidup dalam zon selesa, apakah semangat perjuangan, semangat pengorbanan pemimpin dan ahli mereka sudah luntur?
Apakah ini iktibar daripada PRU-12 dan 13? Apakah benar BN kini lebih mengutamakan wang, kuasa dan kedudukan jika dibandingkan dengan Perikatan pada peringkat awal perjuangannya? Apakah penyakit materialisme ini yang merupakan tragedi BN yang sukar diubati?
Bagaimana pula dengan parti-parti pembangkang yang menggelarkan diri sebagai “pakatan rakyat” yang masih belum mewujudkan suatu gabungan yang mantap yang mempunyai struktur kepimpinan, simbol dan misi perjuangan yang sama khususnya dalam soal agama dan kaum?
Sebenarnya, jurang ideologi yang membezakan Pas dan DAP amat ketara: Pas dengan idea negara Islamnya yang ditakrifkan melalui hudud dan DAP dengan fahaman ‘Malaysian Malaysianya’ yang meminggirkan sejarah dan latarbelakang politik negara ini.
Dapatkah pemimpin dua parti ini mengurangkan jurang ini dalam tempoh lima tahun akan datang ini?
Cabaran yang jauh lebih serius yang dihadapi ketiga-tiga parti pembangkang adalah keikhlasan mereka dalam membendung sentimen-sentimen politik tertentu yang akan memudaratkan negara kita sekiranya tindakan tidak diambil dari sekarang.
DAP, sejak ditubuhkan pada 1966, mengeksploitasi sentimen marah dan kecewa di kalangan sebahagian besar daripada kaum Cina dan sebahagian daripada kaum India yang berhubungkait dengan kedudukan istimewa bangsa Melayu dan Bumiputra Sabah dan Sarawak dalam Perlembagaan Malaysia dan Dasar Ekonomi Baru (DEB).
Gambaran yang diberikan kepada bukan Melayu dan bukan bumiputra adalah bahawa kerajaan menganugerahkan segala-galanya kepada Melayu dan bumiputra manakala bukan Melayu dan bukan Bumiputra dianaktirikan dan dilayani sebagai ‘warga kelas dua’.
Keadaan sebenar ekonomi, budaya dan politik masyarakat kita jauh berbeza daripada persepsi yang dibentuk oleh DAP. Tidak dapat dinafikan bahawa kaum Cina yang paling kukuh kedudukannya di peringkat atasan dan pertengahan dalam hierarki ekonomi negara.
Pengamalan budaya dan bahasa Cina yang disokong oleh sistem pendidikan Cina, berleluasa di negara ini – suatu fenomena yang tidak wujud di mana-mana negara lain di luar Republik China dan Taiwan.
Begitu juga, penglibatan kaum Cina dalam politik negara, jika dilihat dari segi sejarah politik Malaysia yang berakar umbi dalam sistem politik Melayu, adalah luar biasa.
Jelas bahawa kaum Cina tidak dianaktirikan dan bukan warga kelas dua – walaupun dalam pelaksanaan kedudukan istimewa dan DEB, adakalanya bukan Melayu dan bukan bumiputra yang layak gagal mendapat tempat di universiti atau biasiswa atau pun kontrak dan lesen perniagaan.
Tetapi kes-kes khusus – ketidakadilan sedemikian rupa – tidak boleh dijadikan asas untuk membuat kesimpulan palsu bahawa kaum Cina pada keseluruhannya dianiaya!
Kesimpulan palsu inilah yang mengghairahkan hampir keseluruhan kaum Cina untuk mengakhiri apa yang disifatkan mereka sebagai dominasi Melayu/UMNO dan mencapai “kesamaan” dalam PRU 13.
Ini yang dimaksudkan dengan ‘Ubah’ – cogankata DAP dalam PRU-13. Oleh kerana DAP dan kaum Cina gagal ubah kerajaan, mereka harus merenungkan secara dalam tentang kedudukan mereka, sejarah dan konteks masyarakat berbilang kaum di negara kita, dan masa depan hubungan kaum di Malaysia.
Secara ikhlas, cuba memahami realiti ekonomi, budaya dan politik masyarakat kita dan bertindak dengan seimbang berdasarkan realiti ini. Ini adalah tanggungjawab besar pemimpin-pemimpin DAP, malah cendekiawan Cina amnya.
Sekiranya renungan ini tidak berlaku dan majoriti kaum Cina terus dipengaruhi oleh persepsi yang bertentangan dengan realiti, sudah tentu masyarakat Melayu akan menjadi lebih renggang daripada kaum Cina.
Polarisasi kaum akan bertambah buruk. Polarisasi kaum yang diiringi oleh ketegangan kaum mengundang pada ketidakstabilan politik yang akan menjejaskan persekitaran ekonomi.
Sama seperti DAP, Pas juga harus membetulkan persepsi yang disebarluas dalam kalangan golongan muda Islam bahawa pendekatannya kepada Islam adalah Islam yang tulen serta mujarab kepada segala cabaran dihadapi di negara kita.
Pendekatan Pas yang mempunyai ciri-ciri persamaan dengan beberapa negara yang mengisytiharkan diri sebagai “Negara Islam” serta pergerakan Islam di tempat-tempat lain, dipersoalkan oleh pemikir-pemikir Islam kerana lebih mementingkan kulit daripada isi agama.
Itulah sebabnya negara-negara tersebut gagal memberi makna yang konkrit kepada keadilan sosial dan kemuliaan insan (termasuk kemuliaan wanita) yang menjadi cita-cita unggul al-Quran al-Karim.
Lagi pun, Pas perlu menyelami persoalan yang masih mencetuskan perbahasan tentang peranan sebuah parti Islam dalam masyarakat berbilang agama yang berfungsi dalam persekitaran politik abad 21.
Ini membawa kita kepada PKR. Parti ini juga dibawa oleh arus sentimen yang dangkal yang berkisar pada ketaksuban terhadap seorang individu. Sudah tentu ketaksuban sedemikian rupa bertentangan sama sekali dengan suasana abad 21.
Ahli-ahli PKR harus membebaskan diri mereka daripada belenggu jumud ini. Parti-parti pembangkang, seperti mana dengan BN, menghadapi banyak cabaran dalam landskap politik pasca PRU 13.
Mereka harus ambil iktibar daripada cabaran-cabaran ini. Mereka yang belajar dan buat perubahan yang berkesan secara ikhlas akan berjaya – Insya-Allah.
1 comment:
Kerajaan pusat patut pujuk PAS dengan sungguh sungguh supaya menertai BN.
Biar PAS memerintah Kelantan dengan bantuan kerajaan pusat, lagipun Kelantan adalah melayu hampir seratus peratus. Bersatu lah demi agama dan bansa
Post a Comment