KUALA LUMPUR 27 Mei - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) diminta menyiasat semua kemudahan penyajian makanan oleh syarikat-syarikat pembekal kepada syarikat penerbangan tambang murah, AirAsia terutama di sektor Filipina, Thailand dan Hong Kong.
Sebuah gabungan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam, Liga Lindungi Perlembagaan (Ligan) dalam satu kenyataan berkata, jabatan agama tersebut perlu mengesahkan status pensijilan halal berhubung kemudahan penyajian makanan dalam sektor penerbangan AirAsia di ketiga-tiga negara tersebut.
"Ligan juga meminta Jakim menyiasat kedudukan pensijilan halal oleh badan yang didakwa tidak diiktiraf.
"Kami meminta AirAsia menyatakan secara terang dan jelas tentang dasar syarikat tersebut berkaitan pensijilan halal di dalam mana-mana aspek operasinya, khusus penyediaan makanan," kata kenyataan berkenaan di sini hari ini.
Sebelum ini, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan turut meminta Jakim membuat pemeriksaan ke atas makanan yang disediakan oleh syarikat tersebut yang dipercayai makanan halal dan tidak halal dihidangkan bersama-sama.
NGO itu turut meminta Jakim menyiasat pakej-pakej percutian yang dianjurkan AirAsia yang mereka percaya tidak mengambil kira aspek halal walaupun dijanjikan begitu di dalam promosi tersebut.
Menurut kenyataan itu, selagi AirAsia tidak mengeluarkan jawapan rasmi, Ligan menggesa semua pengguna Islam memboikot makanan yang dijual AirAsia di dalam mana-mana penerbangannya.
"Kami juga mengajak dan menasihatkan orang ramai untuk mencemuh AirAsia dalam kalangan kenalan dan masyarakat sehingga syarikat berkenaan memohon maaf berikutan sikap biadab mereka terhadap semua pengguna terutama yang pernah melalui pengalaman pahit dengan syarikat penerbangan itu," tegasnya.--UTUSAN
No comments:
Post a Comment