Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan senang kepadamu hingga kamu mengikuti agama mereka. Katakanlah: “Sesungguhnya petunjuk Allah itulah petunjuk (yang sebenarnya)”. Dan sesungguhnya jika kamu mengikuti kemahuan mereka setelah pengetahuan datang kepadamu, maka Allah tidak lagi menjadi pelindung dan penolong bagimu. al-Baqarah (2) : 120

Tuesday, May 07, 2013

ANALISA PRU-13:MUHASABAH MESTI DARI ATAS




Oleh Ab Jalil Backer (jalil74@myjaring.net)

(*Pandangan ini mungkin sekadar pandangan daripada seorang ahli UMNO biasa yang tidak mempunyai akses menyeluruh kepada jentera parti. Apa yang dinyatakan datang dari pemerhatian bukan penyelidikan. Justeru ia sekadar pandangan. Ini boleh jadi benar dan boleh jadi salah!)

Keputusan Pilihan Raya UMUM ke-13 yang diumumkan semalam bukanlah sesuatu yang mengejutkan seperti yang cuba digambarkan oleh beberapa pihak. Adalah merupakan fenomena global untuk sesebuah kerajaan dalam bentuk demokrasi ala Britain ini tidak memperolehi kerajaan majoriti 2/3. Ia bersangkutan soal masyarakat yang semakin terpisah, berpecah, tiada tolak ansur dan nihilis.

Sudah hampir pupus kerajaan yang memerintah dengan majoriti 2/3. Namun ia bukanlah satu yang boleh memberi keselesaan atau kegirangan kepada kepimpinan Barisan Nasional. Mana-mana parti harus berusaha mendapatkan majoriti 2/3 untuk membentuk kerajaan yang stabil. Dalam makna inilah kepimpinan Dato Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak bergerak seperti mesin yang tidak kenal penat siang dan malam untuk menarik sokongan rakyat.

Saya pernah menyatakan bahawa ketika mengambil alih UMNO dan Negara, Mohd Najib umpama “orang lemas yang cuba mencapai apa-apa sahaja.” Boleh dikatakan setiap cadangan yang dicadangkan kepada beliau akan dilakukan segera sekiranya beliau percaya boleh membawa sokongan positif kepada BN.

Saya pernah berbicara, melihat dan memerhati tiga Perdana Menteri, saya fikir Mohd Najib merupakan Perdana Menteri paling cepat memberi tindak balas yang bersifat politik. Dalam masa yang sama beliau menjadi terbuka dan membenarkan kumpulan-kumpulan badan bukan kerajaan yang pro-BN dan pro- Pakatan bermaharajalela tanpa mempedulikan keharmonian dan keamanan negara.

Mohd Najib cuba melayan dan memenuhi tuntutan Perkasa, Hindraf, Dong Jia Zhong dan BERSIH. Secara teorinya, langkah Mohd Najib ini merupakan langkah popular dan boleh membantu kemenangan BN.

Namun kerana terlalu banyak menerima dan melaksanakan apa sahaja cadangan yang beliau anggap boleh menarik sokongan kepada BN, Mohd Najib berhadapan dengan satu persepsi baru. Beliau dilihat lemah dan terdesak untuk menang dalam pilihan raya. Ini mendedahkan dirinya kepada ugutan politik kawan dan lawan dan mengurangkan keyakinan orang ramai sama ada BN akan menang atau tidak dalam pilihan raya.

Kepimpinan Pra dan Pasca 2008

Mohd Najib berhadapan dengan pelbagai cabaran sejak beliau mengambil alih pentadbiran negara dan parti. Sama ada beliau sedar atau tidak bahawa penolakan terhadap BN pada 2008 disebabkan oleh kepimpinan lemah Tun Abdullah Ahmad Badawi dan polisi-polisi yang tidak disukai rakyat walaupun mungkin baik dari segi teori.

Mohd Najib mempunyai aura dan imej kepimpinan yang lebih baik daripada Abdullah dalam beberapa segi. Beliau dilihat lebih kotemporari, mempunyai kebijaksanaan pentadbiran dan menguasai isu-isu semasa yang lebih baik.

Namun di hati kecil ramai orang, kepimpinan Najib tidak banyak berbeza dengan beberapa hal membabitkan persepsi. Orang Melayu masih tidak merasai terdapat perubahan besar dalam agenda Melayu dan Islam. Orang Cina masih merasakan mereka boleh mengugut BN dan orang India masih menjadi lalang.

Seorang pemimpin UMNO bertanya saya, “Apakah yang tidak kena lagi? Najib telah melakukan bermacam perkara dalam tempoh 3 tahun ini. Jika dulu kita seperti naik keretapi arang, sekarang kita macam naik keretapi elektrik. Tapi orang masih tidak mengundi kita.”

Jawapan saya ialah, jika Mohd Najib tidak melakukan semua ini kita mungkin akan kehilangan lebih banyak kerusi atau hilang terus kuasa. Jadi apa yang Mohd Najib lakukan ini mempunyai kesan yang sangat baik tetapi tidak cukup besar untuk mengubah persepsi.

Namun pertanyaan itu sangat relevan dan signifikan. Memang Najib melakukan bermacam-macam perkara. Terlalu banyak yang dibuat, dilancarkan dan dirancang sehinggakan rakyat sendiri pun sudah keliru dan tidak sempat memahami segala pengumuman yang dibuat. Akhirnya kerana terlalu banyak yang dilontarkan, rakyat sudah tidak merasa apa-apa makna lagi.

Kerajaan bercakap soal transformasi, ETP, GTP, Rakyat berpendapatan tinggi, pembanterasan rasuah, kenaikan gaji sektor awam, gaji minimum dan sebagainya. Namun rakyat bercakap soal tarif elektrik, harga barang, harga kereta, kadar faedah, pinjaman pengajian yang lebih baik dan kualiti kehidupan.

Apa yang Mohd Najib lakukan baik tetapi tidak seiring dengan apa yang kumpulan pendapatan rendah dan menengah harapkan.

Para Menteri Kabinet juga tidak banyak membantu Mohd Najib. Isu kalimah Allah, Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), pengurusan Pasukan Keselamatan, dan cara kerajaan menangani hal-hal membabitkan keamanan, keselamatan dan badan bukan kerajaan menimbulkan pergolakan emosi dan hilang kepercayaan di kalangan penyokong tradisonal UMNO.

Faktor Orang Sekeliling

Antara punca kemarahan ramai orang kepada Pak Lah ialah faktor orang terdekat. Jika Pak Lah menjadi mangsa kerana kemarahan orang terhadap Khairy, Kamaluddin dan Kalimullah, Mohd Najib akan berhadapan dengan perkara yang sama jika ia dibiar berlarutan.

Ramai orang sudah melihat bahawa terdapat pembabitan aktif ahli keluarga Najib dalam hal-hal membabitkan politik dan pentadbiran.

Sama ada suka atau tidak, terdapat banyak kumpulan yang percaya Datin Seri Rosmah terbabit dalam membuat pelbagai keputusan parti dan kerajaan. Ia boleh jadi hanyalah fitnah dan persepsi buruk semata. Namun fitnah dan persepsi buruk ini sukar dikikis dan boleh menjadi barah jika tidak dibetulkan.

Kita tidak boleh menyalahkan Rosmah atas persepsi negatif ke atasnya. Manusia yang mahu berfikiran negatif akan sentiasa mencari keburukan orang. Walaupun terdapat ribuan program membantu masyarakat yang dibuat oleh Rosmah, namun persepsi buruk juga yang dikatakan orang.

Bagaimanapun kita harus menguruskan persepsi. Pendedahan media yang keterlaluan terhadap Datin Seri memberi kesan yang agak negatif imej beliau terhadap rakyat. Beliau boleh sahaja melakukan pelbagai program masyarakat tanpa muncul secara keterlaluan dalam media massa.

Namun apabila sering terdedah kepada media, rakyat melihat beliau antara orang yang berkuasa, ini sekaligus membenarkan persepsi-persepsi negatif yang diwujudkan parti lawan ke atas beliau.

Selain itu, Mohd Najib juga dilihat membelakangi parti apabila meletak terlalu banyak para pegawai pejabat Perdana Menteri menjadi calon pilihan raya walaupun tanpa merit. Ini telah menimbulkan rasa kurang senang aktivis parti.

Sama ada suka atau tidak, ramai yang bercakap relevan apa Mohd Najib meletakkan Setiausaha Politiknya, Datuk Shafie Abdullah bertanding di Wangsa Maju yang merupakan kerusi MCA. Ini khabarnya menjadi pertikaian MCA Wangsa Maju. Demikian juga dengan meletakkan Datuk Shahlan di Pokok Sena, Datuk Fatmi di Kota Bharu, Irmohizam di Kuala Selangor, Suffian Awang di Kuantan dan Latt Shariman di Kubang Rotan.

Kempen Ala Presiden Amerika Syarikat

Jika dilihat sepanjang tempoh 3 tahun yang lalu, kempen terlalu difokuskan kepada imej Mohd Najib bukannya parti. Ramai pemimpin diperingkat bawah tidak diangkat dan ditonjolkan sebaik mungkin ini menyebabkan BN tidak lagi dilihat sebagai sebuah jentera yang kuat.

Sebaliknya sepanjang tempoh tiga tahun lalu, kita digambarkan seolah-olah ini pilihan raya “one man show”. Semuanya berkenaan Najib Razak. Jenama Najib Razak mengatasai jenama BN. Apabila pilihan raya, BN yang dipertaruhkan bukan Najib Razak. Ini hakikat yang perlu disedari.

Kesimpulan

Hakikat bahawa terdapat kelemahan-kelemahan Mohd Najib bukan bermakna beliau seorang pemimpin yang lemah.

Sebagai pemimpin yang mewarisi parti dan negara dalam keadaan lemah, Mohd Najib telah melakukan yang terdaya untuk memulihkan sokongan dan membetulkan jentera parti dan pentadbiran.

Perjalanan ini memerlukan masa untuk berjaya. Najib berada dilandasan yang betul untuk memulihkan sokongan rakyat kepada BN. Namun ini hanya akan terjadi jika Najib sendiri bersedia membetulkan gaya kepimpinannya terlebih dahulu.

Sama ada Kabinet atau Pejabat Perdana Menteri, Mohd Najib perlu memilih mereka yang boleh bekerja, boleh berfikir dan ada kekuatan politik, bukannya kerana orang itu ada pertalian keluarga atau penyokong kuatnya.

Mohd Najib juga sudah boleh tahu apa nasihat yang betul dan apa yang nasihat yang salah yang diberikan oleh orang sekelilingnya. Jadi beliau sudah tahu siapa yang layak untuk membantu beliau dalam pusingan kedua pentadbirannya.

Selamat Bertugas Dato’ Sri!

1 comment:

Anonymous said...

I agree with the comments and observation made. It is about perception and image building within the party and people. Mr.PM I concur because this is what we the 'rakyat' have been talking all this while. Those around you and your relations are spoiling your name in the country. Be firm with them.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Portal Berita Semasa