Hampir dekat dengan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), kerajaan Negeri Kedah telah menerbitkan sebuah buku yang berjudul ‘Sayangi Kedah Sejahtera’ sejak awal tahun lalu.
Dalam buku tersebut, semua perkara dan perubahan yang dilakukan ke atas negeri Kedah pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak termasuklah janji-janji dalam manifesto Pas Kedah pada tahun 2008 telah disenaraikan sebagai sudah dilaksanakan.
Buku tersebut seolah-olah menunjukkan betapa berjayanya Azizan dalam mentadbir Kedah sehingga mensejahterakan rakyat negeri itu.
Tetapi, buku tersebut hanyalah sebagai bahan untuk mengelirukan minda dan fikiran rakyat Kedah.
Ia seperti ‘alat’ untuk meraih dan memancing undi dari rakyat agar terus mengundi parti Pas untuk terus memerintah Kedah bagi penggal yang baru nanti.
Hakikatnya, kandungan buku ‘Sayangi Kedah Sejahtera’ penuh dan sarat dengan penipuan. Penipuan di sini yang dimaksudkan adalah segala pembangunan dan kejayaan yang dilakukan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) didakwa dilakukan oleh kerajaan negeri itu.
Buku itu telah menyenaraikan kerajaan negeri telah berjaya membina 12 masjid untuk kegunaan rakyat.
Namun, perkara itu tidak benar dan kerajaan negeri tidak pernah berjaya mendirikan hatta satu masjid pun.
Perkara itu disahkan sendiri oleh Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Muhkriz Tun Mahathir di mana Pas telah membohongi rakyat.
Kata Mukhriz, masjid yang ada dibina di Kedah adalah hasil usaha dari parti Barisan Nasional iaitu sebanyak 12 masjid itu dilaksanakan oleh Kerajaan Persekutuan.
“Kenyataan dalam buku ini malangnya sarat dengan penipuan. Sejak penggal 2008 hingga tahun ini, tidak terdapat satu pun masjid yang dibina oleh kerajaan negeri Kedah,” kata Mukhriz.
Ketua Pemuda UMNO Kedah, Badrol Hisham Hashim semalam menggesa Azizan memohon maaf secara terbuka dalam tempoh 48 jam berhubung isu pembinaan rumah Allah S.W.T dalam buku itu.
Beliau berkata maklumat yang dicetak dalam buku itu bertujuan memberi gambaran kepada rakyat bahawa 12 masjid yang dibina sejak 2008 di Kedah dibiayai oleh kerajaan negeri.
Menurutnya, kerajaan negeri perlu bersikap telus dan mengaku masjid-masjid berkenaan didirikan dengan peruntukan wang kerajaan pusat.
“Jika beliau (Azizan) enggan berbuat demikian (mohon maaf) serta menarik balik fakta yang tidak benar itu, kita bersiap sedia mengambil tindakan undang-undang untuk menyaman kerajaan negeri di mahkamah.
“Kesalahan yang dilakukan itu adalah satu perkara serius kerana membabitkan rumah Allah,” katanya.
Hingga kini, Azizan masih lagi berdegil untuk tidak mahu memohon maaf malah, menuduh UMNO sengaja menggunakan isu tersebut sebagai senjata untuk menjatuhkan kredibiliti pimpinannya.
Bukan itu sahaja, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah juga mendakwa buku itu mengandungi fakta mengelirukan.
Ahmad Bashah mengatakan, fakta yang mengelirukan ialah kononnya hasil premium balak meningkat sehingga 205 peratus.
Katanya, dalam buku itu kerajaan negeri mendakwa peningkatan premium balak bukan kerana mereka rakus menebang balak tetapi secara logiknya apabila lebih banyak kawasan balak ditebang, lebih banyaklah hasil premium.
Malah, laporan mengenai pentadbiran Kolej Universiti Insaniah (KUIN) yang kononnya berjaya ditadbir oleh kerajaan negeri juga sebenarnya laporan tidak benar.
Hakikatnya, buku tersebut langsung tidak dapat menutup kepincangan yang berlaku dalam pentadbiran KUIN.
Ini sudah jelas, buku tersebut hanyalah untuk menutup kelemahan pentadbiran kerajaan negeri Pas.
Ia juga adalah jalan terdesak yang diambil oleh Pas Kedah supaya dapat mengekalkan kuasa pemerintahan mereka di negeri itu.
Tindakan Pas Kedah menerbitkan buku itu tidak ubah seperti peribahasa Melayu, ‘lembu punya susu, sapi yang dapat nama’.
Sebabnya, usaha dan tindakan yang dilakukan oleh BN Kedah di negeri itu, terus didakwa berjaya dilakukan oleh Pas Kedah.
No comments:
Post a Comment