Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan senang kepadamu hingga kamu mengikuti agama mereka. Katakanlah: “Sesungguhnya petunjuk Allah itulah petunjuk (yang sebenarnya)”. Dan sesungguhnya jika kamu mengikuti kemahuan mereka setelah pengetahuan datang kepadamu, maka Allah tidak lagi menjadi pelindung dan penolong bagimu. al-Baqarah (2) : 120

Friday, February 22, 2013

ISU KALIMAH ALLAH: BUKTI PKR DAN DAP ANTI ALLAH DAN ISLAM


Ketika PAS dan DAP berterusan bertelagah mengenai penggunaan kalimah Allah untuk bible versi Bahasa Melayu, rakan sekutunya Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengambil langkah berpeluk tubuh.

Tanpa sebarang usaha untuk menamatkan kemelut, tindakan PKR itu yang diterajui Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai presiden yang lebih banyak berdiam diri, juga menimbulkan tanda tanya.

Banyak anggota akar umbi parti gabungan pembangkang bingung dan mempersoalkan kesepakatan yang kononnya utuh yang dicapai PAS, PKR dan DAP.

Selepas siri bantahan penggunaan kalimah Allah oleh Timbalan Mursyidul Am PAS Datuk Dr Haron Din, kini Ketua Dewan Ulama PAS Datuk Harun Taib juga bernada sama bahawa penggunaan kalimah Allah dalam kalangan bukan Islam tidak harus dibenarkan.

Persoalannya, apakah sebenarnya yang tersirat di sebalik kekerasan Pengerusi DAP Karpal Singh yang bersungguh-sungguh mahu menggunakan kalimah Allah dalam bible versi Bahasa Melayu dan di mana peranan PKR untuk meredakan ketegangan yang tercetus di antara dua rakannya?

Karpal berkeras mempertahankan keputusan yang dibuat pakatan pembangkang yang diwakili Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Penasihat DAP Lim Kit Siang dan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 8 Jan lepas bahawa penggunaan kalimah Allah boleh digunakan oleh penganut Kristian dengan syarat ia tidak disalahgunakan.

Mengulas perkara itu, Anuar Shaari, bekas setiausaha sulit ketua pembangkang berkata PKR tidak akan berani menyanggah pendirian DAP termasuk untuk menggunakan kalimah Allah kerana bermatlamat untuk meraih sokongan pengundi bukan Islam.

“Semua orang tahu PKR amat memerlukan DAP dan bagi PKR, PAS hanyalah parti sampingan di dalam pakatan pembangkang. Pada saya PKR punya pendirian menyokong DAP.

“PKR lebih rela mengambil hati orang bukan Islam dan tidak mempedulikan sentimen pengundi Islam. Itu sebabnya PKR tidak membantah apa sahaja yang dilakukan DAP,” katanya.

Anuar, yang meninggalkan PKR pada Mac 2007 berkata rakyat wajar menolak pakatan pembangkang khususnya PKR dalam pilihan raya umum akan datang kerana parti itu jelas mempunyai agenda tersendiri sehingga sanggup membelakangkan kawan untuk menangguk di air keruh.

PKR bukan sahaja liberal dalam isu kalimah Allah ini, sebaliknya dalam pelbagai lagi isu antaranya orang Melayu Islam bebas memilih agama di bawah faktor kebebasan beragama, katanya.

Exco Pergerakan Pemuda Umno Lokman Noor Adam pula berkata keputusan Majlis Syura PAS pada Januari lepas memutuskan kalimah Allah tidak boleh digunakan dalam bible versi Bahasa Melayu hanya selepas isu berkenaan dibantah pelbagai pihak.

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Ke-82 yang bersidang pada Mei 2008 memutuskan lafaz Allah merupakan kalimah suci yang khusus bagi agama dan umat Islam dan ia tidak boleh diguna atau disamakan dengan agama-agama lain.

Bagaimanapun kata beliau, keputusan tersebut telah pun dianggap sebagai sampah oleh semua pimpinan pakatan pembangkang.

“PKR ni, kalau boleh gadai, dia gadai semuanya demi mencapai matlamat Anwar untuk menjadi perdana menteri. Dalam isu ini, PAS dan PKR yang dianggotai orang Melayu wajar dipertikaikan.

“Kalau PAS benar-benar istiqamah dalam perjuangannya mempertahankan kalimah Allah, hari ini PAS perlu keluar daripada pakatan pembangkang. Haron Din kena mendesak PAS keluar pakatan pembangkang atau beliau dan Harun Taib kena keluar daripada PAS,” katanya.

Lokman Noor yang juga bekas Penolong Setiausaha Pemuda Keadilan berkata PAS tidak sepatutnya berterusan diperbodohkan dan menjadi alat politik PKR dan DAP sebaliknya perlu berjuang bersendirian.

PKR sebuah parti berbilang kaum, katanya sedar bahawa peluang untuk mendapatkan sokongan daripada orang Melayu kian merosot dan disebabkan itu, mereka secara terang-terangan dan nyata mula memperjuangkan isu berkaitan murtad serta lesbian, gay, bisexual dan transgender (LGBT).

“Kini pula menyokong pluralisme agama iaitu fahaman yang menyamaratakan semua agama demi meraih sokongan bukan Melayu,” katanya.

Justeru, beliau menasihati rakyat di negara ini supaya membuat pertimbangan yang betul dan tidak mengambil risiko dengan memilih parti yang tidak lagi mampu membela nasib rakyat dan mempertahankan kedaulatan Islam sebagai agama persekutuan.

Atau adakah PAS dan DAP sama-sama bermain sandiwara lagi untuk memastikan tidak kehilangan penyokong masing-masing dan untuk membolehkan isu mengenai mereka terus mendapat publisiti di media massa lantaran tiada lagi isu lain yang boleh mereka mainkan?

1 comment:

Media Shah Alam said...

oh Anwar kau lah pemimping palin suci lagi menyucikan.cina doll pun kau cuci kannnnnnnn

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Portal Berita Semasa