Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan senang kepadamu hingga kamu mengikuti agama mereka. Katakanlah: “Sesungguhnya petunjuk Allah itulah petunjuk (yang sebenarnya)”. Dan sesungguhnya jika kamu mengikuti kemahuan mereka setelah pengetahuan datang kepadamu, maka Allah tidak lagi menjadi pelindung dan penolong bagimu. al-Baqarah (2) : 120

Monday, November 05, 2012

PENARI DANGDUT MAHU JADI PEMIMPIN NOMBOR SATU NEGARA!!!




KETIKA ini ramai politikus ternama Indonesia sibuk membuat persiapan untuk mencalonkan diri sebagai Presiden pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2014. Sekalipun ada dua tahun lagi tempoh pemilihan presiden baru namun iklim politik Indonesia semakin panas.

Sebilangan besar daripada mereka terdiri daripada individu yang berpengalaman luas dalam gelanggang politik. Tidak kurang juga orang kaya dan berpengaruh berminat untuk memimpin lebih 234 juta rakyat Indonesia menggantikan Presiden Susilo Bambang Yudhoyono.

Namun, dalam senarai nama yang sering didebatkan di media itu, alih-alih terselit nama seorang selebriti yang dikhabarkan turut berminat menduduki kerusi nombor satu dalam pentadbiran kerajaan Indonesia itu. Yang dimaksudkan ialah Rhoma Irama - penyanyi veteran yang cukup sinonim dengan gelaran Raja Dangdut.

Entah apa yang bermain di fikiran Rhoma ketika ini sukar ditafsirkan sebaik saja para peminat tegar beliau mengusulkan cadangan mengangkatnya sebagai Presiden negara yang didiami oleh umat Islam paling ramai itu.

Rhoma atau lebih mesra disapa Bang Haji sendiri ketika ditanya wartawan mengenai cadangan itu masih belum dapat memberi jawapan yang pasti.

"Semuanya masih terlalu awal untuk dijawab pada masa ini. Namun, saya ucapkan terima kasih kepada mereka yang memberi sokongan," itu reaksi penyanyi dangdut yang pernah mencipta fenomena sekitar 1970-an dan 1980-an.

Penglibatan selebriti seperti Rhoma dalam gelanggang politik bukanlah perkara baru dalam peta politik Indonesia. Sebelum ini, sudah ramai artis, baik pelakon mahupun penyanyi mendaftar untuk menjadi calon legislatif (Parlimen) mahupun calon daerah pada PRU Indonesia tahun 2009.

Selain golongan popular ini, kelompok lain yang turut ditawarkan bertanding ialah wartawan dan penyampai berita stesen TV, pemain badminton dan kaum kerabat para pemimpin politik. Seperti di Amerika Syarikat mahupun India, artis lazimnya digunakan untuk berkempen bagi menarik orang ramai memilih calon dalam pilihan raya presiden, gabenor atau datuk bandar.

Kemasyhuran selebriti menjadi umpan untuk menarik orang ramai mengundi calon yang bertanding. Artis yang terlibat dalam politik antaranya bekas pelakon terkenal, Nurul Ariffin, Marissa Haque, penyanyi Evie Tamala, Lyra Virna dan Ratih Sanggarwati, Emilia Contessa, Mieke Wijaya dan Soultan Saladin.

Kini, Rhoma pula disebut-sebut mahu melangkah lebih jauh dalam politik sekalipun di kalangan rakyat secara umumnya, majoriti masih skeptikal terhadap keupayaan artis menjadi pemimpin. Tugas wakil rakyat bukan sesuatu yang mudah untuk dipikul oleh semua orang.

Jangan sesekali ada yang terfikir, populariti atau kemasyhuran mereka boleh menjadi kayu ukur mencapai undi majoriti daripada rakyat. Seharusnya, setiap artis yang memilih untuk bertanding pada pilihan raya mengukur keupayaan diri sendiri.

Dalam kes Rhoma, beliau selama ini dikagumi oleh segenap lapisan peminatnya baik daripada golongan buruh sehinggakan profesional. Namun, minat terhadap tokoh seniman handalan itu sekadar terbatas pada bakat seni yang ada pada beliau.

Lebih daripada itu, sukar untuk diramalkan. Namun siapa tahu kalau rezeki menyebelahi Rhoma.

Apa lagi penglibatan seniman itu dalam bidang ini bukan baru kerana semasa kepimpinan Orde Baru, beliau pernah bergabung dengan parti Golkar memperjuangkan nasib rakyat. Bahkan ketika kempen pemilihan Gabenor Jakarta baru-baru ini, Rhoma yang jelas berpihak kepada Fauzi Bowo sangat dinamik dan agresif sehingga mencetus kontroversi perkauman. Persoalannya kini, sejauh mana yakinnya Rhoma dan penyokong-penyokong beliau untuk mencalonkan nama seniman itu menduduki kerusi nombor satu?

Tentu sekali, Rhoma sendiri masih ragu-ragu untuk menyatakan pendiriannya kerana jawatan Presiden Indonesia bukan boleh dibuat main-main. Sebaik saja namanya disebut untuk bertanding kerusi nombor satu itu, ia sekali gus meningkatkan tarikan orang ramai untuk mengetahui apa tindakan beliau yang seterusnya.

Seandainya beliau benar-benar serius untuk mara sebagai calon Presiden Indonesia, Bang Haji tentu sekali harus menepis banyak keraguan rakyat Indonesia akan keupayaannya memimpin mereka menjadi bangsa yang jauh lebih maju. Jangan pula pengalaman yang dilalui oleh aktor Deddy Mizwar pada 2009, yang dikatakan tidak tahu menilai diri hendak menjadi calon Presiden, berulang kembali.

Tidak ada lagi istilah mencuba nasib kerana pemilihan seorang presiden pada kertas undi merupakan kata muktamad.

Andai tersalah pilih calon, maka binasalah sesebuah negara. Lebih malang lagi ia akan membawa kepada kehancuran sesebuah bangsa.--UM

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Portal Berita Semasa