Satu lagi isu politik yang mendapat perhatian apabila Mohd Ali mengumumkan hasratnya untuk berpindah ke Parlimen dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13). Kenyataannya itu dikeluarkan menerusi New Sunday Times.
Beliau memberi alasan ingin mencari cabaran lebih besar selepas tiga penggal sebagai Ketua Menteri. Hasrat itu juga didorong kerana hendak membantu membangunkan negara ini dan membawa kemajuan kepada semua negeri seperti dilakukannya di Melaka.
Beliau juga menyatakan tidak bimbang mengenai penggantinya kerana negeri kelahirannya itu mempunyai ramai pemimpin berwibawa.
Laporan itu jelas memberi kesan besar kepada perkembangan politik Melaka. Ini adalah kali pertama beliau membuat pengumuman rasmi seperti itu kerana isu berkenaan sebetulnya sudah lama kedengaran. Malah sejak pilihan raya lalu lagi, ia sudah berbangkit.
Susulan itu pelbagai reaksi diterima. Ada yang suka, ada juga tidak setuju. Malah ada juga perasaan bercampur-campur. Bagi yang suka, tindakan itu dianggap mampu menyerlahkan lagi ketokohan Mohd Ali pada peringkat nasional selepas berjaya dengan cemerlang di Melaka.
Selain itu, ada juga menyifatkan ia bakal membuka ruang kepada beberapa pemimpin lain yang sebelum ini sudah lama memasang impian memegang jawatan berkenaan selepas kecewa pada 2008.
Bagi yang tidak gemar dengan keputusan itu, kebimbangan mereka sudah tentu berkait dengan nasib bakal menimpa Melaka selepas ketiadaan beliau itu. Persoalan yang ditimbulkan, mampukah pengganti beliau meneruskan kesinambungan legasi yang ditinggalkannya itu?
Seorang pemerhati politik di Melaka ketika ditemui, menyifatkan tindakan Mohd Ali itu sebagai sesuatu yang berani, bersandarkan kepada suasana politik ketika ini. Namun dia tidak menolak, betapa dalam politik semua boleh berlaku.
Apa lagi dalam keadaan kedudukan Melaka yang dianggap sebagai kubu kuat BN sejak sekian lama, tentunya Mohd Ali sudah mengambil kira semua pertimbangan ketika mengambil keputusan meninggalkan keselesaan pejabatnya di Seri Negeri dan kediaman rasminya, di Seri Bendahara. -- SUMBER
No comments:
Post a Comment