Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan senang kepadamu hingga kamu mengikuti agama mereka. Katakanlah: “Sesungguhnya petunjuk Allah itulah petunjuk (yang sebenarnya)”. Dan sesungguhnya jika kamu mengikuti kemahuan mereka setelah pengetahuan datang kepadamu, maka Allah tidak lagi menjadi pelindung dan penolong bagimu. al-Baqarah (2) : 120

Monday, October 12, 2015

PETANDA KUASAI MASJID AL-AQSA

ANAK KECIL INI MEMBALING BATU KE ARAH POLIS YAHUDI YANG MENCEROBOH KAWASAN UMAT ISLAM PALESTIN DI TEBING BARAT

Suasana tegang sedang melanda Baitulmaqdis. Minggu lalu, polis Israel mengharamkan selama dua hari orang Palestin daripada memasuki Kota Lama di mana terletaknya Masjid al-Aqsa.

Sehari sebelum itu, seorang remaja Palestin ditembak mati oleh polis Israel setelah dia menikam dua orang Yahudi di Kota Lama itu. Beberapa minggu lalu pula, pertempuran berlaku antara polis Israel dan penunjuk perasaan Palestin di sebuah kawasan atas bukit, yang kemudian merebak ke Jericho, Baitulaham, Hebron dan Ramallah. 

Keadaan itu mendorong mahasiswa Universiti Birzeit untuk mengisytiharkan Hari Kemarahan.

Keadaan tegang ini bermula sebulan lalu apabila terdapat tanda-tanda bahawa Israel akan bertindak mahu menguasai sepenuhnya Haram Sharif meliputi Masjid al-Aqsa. Pada masa ini ia ditadbir oleh kerajaan Jordan dan pihak Israel hanya membenarkan orang Yahudi mengunjunginya tetapi tidak boleh beribadat di situ.

Orang Yahudi pula bukan saja mahu melawat kawasan itu tetapi juga melakukan ibadat kerana mereka menganggap ia tapak Rumah Ibadat Sulaiman atau Temple of Solomon yang pernah wujud pada zaman purba. Dalam tradisi Islam, ia adalah Masjid Nabi Sulaiman yang telah dibina semula sebagai Masjid Al-Aqsa.


Maka menjelang Tahun Baharu Yahudi baru-baru ini, mereka mengunjungi kawasan itu dengan dipimpin oleh seorang rabbi iaitu paderi Yahudi. Mereka datang tanpa memakai kasut bagi menghormati kawasan itu dan rabbi menunjukkan tempat-tempat di mana haram bagi seseorang Yahudi memijaknya menurut agama mereka.

Dalam kalangan orang yang melawat itu ialah Menteri Pertanian Israel, Uri Ariel. Mereka ini semua dikawal oleh polis Israel. Maka keadaan ini menimbulkan curiga dalam kalangan orang Islam. Perbuatan mereka itu dilihat sebagai suatu provokasi Israel untuk akhirnya menguasai Masjid al-Aqsa. 

Sememangnya orang Yahudi menganggap keseluruhan kawasan itu milik mereka dengan sebahagiannya mempunyai cita-cita bahawa satu hari Rumah Ibadat Sulaiman dapat dibina semula menurut reka bentuk asal.

Keadaan ini melahirkan dua kumpulan iaitu Gerakan Islam dan Murabitat Masjid al-Aqsa untuk mempertahankan kedudukan Masjid al-Aqsa sebagai milik orang Islam. Gerakan Islam dan Murabitat al-Aqsa ini dianggotai oleh warganegara Israel tetapi berbangsa Arab dan beragama Islam. 

Mereka ini sebenarnya orang Palestin. Tetapi oleh kerana mereka tinggal di wilayah Palestin yang telah menjadi negara Israel, maka mereka dikenali sebagai Arab Israel.

Kumpulan Murabitat al-Aqsa terdiri daripada muslimat. Mereka membawa al-Quran dan melaungkan takbir apabila datang para pengunjung Yahudi ke kawasan Haram Sharif. Kumpulan ini menyatakan bahawa tindakan mereka tidak berbentuk keganasan dan ia merupakan demonstrasi membantah sebarang usaha Israel untuk menguasai Masjid al-Aqsa.

Namun begitu, Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu menganggap mereka sebagai pengganas dan polis Israel bertindak menangkap anggotanya. Akibatnya berlaku pertempuran antara polis Israel dengan orang Palestin. 

Polis menggunakan peluru getah dan pihak Palestin menggunakan batu. Israel pun mengenakan hukuman lebih berat terhadap mereka yang membaling batu. Banyaklah orang Palestin ditangkap.

Kemuncaknya apabila polis Israel menyerbu Masjid al-Aqsa pada satu subuh dan menghalang orang Islam daripada bersembahyang di situ. Bagaimanapun mereka kemudian membenarkan solat Aidiladha di situ. 

Tetapi kebenaran untuk sembahyang di situ hanya dihadkan kepada mereka yang berusia lebih 50 tahun. Keadaan ini menimbul lagi kemarahan orang Palestin hinggakan terdapat jangkaan akan berlaku kebangkitan Intifadah ketiga.

Suasana kecewa dalam kalangan orang Palestin sememangnya dirasakan. Impian untuk mewujudkan negara Palestin yang berdaulat dan merdeka terasa hilang. Sebaliknya lebih banyak tanah Palestin di Tebing Barat diambil oleh Israel untuk dibina penempatan Yahudi. 

Perjanjian Oslo yang diharap merintis kepada penubuhan negara Palestin ternyata hanya menguatkan kedudukan Israel ke atas wilayah yang dikuasai.

Dalam suasana geopolitik serantau, Israel mendapat kelebihan. Apabila Iran dihalang daripada membangun senjata nuklear, maka Israel muncul sebagai satu-satunya negara di Timur Tengah yang memiliki bom nuklear. 

Sementara perang di Syria pula menghancurkan satu-satunya negara Arab yang mampu berdepan dengannya secara ketenteraan. Maka dalam suasana ini tidak hairanlah Israel boleh bertindak untuk menguasai sepenuhnya Baitulmaqdis dan Masjid al-Aqsa.

Dalam negara pula, Israel sudah menjadi lebih kepada sebuah negara Yahudi berbanding pada masa ia mula-mula ditubuhkan dahulu. Walaupun Zionisme merupakan fahaman yang menjanjikan sebuah negara sendiri bagi orang Yahudi, tetapi cita-cita asalnya adalah untuk menubuhkan sebuah negara sekular, demokratik dan pelbagai kaum serta agama. 

Tetapi kini ia menjadi negara agama Yahudi dan demokrasi hanya untuk satu kaum. Ia jadi eksklusif dan tidak inklusif. Lebih buruk lagi ia jadi negara penjajah dan dipencilkan majoriti negara dunia. Keadaan ini berlaku kerana pada setiap pilihan raya, pengundi memilih parti yang berpandangan lebih melampau. Parti lebih sederhana terus terpinggir.

Maka Israel dilihat bukan saja tidak mahu adanya negara Palestin berdaulat dan merdeka, tetapi tahun demi tahun ia terus menambah penempatan Yahudi di wilayah Palestin hingga mahu menelan kesemua kawasan yang dijajah termasuk Masjid al-Aqsa. Sedangkan pada masa penubuhannya, Baitulmaqdis dan Tebing Barat adalah sebahagian daripada Jordan.

Gaza pula adalah sebahagian daripada Mesir. Dari segi wilayah, Israel tidak rugi jika negara Palestin ditubuhkan di Tebing Barat dan Gaza.

Tetapi Israel tidak mahu mengaku wujudnya Palestin. Yang diakuinya hanyalah Pihak Berkuasa Palestin yang bertugas untuk menghalang warganya daripada menyerang Israel seperti yang termaktub dalam Perjanjian Oslo. 

Maka tidak hairanlah, kini rakyat Palestin berasa kecewa dan gelisah. Suasana ini tercermin dalam ucapan Presiden Palestin, Mahmoud Abbas di Perhimpunan Agung Bangsa-bangsa Bersatu. Katanya, pihak Israel telah banyak melanggar perkara-perkara dalam Perjanjian Oslo. Maka, pihak Palestin sudah tidak terikat dengan perjanjian itu.

Namun, apakah yang dapat dilakukan oleh pihak Palestin selain daripada membaling batu?

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Portal Berita Semasa