SETELAH hampir pasti nama Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail ditolak sebagai calon Menteri Besar (MB) Selangor, pihak media termasuk media arus perdana riuh membuat laporan kononnya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Antarabangsa, Azmin Ali sebagai orang yang disenarai-pendekkan untuk menjadi MB menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang dipecat daripada PKR dengan penuh aib dan hina.
Malah ada yang sudah membuat spekulasi Azmin yang akan bertanjak memegang tombak mengangkat sumpah sebagai MB Selangor seperti yang dijadualkan esok.
Teringat saya kata-kata menyengat bekas, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bahawa 'bangsa Melayu mudah lupa'. Dan ura-ura pelantikan Azmin sebagai MB Selangor adalah bukti kata-kata menyengat Tun Mahathir itu ada kebenarannya!
Adakah kita lupa siapa Azmin? Rakyat Selangor khususnya tentu tidak lupa perkara-perkara yang membuatkan Azmin Ali tidak layak langsung untuk menjadi MB Selangor.
Saya tidak menjadikan fakta dan hakikat Azmin sebagai anak kelahiran Singapura dengan kad pengenalan siri 71 sebagai alasan menolak dia sebagai MB. Walaupun dia punya siri nombor kad pengenalan yang biasanya digunakan kepada pendatang asing, lalu membuktikan dia bukan anak jati Selangor, tetapi fakta itu sahaja tidak cukup untuk menghilangkan kelayakan Azmin untuk menjadi MB.
Perlu diingatkan bahawa saya tiada masalah peribadi dengan Azmin. Malahan sejak menjadi peguam kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim mulai 2 September 1998, saya mengenali Azmin dan isterinya Shamsidar secara peribadi; malah saya pernah diminta oleh Anwar untuk memberi khidmat nasihat guaman kepada Azmin dan Shamsidar di peringkat awal. Ini bukan soal peribadi, tetapi ini soal prinsip, integriti, kewibawaan dan maruah.
Berikut adalah fakta-fakta menjelaskan tanpa sebarang keraguan bahawa Azmin tidak layak dipertimbangkan mengetuai kerajaan negeri Selangor:-
KALIMAH ALLAH DAN PERSOALAN
AKIDAH
Azmin dalam sidang media pada 17 Januari 2013 menyanggah ketetapan yang dibuat oleh Majlis Syura' Ulama' Pas mengenai isu kalimah Allah.
Pada 13 Januari 2013, Majlis Syura' Ulama' Pas telah membuat ketetapan melarang sebarang penggunaan kalimah Allah oleh Kristian kerana ia membabitkan persoalan akidah dan bukannya isu politik.
Azmin dalam kenyataannya menyanggah ketetapan Majlis Syura' Ulama' Pas dengan menyatakan ketetapan Majlis Syura Ulama Pas hanya mengikat ahli parti itu.
Azmin bertegas menyatakan bahawa beliau bersetuju dengan pendirian Majlis Presiden Pakatan Pembangkang DAP-PKR-Pas yang dibuat pada 8 Januari 2013 yang memperakui Kristian boleh menggunakan kalimah Allah walaupun tidak menepati kehendak al-Quran; sebagaimana yang dituntut oleh Lim Guan Eng di dalam ucapan hari Krismas pada 25 Disember 2012.
Pendirian Azmin ini jelas bercanggah dengan titah Tuanku Sultan Selangor. Ia juga jelas bercanggah dengan pendirian Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS); malahan bercanggah dengan Enakmen Pelarangan Pendakyahan Agama Bukan Islam 1988 Selangor yang jelas melarang penggunaan kalimah Allah oleh mana-mana orang bukan Islam dalam bentuk yang dilarang Islam.
Persoalannya, apakah kelak nanti akan berlaku pertembungan dan konfrontasi di antara Kerajaan Negeri Selangor di bawah pimpinan Azmin dengan Tuanku Sultan Selangor, institusi Islam negeri itu dan juga undang-undang sah negeri Selangor?
Sekurang-kurangnya Abdul Khalid jelas pendiriannya dalam isu ini - iaitu patuh kepada titah Tuanku Sultan Selangor sendiri.
Apa yang jelas pendirian Azmin yang dinyatakan melalui sidang media pada 17 Januari 2013 itu tidak pernah ditarik balik secara terbuka. Dan Azmin tidak menyatakan dengan jelas bahawa dia sudah menukar pendirian dan bersetuju dengan titah Tuanku.
Kita perlu ingat isu kalimah Allah ini belum pun tamat. Bible Society of Malaysia masih menuntut dikembalikan bible-bible versi bahasa Melayu yang mengandungi kalimah-kalimah yang dilarang.
Penerbitan The Herald membuat kenyataan semalam bahawa mereka telah memfailkan permohonan menyemak semula keputusan Mahkamah Persekutuan. Dan rayuan pihak SIB - Sidang Injil Borneo untuk penggunaan kalimah Allah oleh Kristian dan hak mendakyahkannya akan didengar oleh Mahkamah Rayuan pada 1 Oktober ini. Ini bermakna isu kalimah Allah dan penggunaan bible versi bahasa Melayu masih lagi panas berapi dan akan berpanjangan. Apakah pendirian kerajaan Azmin nanti bila isu ini berbangkit kelak?
HUBUNGAN BURUK DENGAN PM DAN KERAJAAN PERSEKUTUAN
Kita semua tahu bahawa untuk rakyat sesebuah negeri di Malaysia ini terus menikmati keamanan, pembangunan dan kemakmuran berterusan, maka kerajaan negeri wajib mempunyai hubungan yang baik dengan kerajaan Pusat di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Apatah lagi Selangor yang mempunyai kedudukan geografi dan geo-politik yang sangat rapat dengan Kerajaan Persekutuan. Mutakhir isu bekalan air bersih dan terawat bagi rakyat Selangor yang menghadapi masalah kritikal akibat kegiatan politiking yang melampau oleh pembangkang DAP-PKR-Pas di Selangor.
Kerajaan Pusat cuba membantu melalui projek Langat-2 untuk menyalurkan air daripada Pahang ke Selangor. Abdul Khalid yang menyedari isu air ini perlu diselesaikan dengan kerjasama dan bantuan kerajaan Pusat telah mengambil langkah positif dengan menandatangani perjanjian kerjasama dengan kerajaan Pusat. Tindakan Abdul Khalid dikritik hebat oleh pimpinan pembangkang dan dikatakan antara punca Langkah Kajang dilaksanakan untuk menggulingkan beliau.
Persoalannya, adakah Azmin mempunyai hubungan baik dengan kerajaan Pusat?
Pada 7 Mac lalu, semasa kempen PRK Kajang, Azmin telah membuat satu ucapan yang jelas membuktikan betapa buruknya hubungan beliau dengan Perdana Menteri, bila beliau berkata bahawa 'Najib adalah haiwan ternakan Mahathir'.
Dakwaan menghina ini dibuat Azmin konon atas dakwaan bahawa Najib 'mengarahkan Mahkamah Rayuan menjatuhkan hukuman penjara 5 tahun terhadap Anwar kerana kesalahan meliwat' pembantunya Saiful Bukhari Azlan. Keputusan itu menyebabkan angan-angan Anwar dalam Langkah Kajang untuk bertanding dalam PRK Kajang dan menjadi MB Selangor terbantut.
Malah dalam ucapan penuh penghinaan itu, Azmin memberi gambaran seolah-olah Najib terlibat dalam pembunuhan Altantuya (sila rujuk http://youtu.be/be/ezK3rhbHysU). Tuduhan dan maki hamun Azmin terhadap Najib itu dijawab oleh Mursyidul Am Tolak Individu Bernama Anwar Ibrahim (TIBAI), Muhammad Zahid Md. Arip di http://youtu.be/KR46_kGQ2jE.
Jangan lupa Azmin juga pernah membuat kenyataan mendoakan supaya 'Dr. Mahathir jatuh tersungkur' semasa Tun Mahathir j sakit di Australia.
Juga jangan lupa kerjasama erat Anwar-Azmin dalam perhimpunan haram yang dilabel sebagai Bersih yang menyaksikan rusuhan dan pelanggaran perintah polis yang belum pernah disaksikan dalam sejarah negara ini.
Kita melihat anggota polis dipukul, motosikal mereka ditendang jatuh dan anggota trafik disepak di muka, kenderaan diterbalikkan dan dipecahkan dan macam-macam lagi perbuatan ganas dan kerosakan dilakukan terhadap pasukan keselamatan dan harta-benda awam.
Jadi dalam konteks ini semua, bagaimana rakyat Selangor boleh mengharapkan sebuah kerajaan negeri yang akan mempunyai hubungan baik dengan kerajaan Pusat?
RUMUSAN
Faktor atas sudah cukup membuktikan bahawa Azmin tidak layak dipertimbangkan pun untuk menjadi MB Selangor.
Saya tidak berminat untuk mengupas dakwaan masalah moral dan sosial Azmin - yang pernah didakwa dengan skandal seks juga sebagai 'Si-Tanggang moden' yang didakwa derhaka terhadap ibunya Mak Tom sehingga Mak Tom terpaksa membuat kenyataan di televisyen sambil menangis merintih, atau dakwaan konon dia mempergunakan isterinya Shamsidar 'untuk kepentingan politik dan peribadinya'.
Pada saya, sama ada dakwaan-dakwaan ini benar atau sebaliknya tidak timbul dalam isu pelantikan MB kerana ia terlalu peribadi membabitkan rumahtangga dan peribadi Azmin, dan tidak wajar untuk dijadikan bahan bahasan umum.
Bagaimanapun, apa yang ingin saya fokuskan daripada perbincangan faktor di atas ialah soal integriti, kewibawaan dan akhlak kepimpinan yang jelas membuktikan Azmin tidak layak dipertimbangkan sebagai calon MB Selangor.
Persoalannya ialah penentuan pemilihan seorang MB, iaitu ketua kerajaan bagi negeri Selangor Darul Ehsan. Ini persoalan besar yang akan menentukan arah tuju sebuah kerajaan negeri.
Saya perlu bersuara, apatah lagi pesan Nabi Muhammad SAW hendaklah kamu cegah sebarang kemungkaran, 'jika tidak dengan tangan (kuasa) kamu, cegahlah ia dengan mulut (lisan, tulisan) kamu. Jika itu pun kamu tidak mampu, janganlah kamu redai kemungkaran itu dengan bersekongkol dengannya'.
Saya akhiri dengan peringatan Allah sendiri di dalam Surah Al-Asr, 'Demi masa, sesungguhnya manusia itu sentiasa berada di dalam kerugian; kecuali mereka yang beriman dan beramal soleh; dan mereka pula berpesan-pesan (ingat-mengingatkan) dengan kebenaran, serta berpesan-pesan (ingat-mengingatkan) dengan kesabaran'.
Datuk Zulkifli Noordin ialah
bekas Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu.
1 comment:
Slm satu melaya , sy rasa terkejut bercampur marah sampai ketulang ruduk .. Azmin tidak layak menjadi MB .. SY TAU DIA INI SIAPA.
Post a Comment