TAKZIAH kepada keluarga mangsa yang terlibat dalam tragedi pesawat MH17. Jika benar pesawat itu ditembak, jelaslah nyawa orang awam seperti tidak ada nilainya. MH17 bukannya pesawat tentera yang menceroboh ruang udara. tetapi pesawat penerbangan awam milik MAS yang membawa pelbagai latar belakang manusia di laluan yang dibenarkan. Nilai nyawa manusia juga begitu murah di Gaza. Orang awam termasuk kanak-kanak, wanita dan orang tua menjadi mangsa kekejaman tentera Zionis. Sama ada melibatkan penumpang MH17 atau penduduk Gaza, mereka menjadi mangsa sikap tidak perikemanusiaan. Kecanggihan senjata kini bebas membunuh. Ini bukan kali pertama pesawat awam menjadi mangsa
Menyelak semula insiden yang lalu, sejauh mana mereka yang bertanggungjawab menjatuhkan pesawat awam menerima hukuman sewajarnya? Adakah mereka yang melakukan jenayah itu terlepas begitu sahaja? Begitu juga dengan pembunuhan di Gaza. Ia bukan kali pertama. Di Gaza ramai yang kehilangan anak dan anak-anak menjadi yatim. Malam semalam, ketika menghadiri satu majlis meraikan anak-anak yatim di Surau Sayyidina Umar Al-Khattab, Bandar Seri Putra, Bangi, tiba-tiba fikiran melayang terkenangkan anak-anak Palestin di Gaza. Ketika itu, tergambar wajah anak-anak Gaza yang berlumuran darah dan bergelimpangan menahan kesakitan. Lebih pilu melihat kanak-kanak yang sudah meninggal dunia akibat kerakusan tentera Zionis.
Begitulah nasib malang anak-anak Gaza. Suasana di sana sudah tentu jauh berbeza dengan apa yang dinikmati di negara ini. Di sini anak-anak yatim yang kematian bapa masih mampu melompat dan berlari ke sana sini, menampakkan wajah riang. Menjelang Hari Raya Aidilfitri, mereka berpeluang bermain bunga api tanpa sebarang gangguan. Itulah dunia kanak-kanak yang belum tahu apa-apa mengenai kehidupan ini. Walaupun tidak ada bapa atau ibu di rumah, tetapi di bawah jagaan pihak-pihak berkenaan, mereka hidup ceria seperti orang lain.
Bersyukurlah kerana di Malaysia, anak-anak yatim sentiasa terbela. Mereka mendapat perhatian pihak kerajaan, pertubuhan sukarela dan masyarakat. Nasib mereka semakin terbela pada musim perayaan. Sepanjang Ramadan ini, rezeki mereka melimpah ruah disebabkan ramai yang berlumba-lumba untuk meningkatkan ibadah termasuk melalui sedekah. Tidak keterlaluan jika dikatakan, anak-anak yatim 'mewah' pada bulan Ramadan ini.
Tidak timbul soal makanan untuk berbuka atau bersahur. Begitu juga dengan pakaian. Bagaimana pula dengan anak-anak di Gaza? Melihat gambar-gambar yang tersebar melalui pelbagai medium media sama ada internet, facebook, YouTube, WhatsApp, timbul rasa keinsafan bagaimana bertuahnya anak-anak kita. Ketika rezeki di bumi kita begitu mewah, rakyat Palestin terpaksa hidup bagaikan pelarian. Mereka lari sehelai sepinggang untuk menyelamatkan diri daripada serangan Zionis. Ketika anak-anak kita cedera terkena mercun atau bunga api, anak-anak Palestin cedera dan sesetengahnya maut dalam keadaan mengerikan akibat bedilan bom tentera Zionis. Lihatlah luka dan darah di badan mereka. Lambat diubati, dibersihkan atau sekadar ada. Mungkin ketiadaan ubat, doktor dan peralatan perubatan. Lebih pilu melihat anak-anak kecil yang terbunuh dalam keadaan mengerikan.
Nilai nyawa mereka amat murah. Seperti anak kucing yang dilanggar lari. Begitulah nasib malang anak-anak Gaza. Ramadan bagi mereka amat mencabar. Bersahur dan berbuka tidaklah seindah kita di Malaysia. Apa lagi untuk persiapan Aidilfitri. Mungkin anda pernah menerima WhatsApp mengenai rakyat Palestin yang menyebut mereka kini solat enam kali sehari. Selain subuh, zuhur, asar, maghrib dan isyak, mereka juga saban hari melakukan solat jenazah. Begitulah gambaran yang ada di bumi Gaza. Sampai bila keadaan ini akan berlaku? Zionis tentunya tidak ambil peduli kelebihan soal bulan puasa atau Aidilfitri.
Bagi mereka hari-hari itu sama sahaja. Eloklah bagi kita meluangkan sedikit masa mendoakan kesejahteraan rakyat Palestin. Sesuai dengan bulan yang mulia ini, infakkan sedikit harta yang ada untuk membantu rakyat Palestin. Ambil kesempatan Ramadan ini untuk bersedekah demi kelangsungan hidup penduduk. Ganjaran bersedekah amat besar. Hadis riwayat Tarmizi: Rasulullah SAW ditanya : Wahai Rasulullah, yang mana satukah sedekah yang paling baik? Rasulullah SAW menjawab: Sedekah pada bulan Ramadan". Pada masa yang sama, bagi kesejahteraan dalam negara, pusat zakat atau baitulmal perlu aktif mengesan asnaf yang memerlukan bantuan. Agihan yang sewajarnya perlu dibuat. Kadang-kadang ada bantuan untuk kemiskinan tetapi dilupakan bantuan kesihatan dan pendidikan.
Kembali ke Gaza, seperti biasa, dunia hanya mampu mengutuk dan mengecam. Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) tidak mampu melawan kemaraan tentera Zionis. Amerika Syarikat pula seperti mengizinkan pencerobohan yang dilakukan. Nyawa kanak-kanak, wanita dan orang tua sudah tidak dipedulikan. Apa akan terjadi sekiranya, anak-anak yang baru membesar ini dibunuh? Mungkinkah ini strategi untuk menghapuskan rakyat Palestin? Seperti yang diselak minggu lepas, rakyat Palestin cuba diusir secara halus apabila penduduk meninggalkan kediaman mereka. Hanya kekuatan iman yang menjadi senjata untuk rakyat Palestin bertahan di bumi itu.
BULAN MENGAUT KEUNTUNGAN
Kita sudah memasuki fasa terakhir bulan Ramadan, fasa yang Allah janjikan maghfirahNya. Lailatul Qadar menjadi impian setiap umat Islam lebih-lebih lagi pada 10 malam terakhir. Tetapi adakah umat Islam menyedari kelebihan malam-malam terakhir ini? Di sesetengah masjid dan surau kehadiran jemaah untuk solat tarawih dan witir masih kekal seperti permulaan Ramadan. Tidak kurang juga yang jumlah kehadiran semakin merosot. Keadaan ini amat jauh berbeza dengan suasana di tempat lain khususnya di dua kota suci Mekah dan Madinah yang dibanjiri jutaan manusia. Insya-Allah, minggu depan, kita akan menyambut Hari Raya Aidilfitri. Di Malaysia, sudah tentulah suasananya meriah walaupun kita diselubungi kesedihan berikutan tragedi MH17. Menjelang Aidilfitri ini, banyak persiapan dilakukan termasuk penyediaan kuih-muih.
Selak ingin menarik perhatian mengenai hamper hari raya. Ada kalangan peniaga yang tidak jujur. Contohnya, makanan seperti biskut, gula-gula dan minuman yang hampir luput tarikhnya dimasukkan dalam hamper. Adakah ini kaedah bagi menghabiskan stok? Amat malang sekali ketika umat Islam sedang berlumba-lumba 'mengejar keuntungan' melalui ibadah, ada pula peniaga yang mencari keuntungan untuk menghabiskan stok barangan sebelum tarikh luput. Janganlah kerana mahu mengaut keuntungan segera, pengguna menjadi mangsa. Bagi yang beragama Islam, ingatlah keuntungan hasil penipuan harga atau kualiti tidak membawa keberkatan yang berkekalan.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20140721/re_03/Nilai-nyawa-orang-awam-semakin-murah#ixzz384udmBfK
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment