KOTA BHARU 13 Jun - Bekas calon DAP bagi Pilihan Raya Kecil Parlimen Teluk Intan, Dyana Sofya Mohd. Daud sepatutnya lebih mengutamakan agama Islam berbanding pendirian parti politik yang disertainya.
Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, agama yang wujud sejak beribu-ribu tahun lalu lebih penting berbanding sesebuah parti politik kerana telah menjadi pegangan hidup manusia sejak sekian lama.
Sehubungan itu katanya, tiada sebab kenapa Dyana Sofya perlu mengutamakan DAP lebih daripada agama yang dianutinya sehingga terpaksa menolak pelaksanaan hukum hudud.
"Dalam pertemuan pagi semalam, baru saya dengar penjelasan Dyana (Sofya) yang dia tidak kata tolak hudud sebagaimana dilaporkan wartawan, cuma dia ikut pendirian parti.
"Jadi saya kata pula, agama dengan parti mana lebih utama. Parti baru lagi, 40 hingga 50 tahun sedangkan agama sudah beribu-ribu tahun. Patut agama lebih utama. Dia terus senyap," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan kuliah mingguan di Medan Ilmu, di sini hari ini.
Nik Abdul Aziz berkata demikian ketika diminta mengulas pertemuan beliau dengan Dyana Sofya serta Penasihat DAP, Lim Kit Siang di pejabatnya di Kompleks Kota Darulnaim semalam.
Mengulas lanjut, bekas Menteri Besar Kelantan itu berkata, beliau turut meluahkan perasaan kecewanya terhadap tindakan Dyana Sofya yang disifatkan mengeluarkan kenyataan secara terburu-buru.
"Saya luah isi hati, bahawa saya kecewa kerana teknik (memberi kenyataan) itu tidak betul, sebab seolah-olah terus tolak hudud di peringkat pertama lagi," katanya.
Nik Abdul Aziz bagaimanapun enggan mengulas dakwaan DAP yang mengaitkan Pas dan hudud sebagai punca kekalahan dalam pilihan raya kecil tersebut sehingga Kit Siang terpaksa tampil bertemunya untuk memberi penjelasan.
"Isu itu orang yang kata, dia nak kata apa, saya tak ganggu," katanya.--UM
No comments:
Post a Comment