Keputusan rasmi PRK Parlimen Teluk Intan sudahpun diketahui di mana BN melalui calonnya Mah Siew Keong berjaya menawan kembali kerusi itu dengan kelebihan majoriti 238 undi. Mah yang juga adalah Presiden Gerakan memperolehi 20,157 undi sementara lawannya dari DAP, Dyana Sofya hanya mendapat 19,919 undi.
Kejayaan BN di PRK ini tentunya di luar jangkaan ramai pemerhati politik memandangkan kebanyakan mereka lebih yakin kemenangan akan berpihak kepada DAP disebabkan komposisi besar pengundi Cina di Teluk Intan yang mencecah 42 peratus dari keseluruhan 60,483 pengundi berdaftar.
Mungkin bersandarkan pada keputusan PRK ini akan ada pemerhati politik separa masak yang membuat andaian bahawa pengundi Cina telah mula kembali menyokong BN. Secara logik barangkali boleh dikatakan begitu walaupun sebenarnya ia memerlukan kajian mendalam untuk mengesahkan.
Pun begitu bagi penulis, secara teorinya antara kemungkinan yang menyumbang kepada kekalahan dan kegagalan DAP mempertahankan Parlimen Teluk Intan barangkali ada kaitan sedikit sebanyak dengan tindakan boikot atau sabotaj oleh ahli dan penyokong PAS berikutan isu hudud yang membelenggu DAP dan calonnya.
Telahan penulis ini bukanlah bermaksud sedikit undi pun dari ahli dan penyokong PAS langsung tidak diperolehi DAP sebaliknya penulis terasa nak percaya ramai dikalangan mereka ini sengaja tidak keluar mengundi kerana tidak sanggup bersubahat dengan pemimpin PAS untuk memenangkan DAP.
Kebanyakan pemimpin & jentera PAS yang turun berkempen untuk DAP dalam PRK ini pula adalah orang luar dari golongan Liberal Anwarinas. Bukan langsung tidak ada bantuan dari jentera tempatan, ada memang ada, cuma agak kurang menonjol tak seperti mana di PRK Sungai Limau serta PRK DUN Kajang.
Jika telahan penulis itu benar bermakna ia menandakan sudah ada riak-riak kecil permulaan ke arah protes oleh ahli dan penyokong PAS terhadap tindak tanduk pemimpin mereka yang selama ini terlalu takut dan kerap tunduk pada kemahuan DAP. Barangkali telah terdetik kesedaran untuk membebaskan diri dari terus menjadi balaci DAP.
Tidak keterlaluan kalau penulis katakan senario protes oleh ahli dan penyokong PAS yang jika benar berlaku di PRK ini memungkinkan ia merebak menjadi barah dalam PAS kelak. Mungkin hanya menanti masa untuk meletus secara besar-besaran. Sekiranya berlaku sedemikian tiada siapa yang boleh dipersalahkan melainkan terbeban di bahu para pimpinan PAS sendiri.
Bagaimanapun kesahihan telahan dan teori penulis ini hanya dapat disahkan setelah kajian mendalam dilakukan terhadap undian di setiap Pusat Daerah Mengundi (PDM) atau mungkin selepas ini akan ada pemimpin PAS sendiri yang berani mengakuinya, itu pun kalau mereka ada ‘telur’ berdepan dengan kemarahan DAP kelak.
Apapun, satu yang jelas pasti BN berjaya membuktikan kemampuannya memberi cabaran sengit sehingga akhirnya dapat mengalahkan DAP dan paling manis lagi berupaya meningkatkan perolehan undi meskipun berlaku trend kemerosotan jumlah keluar mengundi dalam PRK ini.
Tahniah kepada semua pemimpin dan jentera pilihan raya BN di atas kecemerlangan ini, semoga kejayaan merobohkan kubu DAP di Teluk Intan ini bakal menyemarakkan lagi semangat perjuangan seterusnya menjadi azimat merintis kegemilangan dalam PRU-14 tahun 2018.--MYKMU
No comments:
Post a Comment