Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan senang kepadamu hingga kamu mengikuti agama mereka. Katakanlah: “Sesungguhnya petunjuk Allah itulah petunjuk (yang sebenarnya)”. Dan sesungguhnya jika kamu mengikuti kemahuan mereka setelah pengetahuan datang kepadamu, maka Allah tidak lagi menjadi pelindung dan penolong bagimu. al-Baqarah (2) : 120

Friday, April 25, 2014

WAJIB BACA:BENARKAH TUN M HINA HUDUD?


Setiap kali timbul isu Hudud yang dibawa oleh Parti Islam se-Malaysia, setiap kali itu petikan-petikan kenyataan Tun Dr. Mahathir Mohamad menghina hukum hudud dikeluarkan semula sehingga seolah-olah menjadi satu kebenaran. Adakah benar dakwaan tersebut atau sekali lagi ia sekadar manipulasi Pas?

Berikut ialah teks penuh ucapan Tun Dr. Mahathir Mohamad (ketika itu Datuk Seri) yang dikatakan kontroversi dan menghina Hudud. Beliau berucap dalam Majlis Perjumpaan Bersama Rakyat di Akademi Islam Universiti Malaya, Cawangan Nilam Puri, Kelantan pada 3 Mac 1994.

Bismillahir Rahmanir Rahim, Dengan nama Allah yang Maha Pemurah dan Maha Mengasihani.

2. Setiap kali kita berucap atau membuat sesuatu kita mula dengan nama Allah yang Maha Pemurah dan Maha Mengasihani.

3. Sementara kita menyebut sifat-sifat yang ada pada Allah Subhanahu wa Ta`ala kita dapati ada orang yang tidak pula mengambilkira sama ada kita sendiri wajib mengamal dan menunjukkan sifat-sifat ini. Sebaliknya apabila menjalankan urusan-urusan Islam jika terdapat tafsiran al-Quran dan Sunnah yang tidak secocok dengan sifat-sifat yang ada pada Allah Subhanahu wa Ta`ala, mereka terima sahaja tanpa menyoal sama ada ianya adalah daripada ajaran al-Quran atau Sunnah atau kerana kesilapan dalam kefahaman dan tafsiran ajaran-ajaran ini.

4. Antara kita ada juga yang tidak cuba mengikut atau menghayati sifat-sifat yang ada pada Allah Subhanahu wa Ta`ala. Antara kita ada yang bukan sahaja tidak penyayang dan pengasih, tetapi juga mudah bertindak dengan tidak adil kepada umat Islam yang lain dan umat manusia. Mereka ini tidak menganggap kebengisan atau ketidakadilan mereka sebagai bertentangan dengan ajaran Islam. Dengan ini maka agama Islam tercemar dan orang Islam tidak dihormati.

5. Agama Islam disampaikan kepada umat manusia melalui bahasa Arab asli. Namun tiap seorang Arab tidak mungkin memahami ajaran Islam hanya kerana ia faham dan menggunakan bahasa Arab setiap hari.


6. Untuk memahami ajaran al-Quran dan Sunnah Nabi, semua orang Arab perlu kepada tafsiran dan penjelasan oleh orang yang sudah mempelajari agama dan membaca serta mentafsir ajaran al-Quran dan Sunnah. Tetapi tafsiran dan penjelasan oleh pakar-pakar agama ini bergantung kepada pengertian dan kefahaman atau fikh mereka tentang apa yang mereka baca dalam Quran dan Hadith. Selepas itu apa yang disampaikan oleh mereka kepada orang Arab pun bergantung kepada terjemahan mereka ke bahasa Arab harian. Ini mendedahkan mereka kepada dua kemungkinan. Jika kefahaman orang yang menyampai ajaran Quran dan Hadith salah, maka salahlah ajaran mereka. Yang kedua jika penterjemahan ke bahasa Arab harian salah, maka salahlah ajaran. Kemungkinan kesalahan berlaku menjadi lebih apabila orang bukan Arab tetapi faham bahasa Arab cuba menyampaikan ajaran Quran dan Hadith dalam bahasa bukan Arab. Kefahaman dan tafsirannya mungkin salah di samping penterjemahannya juga salah.

7. Kemungkinan kesalahan berlaku apabila seorang bukan Arab menyampaikan ajaran Islam dalam bahasa bukan Arab adalah sama dengan kemungkinan kesalahan berlaku apabila orang Arab yang fasih dalam bahasa bukan Arab mengajar melalui syarahan atau buku dalam bahasa berkenaan. Justeru itu janganlah sesiapa mendakwa bahawa ajarannya lebih tepat hanya kerana ia faham bahasa Arab. Ianya juga mungkin salah sama seperti orang Arab yang menulis dalam bahasa lain.Orang yang mempelajari agama Islam yang tidak memahami bahasa Arab tidak semestinya selalu salah berbanding dengan orang yang memahami bahasa Arab. Semua pihak terdedah kepada kesalahan kefahaman atau tafsiran atau penterjemahan oleh diri sendiri atau oleh ulama.

8. Amatlah angkuh bagi orang Melayu yang faham bahasa Arab moden mendakwa bahawa hanya kefahaman dan tafsiran mereka sahaja yang tepat dan sesiapa yang mempelajari agama melalui tafsiran dan kefahaman ulama lain dalam bahasa bukan Arab tidak tepat dan tidak boleh diterima. Tiap kali mereka mengulas tafsiran mereka dalam bahasa bukan Arab, mereka juga boleh melakukan kesalahan sama seperti orang yang menulis buku-buku agama dalam bahasa bukan Arab. Tidak ada perbezaan antara orang yang tahu bahasa Arab dan mengajar dalam bahasa Melayu, dengan orang yang juga tahu bahasa Arab dan menulis dalam bahasa Melayu.

9. Perbezaan tafsiran terhadap ajaran Islam memang berlaku sepanjang zaman, walaupun di kalangan orang yang berbahasa Arab. Ini adalah oleh kerana terdapat dalam al-Quran bukan sahaja ayat-ayat yang jelas dan terang seperti yang menyatakan babi dan zina adalah haram.

10. Tetapi terdapat kebanyakan daripada ayat-ayat dalam al-Quran yang memberi panduan secara umum. Ini memang begitu kerana panduan ini adalah untuk keadaan yang berbeza-beza. Dengan itu tafsiran ayat-ayat ini melalui proses ijtihad sekali pun boleh berbeza mengikut kefahaman atau fikh pentafsir atau keadaan atau zaman.

11. Hanya kerana ada perbezaan tafsiran ini tidak bermakna yang satu itu betul dan yang lainnya semua salah. Semua tafsiran mungkin betul dan semua mungkin salah, dan juga mungkin ada yang betul dan mungkin ada yang salah antara tafsiran-tafsiran yang dibuat. Bukanlah suatu perkara yang mustahil bagi hasil ijtihad yang dahulu dibatal atau diubah oleh ijtihad yang kemudian. Yang tidak boleh diubah atau dipinda ialah ayat-ayat al-Quran dan Hadith yang sahih.Ahli fikh boleh mempunyai kefahaman yang berbeza berkenaan ayat dan Hadith yang sama.

12. Oleh kerana terdapat perbezaan tafsiran ajaran Islam dalam al-Quran dan Hadith maka terbentuklah banyak mazhab. Tidak ada satu mazhab yang berhak mendakwa bahawa ianya sahaja Islam, dan yang lain tidak Islam.

13. Walaupun ada ajaran yang tetap menyeleweng dan tidak Islam tetapi mazhab-mazhab yang diiktiraf, walaupun berbeza, tidak boleh didakwa tidak Islam dengan sewenang-wenangnya.

14. Yang ditegah oleh agama Islam ialah perpecahan di kalangan ummah. Dalam Surah Al-An`am Ayat 159 Allah berfirman yang bermaksud: ” Sesungguhnya orang-orang yang memecahbelah agamanya dan mereka menjadi beberapa golongan, tidak ada sedikit pun tanggungjawab terhadap mereka …. Allah yang akan memberitahu kepada mereka apa yang telah mereka perbuat” 15. Dakwaan oleh PAS bahawa sesiapa tidak menerima undang-undang hudud PAS menjadi murtad amatlah bertentangan dengan ajaran Islam yang memberi kelonggaran dalam mentafsir ajaran Islam sehingga perbezaan boleh berlaku. Kita dibenar menolak atau menerima mana-mana tafsiran. Undang-undang hudud PAS adalah hasil kefahaman atau fikh dan tafsiran orang PAS akan ajaran al-Quran dan hukum syarak. Ia juga adalah hasil kepentingan politik parti. Ia tidak menjadi sebahagian daripada ajaran Islam yang mesti diterima oleh semua orang Islam. Ia tidak pun termasuk dalam ajaran Islam hasil kefahaman dan tafsiran imam-imam yang diiktiraf baik oleh puak Sunni atau Syiah.

16. Kita tidak menafikan adanya orang yang boleh menjadi murtad. Ada syarat dan perbuatan tertentu yang membolehkan kita mendakwa orang itu murtad. Penolakan undang-undang PAS tidak termasuk dalam syarat-syarat ini. Bahkan undang-undang PAS juga tidak memasukkan `kesalahan` menolak undang-undang PAS sebagai sebahagian daripada perbuatan irtidad atau riddah. Ini boleh dilihat dalam seksyen 23 dalam undang-undang PAS.

17. Oleh itu PAS tidak boleh mendakwa bahawa undang-undangnya tepat dan menjadi sebahagian daripada ajaran Islam. Kesahihan undang-undang PAS pun belum boleh ditentukan. Ia mungkin bertentangan dengan ajaran Islam sendiri.

18. Untuk menentukan sama ada undang-undang hudud PAS Kelantan mematuhi hukum hudud dalam Islam, tidak ada ujian yang lebih tepat daripada penilaian terhadap adil atau tidak adilnya hukuman yang akan dihasilkan oleh undang-undang PAS.Jika adil maka kemungkinannya ialah ia diasaskan kepada hukum-hukum Islam. Jika hukuman yang dibuat berasaskan kepada undang-undang PAS itu jelas dan nyata tidak adil maka mustahillah ia adalah berasaskan kepada hukum-hukum Islam sepenuhnya yang juga mengambilkira maslahah Am Syariah.Soal berat atau tidak hukum Islam berbanding dengan hukum dalam undang-undang semasa tidak perlu diambilkira.

19. Sebagai contoh untuk kajian, kita boleh mengambil kes rogol. Secara ringkas seorang wanita yang belum kahwin dirogol. Ia membuat pengaduan terhadap orang yang merogolnya, orang yang dikenali olehnya. Apakah yang akan berlaku dengan kes ini mengikut undang-undang PAS, iaitu Seksyen 10 berkenaan Zina.

20. Untuk mengesahkan bahawa wanita itu benar-benar telah dirogol dan bukan ianya dengan rela hati berzina, empat orang saksi yang terdiri daripada orang yang tidak berdosa besar dan tidak melakukan dosa-dosa kecil berulangkali diperlukan.

21. Saksi seperti ini sudah tentu sukar didapati. Yang pertamanya, perogol tidak merogol di hadapan saksi. la sudah tentu tidak ingin mendedahkan dirinya kepada hukuman yang berat yang akan dikenakan ke atasnya. Jika hukuman tidak berat sekalipun ia tidak akan mendedahkan dirinya.

22. Saksi yang mulia tidak akan berdiam diri melihat perbuatan merogol berlaku di hadapan mereka. Tentulah mereka tidak bertanggungjawab jika mereka melihat jenayah yang begitu dasyat berlaku di hadapan mereka tanpa memberi pertolongan. Jika mereka tidak cuba menolong maka mereka akan menjadi orang yang bersubahat dengan perogol. Ini bermakna mereka turut berdosa dan tidak layak lagi untuk menjadi saksi yang boleh diterima.

23. Hanya jika mereka dipaksa menyaksi dan diugut oleh perogol atau rakan-rakannya mungkin saksi terpaksa menyaksi tanpa membuat apa-apa. Keadaan ini tidak mungkin berlaku melainkan dalam peperangan umpamanya, di waktu mana rogol berlaku tanpa apa-apa sekatan seperti di Bosnia, di mana orang Serb yang bukan Islam sering merogol. Tetapi mereka bukan Islam dan mengikut undang-undang PAS mereka tidak akan dikenakan hukum hudud.

24. Yang jelas ialah mangsa rogol yang membuat pengaduan tidak mungkin mendapat saksi-saksi yang boleh diterima di bawah undang-undang PAS. Dengan itu perogol tidak boleh didakwa di bawah undang-undang PAS.

25. Undang-undang PAS juga tidak akan menerima `circumstantial evidence` iaitu tanda-tanda pada mangsa yang membuktikan ia telah dirogol. Undang-undang PAS tidak menerima kesan atau cedera luka di tempat-tempat berkenaan atau tanda-tanda pada perogol yang menunjuk mangsanya telah melawan untuk mempertahankan kehormatannya.

26. Dengan tidak adanya saksi yang empat yang diterima sah oleh undang-undang PAS dan penolakan `circumstantial evidence` maka pengaduan dan tuduhan oleh mangsa rogol akan ditolak. Perogol akan terlepas daripada apa-apa hukuman.

27. Sementara itu jika wanita yang tidak berkahwin melahirkan anak maka ia dianggap telah melakukan zina. Oleh kerana ia tidak dapat membuktikan ia telah dirogol maka ia tidak akan dapat mempertahankan dirinya daripada tuduhan zina apabila ia hamil dan melahirkan anak. Mengikut undang-undang PAS wanita yang tidak berkahwin tetapi melahirkan anak adalah salah kerana zina. Dengan itu ia akan dihukum kerana berzina. (Seksyen 46 Sub seksyen 2) — Undang-undang PAS.

28. Hukuman ini berat, jika yang melakukan zina itu telah berkahwin, boleh dihukum dengan rejam sampai mati.Jika dia belum berkahwin, boleh dihukum dengan sebatan sebanyak 100 kali. Terdapat pandangan baru dalam hukuman rejam ke atas orang yang telah berkahwin tetapi ini telah tidak diambil kira.

29. Apakah boleh umat Islam menerima bahawa menghukum mangsa rogol tetapi melepaskan orang yang merogol adalah adil? Kita boleh kata bahawa wanita sepatutnya menjaga dirinya dan tidak bergerak ke mana-mana tanpa muhrim untuk mengelak daripada dirogol. Tetapi kita tahu bahawa walau bagaimana dijaga sekalipun akan ada wanita yang akan dirogol. Mereka boleh diculik walaupun selalu berada dengan muhrim. Kemudian mereka boleh dirogol.

30. Apakah kita boleh terima bahawa menghukum mangsa jenayah dan melepaskan penjenayah adalah adil? Sudah tentu siapa sahaja akan menganggap hukuman seperti ini tidak adil, bahkan menganiayanya. Apakah wanita dalam masyarakat yang sanggup menghukum mereka jika mereka dirogol akan berasa terselamat? Apakah masyarakat yang begitu tidak adil sehingga melepaskan perogol dengan sewenang-wenangnya akan menjadi tenteram? Apakah ada keadilan dalam masyarakat yang sedemikian?

31. Islam adalah agama yang membawa keadilan kepada Arab Jahiliah dan kepada umatnya yang lain. Islam menjamin keadilan bagi semua rakyat yang berada dalam negara Islam dan masyarakat Islam. Islam tidak mungkin mengizinkan ketidakadilan menjadi sebahagian daripada ajarannya. Islam tetap menegakkan keadilan dan mempertahankannya. Kezaliman bukan sesuatu yang menjadi sifat KeIslaman.Firman Allah S.W.T. dalam Surah Saad Ayat 27 – bermaksud; ” Dan tiadalah kami mencipta langit dan bumi serta segala yang ada di antara keduanya sebagai ciptaan yang tidak mengandungi hikmat dan keadilan “.Dalam Surah Asy-Syura Ayat 17 Allah Berfirman bermaksud, ” Allah yang menurunkan Kitab suci dengan membawa kebenaran, dan menurunkan keterangan yang menjadi neraca keadilan “.Dalam Surah Arrahman Ayat 7 – ” Dan langit dijadikannya tinggi serta Ia mengadakan undang-undang dan peraturan neraca keadilan “.Ayat 8 ” Supaya kamu tidak melampau batas dalam menjalankan keadilan “.

32. Justeru itu sebarang kezaliman yang berlaku dalam masyarakat Islam bukanlah kerana ajaran Islam. Sebarang kezaliman dalam masyarakat Islam dan negara Islam adalah kerana umat Islam atau pemimpin Islam atau Kerajaan Islam tidak mengikut ajaran Islam atau mereka menyalahtafsirkan ajaran Islam yang sebenar. Dan ini memang kerap berlaku dan menyebabkan masyarakat dan negara Islam menjadi mundur,
tidak tertib, kucar-kacir dan lemah.

33. Undang-undang PAS adalah hasil tafsiran PAS terhadap ajaran agama Islam. Ia bukanlah undang-undang Islam yang asli. Ia juga bukan mengikut tafsiran ajaran Islam yang tepat. Ia adalah hasil kefahaman dan kajian agama Islam yang dibuat oleh orang-orang yang mempunyai kefahaman Islam yang tidak mendalam. Lebih buruk lagi ialah ia dibuat oleh orang dan puak yang mempunyai kepentingan tertentu, yang mana kepentingan ini tidak ada kena mengena dengan kepentingan Islam. Kepentingan Islam dalam sesebuah negara mengambilkira maqasid Am Syariah. Ini telah diketepikan.Ia adalah dipengaruhi oleh kepentingan politik sebuah parti politik yang dicipta oleh orang yang beragama Islam yang sama dengan orang Islam lain di zaman ini dan dalam sejarah Islam. Dan kita lihat bagaimana berkali-kali orang Islam atau Kerajaan orang Islam sengaja menyalahtafsirkan ajaran agama Islam untuk kepentingan mereka. Sudah tentu undang-undang PAS hasil tafsiran PAS termasuk dalam tafsiran golongan tersebut. Ini bukan kali pertama yang orang Islam membuat sesuatu yang tidak Islam tetapi berselindung dengan agama Islam. Sepanjang sejarah Islam perkara ini berlaku.Jika tidak kenapakah orang Islam yang bersaudara berperang sesama sendiri? Tidakkah peperangan sesama Islam bertentangan dengan ajaran Islam? Tetapi masing-masing mendakwa mereka berperang kerana Islam, bahkan menggunakan nama Allah.

34. Ajaran Islam tidak salah. Adalah mustahil ajaran Islam menghasilkan undang-undang yang begitu jelas tidak adil seperti yang telah dihuraikan berkenaan kes rogol.Ketidakadilan tidak boleh berlaku jika ajaran agama Islam dilaksanakan. Jika ia berlaku maka ia bukan daripada ajaran agama Islam. Adalah dusta jika sesiapa berkata ketidakadilan adalah Islam dan keadilan adalah tidak Islam.

35. Lebih buruk lagi ialah undang-undang PAS bukan sahaja tidak adil tetapi ia menyebabkan agama Islam menjadi ejekan orang lain, memburukkan imej Islam, dan memisah serta menjauhkan orang lain daripada agama Islam dan orang Islam.
Jika undang-undang PAS dilaksanakan maka bilangan penganut agama Islam tidak akan bertambah, bahkan akan berkurangan.Sebaliknya kita tahu Islam telah berkembang sebelum ada PAS dan undang-undang PAS. KeIslaman orang PAS sendiri adalah kerana tidak ada PAS dan undang-undang PAS di zaman orang Melayu menerima Islam.

36. Kerana ketidakadilan ini sahaja pun kita tidak boleh terima undang-undang PAS sebagai undang-undang Islam sebenar. Tetapi undang-undang PAS mempunyai unsur-unsur dan kesan-kesan lain yang buruk yang juga tidak Islam.Umpamanya di negara berbilang kaum seperti di Malaysia ianya dihadkan oleh Kerajaan PAS kepada orang Islam sahaja.

37. Di zaman Nabi memang benar orang Yahudi dihukum dengan undang-undang mereka semasa Nabi memerintah di Madinah.Tetapi hukuman di bawah undang-undang Taurat Yahudi adalah sama berat dengan hukuman di bawah undang-undang Islam.

38. Apabila orang Islam memerintah negara-negara yang mempunyai rakyat yang bukan beragama Islam, umpamanya orang Kristian Koptik di Mesir, undang-undang yang dikenakan ke atas orang Koptik ialah undang-undang yang dicipta oleh Kerajaan Islam hasil kajian dan interpretasi mereka terhadap ajaran Islam. Oleh itu orang Koptik tidak dikenakan bayaran zakat dan fitrah. Mereka dikenakan cukai kepala, atau jizyah iaitu tiap seorang orang Koptik dikenakan cukai sekian banyak tiap-tiap tahun. Ini juga amalan beberapa Kerajaan Islam dahulu. Setelah membayar jizyah mereka mendapat perlindungan. Mereka boleh dikecualikan daripada perkhidmatan ketenteraan. Dengan mengenakan jizyah maka cukai ke atas orang bukan Islam menjadi sama dengan orang Islam. Tidak siapa boleh berkata jizyah tidak adil atau zakat tidak adil.

39. Ini adalah undang-undang Kerajaan Islam. Akan tetapi cara pelaksanaannya berubah mengikut keadaan. Ada fleksibiliti dalam pelaksanaan. Jika masyarakat atau negara Islam lain tidak menerima atau tidak mengamalkan sistem cukai jizyah ke atas orang bukan Islam, ini tidak bermakna bahawa mereka tidak Islam. Mereka masih Islam. Hanya keadaan di sesebuah negara itu yang boleh menentukan. Dalam perkara ini kaedah fekah ada menyatakan, ” Hukum itu berubah dengan sebab perubahan masa, tempat dan waktu ” dan kaedah lain menyatakan, ” Tindakan imam atau ketua negara ke atas rakyat bergantung kepada maslahah “. Kaedah-kaedah ini terkandung dalam prinsip yang besar yang dipanggil Siasah Syari`ah.

40. Undang-undang PAS tidak akan dikenakan ke atas orang bukan Islam di Kelantan. Tetapi orang bukan Islam di Kelantan tidak terletak di bawah undang-undang mana-mana kitab. Mereka terletak di bawah undang-undang ciptaan manusia.

41. Selain daripada itu hukum di bawah undang-undang yang akan dikenakan ke atas orang bukan Islam amat berbeza dengan hukuman ke atas orang Islam di bawah undang-undang PAS.Sementara orang Islam yang berzina akan dikenakan hukuman rejam dengan batu sampai mati, orang bukan Islam hanya akan didenda atau di penjara buat beberapa bulan atau tahun sahaja. Bolehkah kita menerima hukuman bunuh dan hukuman penjara itu sama?

42. Sebaliknya mengikut Taurat Yahudi orang yang berzina dikenakan hukuman rejam dengan batu sampai mati, iaitu sama dengan hukuman dalam Islam. Inilah hukuman yang dijatuhkan oleh Nabi apabila sepasang orang Yahudi dihadapkan kepada Baginda kerana berzina. Tidaklah ada sesiapa yang boleh berkata hukuman ke atas orang bukan Islam lebih ringan daripada hukuman ke atas orang Islam. Dengan perkataan lain ketidakadilan tidak berlaku di Madinah di bawah pemerintahan Nabi.

43. Sekali lagi terbukti yang undang-undang PAS tidak sedikit pun berasas kepada maqasid syariah. Ia akan menyebabkan ketidakadilan yang ketara berlaku — dan ketidakadilan tidak boleh dianggap sebagai Islam. Perbezaan hukuman bagi orang Islam dan orang bukan Islam adalah tidak Islam.

44. Undang-undang PAS adalah hasil tafsiran agama Islam oleh orang PAS. Tiada ada siapa yang berhak menjadikan tafsirannya sebahagian daripada agama Islam. Punca dan asas agama Islam hanyalah al-Quran dan Sunnah Nabi.

45. Tafsiran oleh orang lain walaupun melalui proses ijtihad tidak menjadi sebahagian daripada hukum Islam yang mutlak sehingga penolakannya menjadi seseorang Islam itu murtad.

46. Kita tahu bahawa penentuan hukuman, tafsiran atau pandangan Islam terhadap sesuatu walaupun melalui proses ijtihad berbeza di antara kumpulan dengan kumpulan, dan daripada satu masa ke satu masa. Apatah lagi apabila tafsiran, hukuman dan pandangan yang dibuat tidak melalui proses ijtihad yang sah.

47. Undang-undang PAS bukanlah hasil proses ijtihad yang sah. Ia dibuat kerana kepentingan yang lain daripada agama, khususnya kerana politik parti PAS. PAS sendiri mendakwa bahawa undang-undang ini dibuat kerana tekanan politik oleh UMNO. Ia bukan kerana politik Islam. Politik parti dan politik Islam bukan perkara yang sama. Dengan itu ia tidak boleh diterima sebagai sah di sisi agama Islam.

48. Hukuman yang tidak sama, hukuman yang membezakan antara pesalah yang melakukan kesalahan yang sama, hukuman yang amat berat bagi seseorang pesalah tetapi amat ringan bagi pesalah yang lain yang melakukan kesalahan yang sama adalah tidak adil, baik daripada segi Islam atau bukan Islam.Hukuman yang tidak adil tidak boleh dikatakan berasaskan kepada agama Islam. Dalam Islam ketidakadilan tidak boleh berlaku. Jika ia berlaku sudah tentu ia bukan daripada Islam. Dakwaan PAS dengan sewenang-wenangnya bahawa undang-undang ciptaan PAS hanya akan dikenakan kepada orang Islam sahaja dan tidak kepada orang bukan Islam tetap tidak adil dan dengan itu tidak Islam.Dalam sebuah hadis Rasulullah s.a.w. ada bersabda, ” Sesungguhnya yang menyebabkan binasanya orang di zaman silam ialah kerana mereka apabila seorang yang mempunyai kedudukan di kalangan mereka mencuri mereka biarkan dan apabila orang yang lemah di kalangan mereka mencuri, mereka potong tangannya. ”

49. Islam bukan agama yang buta tuli, yang tidak mengambilkira keadaan, yang tidak mengambilkira masalah penganutnya dan umat Islam setempat atau keseluruhan, yang membebankan individu Islam dan umat Islam. Sebaliknya Islam adalah agama Tuhan yang Maha Pemurah dan Maha Penyayang, yang memberi pertimbangan kepada segala masalah yang dihadapi oleh penganut dan umat, yang tidak menekan dan menyusahkan mereka. Kalaulah dalam perkara ibadah ada kelonggaran, apakah dalam perkara perundangan tidak ada? Allah berfirman dalam al-Quran surah al-Hajj ayat 78 yang bermaksud, ” Dan sekali-kali tidak menjadikan untuk kamu dalam agama suatu kesempitan “.

50. Untuk itu banyak kelonggaran diberi dalam pengamalan ajaran-ajaran Islam, dalam pelaksanaan dan amalan ibadat dan sudah tentu dalam penguatkuasaan hukum. Sebagai contoh amalan rukun Islam yang lima pun diberi kelonggaran. Bagi anak kecil yang belum boleh bertutur dan memahami, bagi orang yang bodoh atau gila, lafaz dua kalimah syahadat tidak dikenakan. Demikian bagi orang yang diancam seksaan atau bunuh tidak melafazkan dua kalimah syahadat tidak menjadi kesalahan asalkan diniat dalam hati.

51. Untuk solat, keadaan alam sekeliling diambilkira. Yang pertamanya masa dilonggarkan, bahkan sembahyang boleh didahulukan atau ditangguhkan, dipendek atau dicantumkan dalam keadaan tertentu. Bagi yang sakit yang tidak dapat bergerak dengan sempurna, gerakbadan semasa bersembahyang tidak diperlukan sepenuhnya sebelum sembahyang menjadi sah.Bahkan penganut Islam boleh sembahyang sambil tidur, sambil duduk atau semasa bergerak dalam kenderaan. Untuk wuduk pun banyak kelonggaran diberi. Islam memberi `rukhsah` kepada umatnya.

52. Demikian juga dengan puasa, mengeluar zakat dan ibadat haji. Semuanya bergantung kepada kemampuan tertentu.Tidaklah menjadi kesalahan dan berdosa jika tidak melakukannya kerana keadaan tidak mengizinkan, kerana sakit, kerana miskin dan sebab-sebab lain. Jelas sekali fardhu ain pun tidak dipaksa ke atas umat dengan begitu keras sehingga menimbul masalah dan menjadi beban kepada mereka. Jelas bahawa semuanya dibenarkan mengikut prinsip-prinsip Islam.

53. Larangan terhadap orang Islam juga mengambilkira keadaan dan masalah yang dihadapi. Daging babi tidak boleh dimakan. Tetapi oleh kerana Islam menghargai nyawa manusia, terutama nyawa orang Islam, daging babi pun dihalalkan jika tidak ada makanan lain untuk menyelamatkan nyawa. Darurah membolehkan yang terlarang.

54. Sudah tentu dalam pelaksanaan hukum hudud, ianya tidaklah sehingga memudaratkan orang Islam. Hukum hudud adalah untuk keadilan dan kebaikan ummah. Jika ini tidak tercapai kerana keadaan atau sebab-sebab lain, ia boleh ditangguhkan pelaksanaannya. Sebagai contoh dalam pemerintahan Khalifah Hisyam bin Abdul Malik, pelaksanaan hukum hudud telah digantungkan selama setahun. Tentu ada justifikasinya mengapa pemerintahan Islam ketika itu tidak melaksanakan hukuman hudud. Menguatkuasakan hukum hudud sehingga melemahkan orang Islam, sehingga menjadi masyarakat mereka kucar kacir dan ditindas oleh orang lain tidaklah secocok dengan amalan ibadat-ibadat dan ajaran Islam yang lain yang memberi berbagai-bagai kelonggaran supaya tidak menjadikan beban kepada orang Islam. Allah Subhanahu wa Ta`ala yang disebut berkali-kali sebagai Yang Maha Mengasihani dan Maha Menyayangi tidak menjadikan Islam sebagai agama yang zalim dan tidak bertimbangrasa.

55. Yang menyebabkan Islam menjadi beban, zalim dan penghalang kepada kesejahteraan umat Islam ialah orang tertentu yang fanatik dan ingin menjadikan Islam sebagai agama ibadah dan amalan buta-tuli.

56. Ini mungkin benar dalam agama-agama lain yang menganggap ibadat yang menyusah dan menyeksa pengikutnya boleh menguji kekuatan pegangan kepada agama berkenaan.Dengan itu banyaklah acara menyeksa diri yang diamalkan.Kadang-kadang membunuh diri dianggap perlu dan baik bagi penganut yang setia, yang kuat kepercayaannya.

57. Dalam Islam tidak ada ajaran yang menyeksa diri untuk mendapat pahala. Banyak kelonggaran diberi sehingga dalam keadaan tertekan orang Islam boleh secara zahir menerima agama lain tetapi secara tersembunyi terus memegang kepada agama Islam. Sebab itu di zaman Komunis memerintah beberapa negara Islam di Eropah Timur dan Asia Tengah, agama Islam ternampak seolah-olah sudah hilang. Tetapi apabila sahaja Komunis ditewas, Islam kembali kepada negara-negara ini walaupun berpuluh tahun telah berlalu setelah Islam ditegah.

58. Jika kelonggaran diberi dalam Islam sehingga ke peringkat ini, apakah dalam pelaksanaan hukum hudud tidak ada sama sekali kelonggaran, tidak ada faktor dan keadaan yang diambilkira? Apakah hukum hudud mesti dilaksanakan juga walau apapun keadaan sehingga mendatangkan mudarat kepada orang Islam dan agama Islam? Apakah dalam keadaan Islam sudah lemah, hukum-hukum yang boleh melemahkan lagi orang Islam mesti dilaksanakan juga? Apakah orang Islam yang tinggal di negara majoriti bukan Islam terpaksa melaksanakan juga hukum hudud sehingga mereka didakwa di bawah undang-undang negara berkenaan? Bukankah Islam itu luas dan `flexible` serta mampu `respond` kepada perubahan yang berlaku pada umat manusia, perubahan masa dan tempat.Inilah yang menyebabkan Islam itu sesuai dengan setiap masa dan tempat. Keadaan yang berlaku tentu diambilkira.Lebih-lebih lagi apabila keadaan umat Islam itu berada dalam keadaan lemah dan kurang kemampuan. Keadaan demikian boleh dianggap sebagai berada dalam keadaan darurat.

59. Islam bukan agama buta-tuli yang tidak mempedulikan keadaan sekeliling dan kesan daripada pengamalan ajarannya.Tuhan yang Maha Mengasihani dan Maha Menyayangi tidak akan menyeksa umatnya. Yang buta tuli ialah sesetengah daripada ahli fikh dan pentafsir fanatik dalam Islam. Mereka ini yang menjadikan agama Islam beban besar kepada umat Islam sehingga mereka lemah dan tidak dapat menjayakan diri mereka
walaupun untuk akhirat. Yang ingin menjadikan agama Islam agama buta tuli ialah mereka yang mempunyai kepentingan lain, umpamanya politik persendirian.

60. Undang-undang PAS perlu dikaji sebelum ia boleh diterima atau ditolak oleh sebuah Kerajaan yang ingin menerap nilai-nilai Islam seperti Kerajaan Barisan Nasional.Sudah tentu Kerajaan tidak boleh membelakangkan dengan sewenang-wenangnya undang-undang yang didakwa berpunca daripada ajaran Islam.

61. Kerajaan Barisan Nasional di Peringkat Pusat telah mengambil masa yang panjang untuk mengkaji undang-undang yang diluluskan dengan begitu mudah oleh Kerajaan PAS di Kelantan. Kajian ini belum tamat. Kajian ini akan diteruskan. Tetapi untuk memberi panduan kepada rakyat negara ini, hasil kajian hingga kini perlu dimaklumkan kepada mereka. Ini adalah bertujuan untuk menjaga kepentingan umat Islam di Malaysia tanpa mengira parti atau kumpulan. Walaupun orang Islam di Malaysia terselamat dan mampu menghadapi banyak cabaran dunia luar, tetapi mereka masih lemah dan belum dapat memelihara keselamatan diri mereka. Sudah tentu mereka belum boleh menolong umat Islam yang tertindas di tempat-tempat lain. Justeru itu, Kerajaan yang bertanggungjawab terhadap umat Islam dan agama Islam tidak boleh membenar mana-mana pihak melaksanakan sesuatu yang berkaitan dengan agama Islam tanpa terlebih dahulu mengkaji baik buruk kesannya terhadap orang Islam dan agama Islam. Kerajaan Pusat bertanggungjawab dan tidak akan mengabaikan tanggungjawab ini. Kerajaan Negeri Kelantan tidak boleh dibenar melakukan sesuatu yang mungkin bertentangan dengan agama Islam.

62. Perkara yang pertama yang perlu ditentukan ialah apakah undang-undang ini dibuat melalui proses yang mengikut kehendak dan amalan dalam Islam, iaitu berdasarkan kaedah feqah yang syaamil. Jawapan secara ringkas tetapi tepat kepada soalan ini ialah proses ini tidak digunakan. Segala alim ulama di dalam negara, bahkan di negeri Kelantan pun, tidak terlibat dalam proses tafsiran dan kajian ajaran yang terdapat dalam undang-undang Hudud PAS. Yang dibuat ialah kajian yang terhad yang tidak boleh ditafsir sebagai selari dengan kaedah feqah dan mencapai maslahah umat Islam.

63. Mereka yang diberi peluang mengambil bahagian adalah ulama daripada parti politik tertentu atau yang bersimpati dengan parti itu sahaja. Pendirian mereka sudahpun diketahui. Mereka tidak bebas dan tidak mungkin mengasingkan diri daripada pendirian politik mereka. Dalam keadaan ini ajaran dan kepentingan Islam dan umat Islam tidak mendapat kedudukan yang utama dan unggul. Kepentingan politik parti mempengaruhi fikiran dan proses kajian.Politik Islam juga tidak mendapat tumpuan yang unggul kerana politik parti dicampuradukkan.

64. Hukum hudud adalah berkenaan dengan jenayah.Ulama yang alim dalam ajaran Islam dan hukum hakam Islam tidak semestinya pakar dalam bidang jenayah. Keadaan dan jenayah di zaman Nabi tidak sama seperti di zaman ini.Demikian masyarakat diMadinah, bahkan masyarakat di negara-negara Islam semasa hukum hudud dilaksanakan sepenuhnya, amat berbeza dengan masyarakat di Malaysia di waktu ini. Masalah penduduk berbilang kaum dengan komposisinya di Malaysia memerlukan pertimbangan secara serius dan istimewa. Jenis jenayah perlu diambil kira.Hukuman dibawah undang-undang biasa juga perlu diambilkira.

65. Untuk semua ini pendapat dan hujah-hujah daripada pakar-pakar jenayah bukan sahaja di Kelantan tetapi di seluruh negara (kerana undang-undang yang hendak digubal akan melibatkan secara langsung atau secara tidak langsung rakyat seluruh negara) perlu bersama dalam proses ijtihad.Tidak ada bukti yang pakar-pakar ini mengambil bahagian sepenuhnya. Ini bermakna proses ijtihad daripada segi ini juga tidak diamalkan. Ini menjadikan proses rundingan cetek dan tidak menepati kehendak dan semangat ijtihad.

66. Kerana ini sahaja pun undang-undang PAS tidak boleh diterima sebagai secocok dengan kehendak agama Islam. Jauh daripada penolakannya menjadikan seseorang orang Islam itu murtad, kemungkinannya ialah penerimaannya akan menjadi orang yang baru memeluk Islam kembali semula ke agama asal mereka.

67. Kajian yang akan dibuat oleh Kerajaan Pusat terhadap undang-undang PAS tertumpu kepada semua aspek yang penting dalam Islam. Perkara yang akan dipersoalkan ialah apakah undang-undang PAS berkenaan dengan hukum hudud Islam menepati dan mencapai maksud dan matlamat hukum hudud dalam Islam?

68. Soal yang kedua ialah apakah undang-undang PAS akan menjamin keadilan bagi mereka yang akan didakwa di bawahnya? Hukum hudud bukan menekan keberatan hukum dalam Islam tetapi sebaliknya adalah untuk keadilan. Menganggap keadilan tidak penting dalam Islam adalah salah. Sebenarnya kedatangan Islamlah yang membawa keadilan kepada Arab Jahiliah dan masyarakat lain yang menerima Islam. Sebab keadilannyalah Islam mudah diterima.

69. Secara sambil lewa dan mudah pemimpin PAS mendakwa bahawa undang-undang PAS tidak akan dipaksakan ke atas orang bukan Islam. Dakwaan ini dibuat kerana kepentingan politik.Walaupun Nabi sendiri tidak menggunakan undang-undang Islam untuk mengadili orang bukan Islam, tetapi hasilnya masih keadilan bagi semua pihak, yang Islam dan yang bukan Islam.

70. Tetapi jika undang-undang PAS diguna untuk orang Islam dan undang-undang jenayah biasa diguna untuk bukan Islam maka hasilnya ialah perbezaan hukuman yang amat ketara antara penjenayah Islam dan penjenayah bukan Islam bagi jenayah yang sama. Perbezaan hukuman untuk jenayah yang sama amatlah tidak adil bagi apa juga sistem nilai atau agama.

71. Daripada kajian yang telah dibuat amatlah jelas bahawa undang-undang PAS Kelantan adalah tidak menepati sepenuhnya undang-undang, semangat dan sifat-sifat yang ada pada agama Islam. Ia tidak mengasaskan sepenuhnya kepada maqasid syariah. Undang-undang PAS bukan sahaja tidak boleh diterima tetapi setakat ini hendaklah ditolak.

72. Ini tidak bermakna kita menolak hukum hudud. Kita hanya menolak tafsiran dan undang-undang PAS Kelantan yang tidak serasi dengan maqasid syariah. Penolakan sesuatu yang salah adalah wajib jika kita berpegang kepada ajaran Islam.

73. UMNO tidak melihat undang-undang ini sebagai UMNO, sebagai sebuah Parti Politik. UMNO mengasingkan parti dan politik dalam perkara ini. UMNO hanya mengkaji daripada sudut agama semata-mata. Siapa juga mesti kaji, terima atau tolak undang-undang PAS daripada sudut agama. Adalah salah melihat undang-undang Islam daripada sudut atau kepentingan Parti. UMNO tidak berbuat demikian.

74. Yang menolak dan patut menolak undang-undang PAS ialah orang Islam dalam UMNO. Pendirian UMNO sehingga kini ialah kerana orang Islam dalam UMNO belum mendapat bukti kajian yang tepat dilakukan berlandaskan ilmu feqah dan maqasid syariah. la bukanlah satu keputusan yang dibuat oleh UMNO secara sewenang-wenang.

75. Saya bercakap di sini sebagai seorang orang Islam yang dipertanggungjawab sebagai Presiden UMNO. Saya juga dipertanggung jawatan Perdana Menteri Kerajaan Malaysia.Soal undang-undang PAS bukan soal Dewan Rakyat semata-mata, walaupun Dewan Rakyat mempunyai peranan mengikut Perlembagaan Negara.

76. Kerajaan perlu mengkaji secara teliti undang-undang PAS Kelantan. Satu badan yang terdiri daripada orang Islam yang pakar dalam agama, hukum hakam dan jenayah perlu ditubuh.Mereka ini hendaklah terdiri daripada orang yang tidak mempunyai apa-apa kepentingan yang lain selain pegangan kepada agama Islam. Namun mereka perlu kepakaran bukan sahaja dalam agama Islam tetapi juga dalam agama-agama lain dan dalam bidang jenayah dan undang-undang sivil dan jenayah. Seperti biasa mereka perlu mengambilkira keadaan semasa yang mempengaruhi amalan dan pelaksanaan ajaran, ibadat dan hukum dalam Islam.

77. Kerajaan Malaysia, sebagai Kerajaan yang bertanggungjawab terhadap agama dan umat Islam di Malaysia akan mengambil tindakan untuk menubuhkan badan ini.Sementara itu undang-undang PAS tidak boleh diterima atau dilaksanakan oleh sesiapa kerana ia masih bukan undang-undang Islam dan bukan undang-undang negara.

3 comments:

Anonymous said...

aku teringat masa sekolah dulu..soalan aku simple aje kpd ustas aku pasal undang2 islam...hudud/qisas...mesti ke dijalankan...ustaz aku jawab..jika sesebuah pemimpin tiada kemampuan utk melaksanakannya dgn adil..maka tiada paksaan melaksanakannya...lebih kurang begitulah maksudnya...

-smh-

Anonymous said...

Subhanallah

Walaupun dah 20 thn, baru hari ni dpt penjelasan berkenaan hudud

Jijiknya PAS. Jual agama sesuka hati utk kesenangan dunia.

Marilah kita kuatkan dan amalkan rukun Islam yg 5, sebelum melangkah ke seterusnya

Terima kasih Tun

Unknown said...

Terima kasih kerana menyiarkan ucapan penuh bekas PM kita... Semoga ini dapat menjadi iktibar untuk kita semua...

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Portal Berita Semasa