Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan senang kepadamu hingga kamu mengikuti agama mereka. Katakanlah: “Sesungguhnya petunjuk Allah itulah petunjuk (yang sebenarnya)”. Dan sesungguhnya jika kamu mengikuti kemahuan mereka setelah pengetahuan datang kepadamu, maka Allah tidak lagi menjadi pelindung dan penolong bagimu. al-Baqarah (2) : 120

Monday, November 12, 2012

PERWAKILAN MUKTAMAR PAS ADALAH PENAKUT???



Bersatulah wahai kaum muslimin

Dengan obor sinar kebahagiaan

Berjihadlah wahai kaum muslimin

Biar syahid ataupun kemenangan

Berjuanglah wahai Ansorullah

Dengan matlamat daulah Islamiah

Berkorbanlah wahai yang beriman

Dengan harta dan segenap kepunyaan

Bergeraklah ke gerbang jasa

Kalah menang bukan alasannya

Sucikanlah niat di hati

Hingga nyata benarnya janji Rabbi

Selamatlah parti Islam melangkah

Membimbing ummah ke medan siasah

Berpedomankan Al Quran dan Sunnah

Suburlah hidupnya dan pasti berbuah....

ITULAH antara lirik lagu tema rasmi Pas 'Berjihadlah' yang harus difahami oleh perwakilan Pas sebelum mereka melangkah ke Kota Bharu, Kelantan untuk menghadiri muktamar tahunan parti itu selama lima hari mulai Rabu ini.

Sebelum Pas terus dibuai dengan mimpi-mimpi indah untuk menawan Putrajaya, menumbangkan Barisan Nasional (BN) dan menggantikan UMNO, mereka juga perlu bermuhasabah untuk menentukan apakah Pas kini berada di landasan bagi merealisasikan apa yang mereka lafazkan dalam lagu tema rasmi mereka itu.

Tetapi persoalannya, sejauh manakah perwakilan ke muktamar berkenaan mempunyai keberanian untuk mengetengahkan beberapa perkara atau masalah pokok yang dianggap telah mencalarkan imej Pas sebagai sebuah parti yang memperjuangkan Islam dan dianggap paling berwibawa berbanding Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP.

Berikut penulis gariskan beberapa perkara pokok yang perlu perwakilan Pas bangkitkan jika benar mereka bercita-cita untuk melihat parti itu tidak akan menjadi lebai malang menang sorak kampung tergadai:

l HALA TUJU - Persoalan ini adalah perkara pokok paling utama yang perlu diberi perhatian oleh perwakilan Pas jika benar mereka ingin bersorak gembira dalam pilihan raya umum nanti. Mungkin ketika di muktamar, perwakilan akan dibuaikan dengan alunan kononnya rakyat kini sudah bersama pakatan pembangkang yang turut dianggotai PKR dan DAP.

Himpunan Hijau ke Putrajaya dan Himpunan Kebangkitan Rakyat akan dijadikan contoh kononnya, rakyat semakin tidak sabar untuk bersama-sama dengan pakatan pembangkang untuk menumbangkan kerajaan BN. Persoalannya apakah semua itu benar atau ia sekadar untuk menghilangkan keresahan berikutan semakin ramai khususnya dalam kalangan umat Islam tertanya-tanya ke arah mana perjuangan Pas sekarang.

Keadaan itu berlaku kerana sejak 2004 semakin terserlah 'kerelaan' Pas untuk mengubah dasar perjuangannya.

Ketika awal-awal penubuhannya dulu, Pas bercakap soal kemerdekaan yang boleh ditegakkan hukum Islam dan mendesak Islam dijadikan dasar negara.

Pada akhir tahun 1956, ketika mengambil alih pucuk pimpinan Pas, Dr Burhanuddin al-Helmy pernah berkata,''Dalam perjuangan kita (Pas) bagi mencapai kemerdekaan, kita telah dan terus menerus memperjuangkan Melayu itu sebagai kebangsaan bagi negara Tanah Melayu ini dengan bertapak di atas asas ideologi Islam yang maha suci".

Persoalannya, apakah perjuangan Pas sekarang demi menegakkan perjuangan Islam yang maha suci atau hanya sekadar untuk merebut kerusi?

Jika persoalan ini tidak berani dibangkitkan oleh perwakilan maka tidak usahlah berdegar-degar bercakap soal hendak menegakkan perjuangan Islam.

- IMEJ PAK TURUT - Perwakilan Pas perlu bertanya kepada barisan kepimpinan, apakah imej ini sekadar satu persepsi atau realiti. Ia memandangkan sepanjang bersahabat dengan PKR dan DAP, Pas yang ditubuhkan oleh sekumpulan ulama bukan lagi sebuah parti yang digeruni. Perjuangan Islam yang menjadi teras kewujudan Pas semakin ditinggalkan apabila parti itu bekerjasama dengan kedua-dua parti berkenaan atas nama tahaluf siyasi.

Penulis akui, dalam sebuah masyarakat majmuk seperti biasa, Pas tidak boleh bersendirian dalam perjuangan politiknya tetapi janganlah sampai kerana kemaruk hendak berkuasa maka prinsip sendiri pun ditinggalkan.

Sepanjang berada dalam pakatan pembangkang, Pas dilihat telah mencemarkan imej Islamnya dan sebagai sebuah parti yang berwibawa. Walaupun sejarah perjalanan politik Pas jauh lebih hebat berbanding DAP dan PKR namun Pas dilihat sentiasa tunduk dengan kehendak politik kedua-dua parti itu.

Selain mengubah perjuangan negara Islam kepada negara berkebajikan dengan alasan negara berkebajikan juga adalah sebahagian pengisian dalam negara Islam, Pas juga bersedia memecat mana-mana pemimpinnya yang dilihat boleh menggugat hubungan mereka dengan PKR dan DAP.

Pas terlalu sayangkan hubungan tersebut sehinggakan ada yang melihat apa yang boleh dikorbankan harus dikorbankan hatta prinsip perjuangan sendiri sekali pun.

Jika perwakilan muktamar tidak bersetuju dengan pandangan ini, apatah lagi tersinggung dengan panggilan 'pak turut' ini, mereka perlu mendesak supaya Pas diberi peluang bertanding lebih banyak kerusi berbanding PKR dan DAP.

Pas perlu mendesak supaya PKR bersedia mengorbankan kerusinya untuk Pas bagi membolehkan parti itu memenangi banyak kerusi. Lagi pun apa yang hendak dirisaukan, kalau betul PKR dan DAP sudah 'bertahaluf siyasi' dengan Pas, sudah pasti mereka akan berusaha bersungguh-sungguh memastikan kemenangan Pas.Melalui cara sedemikian barulah Pas akan menjadi sebuah parti yang dominan dalam pakatan pembangkang dan bukan sekadar pak turut.

l HUKUM HUDUD - Beranikah perwakilan ke muktamar untuk bertanya kepada kepimpinan mereka sejauh manakah ikhlasnya Pas memperjuangkan hukum hudud. Ia memandangkan ramai yang berpendapat hukum hudud hanya modal politik Pas menjelang pilihan raya.

Kalau benar Pas mahu melaksanakan hukum hudud maka mereka perlu tegas dan bukannya berdolak-dalik dengan memberikan seribu satu alasan. Tindakan terbaru dengan menyerang habis-habisan Presiden MCA, Datuk Seri Dr.Chua Soi Lek yang dikatakan menghina hukum Islam apabila menolak hukum hudud versi Pas tidak akan mampu menutupi persepsi bahawa hukum tersebut hanya mainan politik Pas.

Kalau betullah Pas menganggap kenyataan Soi Lek suatu penghinaan kepada hukum Islam, bagaimana pula dengan pemimpin-pemimpin DAP yang dilihat dulu, kini dan selamanya menolak hukum tersebut.

Jika alasan pemimpin DAP tertentu tidak faham Islam kerana mereka bukan Islam, bagaimana pula dengan Soi Lek? Apakah kerana Soi Lek daripada BN maka itu dilihat 'lebih besar kesalahannya' berbanding pemimpin DAP yang menolak hukum hudud?

Pas tidak boleh bersikap hipokrit dalam isu hukum hudud, kalau betul mereka mahu melaksanakan hukum berkenaan apabila pembangkang memenangi pilihan raya, maka perwakilan perlu mendesak supaya ia dimasukkan dalam agenda Buku Jingga pakatan pembangkang.

Atau paling tidak pun ia dijadikan agenda utama dalam manifesto pakatan itu dalam pilihan raya umum nanti. Kalau itu tidak dilakukan, tidak payahlah perwakilan membuang masa untuk menunjukkan kononnya mereka terkilan apabila hukum hudud versi Pas dikritik oleh Soi Lek.

l PENEGAK KEBENARAN ATAU PENTINGKAN KUASA - Salah satu sebab kenapakah imej Pas tercalar adalah akibat kenyataan dan tindakan mengelirukan parti itu dalam berhadapan dengan pelbagi isu. Paling ketara ialah sikap Pas yang bersedia berkompromi apa sahaja jika melibatkan pemimpin PKR dan DAP biar pun bertentangan dengan imej Pas sebagai sebuah parti Islam yang sepatutnya berpegang kepada hakikat yang benar itu benar, yang batil itu batil.

Sememangnya terdapat terlalu banyak isu yang memperlihatkan Pas sanggup menjadi 'pejuang bisu' jika ia melibatkan pakatan pembangkang. Terbaru isu kenyataan Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar. Pemimpin Pas lebih selesa menuduh ia kononnya diputar belitkan oleh media pro UMNO. Walaupun isu ini menjadi perhatian orang Melayu dan umat Islam namun sekali lagi kita melihat Pas lebih meletakkan kepentingan politik mengatasi segala-galanya.

Itulah antara persoalan yang perlu diketengahkan di muktamar tersebut kalau benar perwakilan Pas merasakan mereka masih lagi pejuang Islam, jika tidak kehadiran mereka di negeri Cik Siti Wan Kembang itu bagi memerah otak mengatur strategi menghadapi pilihan raya umum sekadar untuk memperkukuhkan PKR dan memperkasakan DAP.

- SELAMAT BERMUKTAMAR.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Portal Berita Semasa