KUALA LUMPUR 6 Julai – Dalam suasana pilihan raya yang semakin hampir, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak pernah jemu untuk terus mendapat perhatian masyarakat membabitkan karier politiknya.
Bekas Pegawai Khas Anwar, Rahimi Osman menyifatkan kenyataan Anwar untuk bersara daripada politik itu tidak lebih daripada untuk mendapat simpati bagi merealisasikan impiannya untuk menjadi Perdana Menteri.
“Itulah karektor Anwar, yang sentiasa bijak bersandiwara untuk mendapat perhatian dan simpati daripada rakyat, Anwar akan mempergunakan apa sahaja kaedah yang difikirkan boleh menagih sokongan kepadanya.
“Kita jangan lupa dengan apa yang pernah dilakukan Anwar sebelum ini, ketika kes perbicaraan kes liwatnya dahulu membabitkan bekas pemandu isterinya (Azizan Abu Bakar), Anwar berkerusi roda dan berbekung di leher ketika ke mahkamah.
“Kini beliau mengatakan untuk bersara jika pembangkang tewas pada pilihan raya umum akan datang, itu semua adalah strateginya untuk mendapatkan sokongan apabila menyedari rakyat telah sedar dengan apa yang cuba dilakukan oleh pembangkang,” katanya kepada UMNO-Online di sini.
Rahimi berkata, tindakan yang dilakukan Anwar itu sebenarnya menunjukkan beliau dalam keadaan terdesak sehingga bertindak sedemikian apabila menyedari pelbagai masalah dalaman yang dihadapi ketiga-tiga parti pakatan pembangkang.
“Masalah dalaman parti serta ketidak mampuan pentadbiran pakatan pembangkang di negeri yang diperintah adalah mimpi-mimpi ngeri yang boleh merencatkan cita-citanya untuk menjadi Perdana Menteri.
“Di samping itu, dengan pelbagai isu didedahkan membabitkan dirinya menyebabkan Anwar terpaksa mencari idea baru untuk menagih sokongan, Anwar tidak pernah putus idea bagi memastikan karier politiknya tidak tamat begitu sahaja,” katanya.
Menurutnya, Anwar tidak akan berhenti berpolitik selagi cita-citanya untuk menawan Putrajaya tidak tercapai, baginya Putrajaya adalah segala-galanya dan sanggup melakukan apa sahaja untuk direalisasikan.
“Anwar tetap Anwar, beliau bukanlah seorang yang mudah mengalah, sandiwara dan lakonannya adalah sebahagian strateginya, kenyataannya itu juga adalah peringatan untuk ketiga-tiga parti pakatan pembangkang mencari penyelesaian masalah dalaman bagi menghadapi pilihan raya.
“Menyedari suasana politik sekarang yang tidak berpihak kepada pembangkang, Anwar sebagai ketua terpaksa mencari idea baru yang tidak mengeluarkan modal besar untuk dapat sokongan, dan cara terbaik kepada dirinya adalah untuk mendapatkan simpati seperti yang pernah dilakukan sebelum ini,” katanya.
Beliau berkeyakinan bahawa rakyat kini bijak serta memahami dengan permainan pembangkang terutamanya Anwar ketika berhadapan musim pilihan raya dan mungkin ada lagi kejutan yang bakal dilakukan oleh Anwar untuk menipu rakyat. -MediaUMNO
No comments:
Post a Comment