Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan senang kepadamu hingga kamu mengikuti agama mereka. Katakanlah: “Sesungguhnya petunjuk Allah itulah petunjuk (yang sebenarnya)”. Dan sesungguhnya jika kamu mengikuti kemahuan mereka setelah pengetahuan datang kepadamu, maka Allah tidak lagi menjadi pelindung dan penolong bagimu. al-Baqarah (2) : 120

Monday, February 06, 2012

MESTI BACA: ADAKAH KITA DARI KALANGAN UMAT YANG BERSYUKUR???


Syukur ertinya berterima kasih di atas segala nikmat dan rezeki halal yang diperolehi. Sama ada nikmat tersebut besar atau kecil, ia tetap merupakan nikmat kurniaan Allah s.w.t kepada kita.   

Bersyukur tidak sekadar mengucap Alhamdulillah ketika mendapat nikmat atau hanya selepas terbelahak kerana kekenyangan. Akan tetapi konsep bersyukur itu amat luas, tidak hanya sekadar kata-kata tetapi hendaklah ditasdikkan atau dirasakan di dalam hati lalu dizahirkan ke dalam perbuatan.

Kita ditegah sama sekali mengkufuri apa jua nikmat pemberian yang halal. Apatah lagi jika pemberian tersebut dibalas pula dengan cacian dan perlecehan terhadap orang yang memberinya. Jika tidak mahu menerimanya lebih baik ditolak secara baik. Begitu juga dengan nikmat-nikmat lain yang dikurniakan Allah, jangan sampai menjadikan hati kita lalai dan semakin engkar mengerjakan segala perintahNya. 

Firman Allah; “Jika kamu bersyukur atas segala nikmat-Ku, Aku akan tambahi lagi nikmat-nikmat-Ku. Sekiranya kalau kamu kufur engkar, ingatlah sesungguhnya siksa-Ku amat pedih.” (Surah Ibrahim: 7)
   
Kita bersyukur pada Allah yang mengurniakan nikmat negara ini masih diperintah oleh para pemimpin yang terdiri dari kalangan umat Islam yang masih berkuasa dalam menentukan segala dasar, hala tuju dan mampu melindungi hak-hak ummah tanpa menzalimi umat penganut agama lain. 

Namun, di sebalik nikmat kemerdekaan, keamanan, kemudahan mencari rezeki, nikmat beragama dan beribadah tersebut, jangan lupa masih banyak lagi negara Islam seperti Iraq, Afghanistan, Mesir, Libya, Yaman, Syria dan sebagainya yang terus bergolak akibat terperangkap dengan percaturan licik kuasa-kuasa asing yang menjahanamkan syiar Islam demi menguasai segala hasil bumi di negara-negara tersebut. Dahulunya negara-negara ini makmur dan aman, tetapi kerana perebutan kuasa habis binasa keamanan dan terpaksa pula mengikut telunjuk kaum kuffar.  

Malaysia juga tidak terkecuali apabila nikmat keamanan dan toleransi yang diberikan oleh pemimpin Islam selama ini seolah-olah tidak bernilai langsung kepada segelintir masyarakat. Bahkan musuh-musuh Islam tersebut sentiasa dan sewenang-wenangnya melakukan agenda rakus merobek dan menyingkir kuasa umat Islam secara sistematik atas nama kebebasan beragama dan demokrasi. Betapa malang lagi apabila ada segelintir umat Islam yang gila kuasa turut menyokong tanpa ragu usaha jahat tersebut. 

Antaranya isu pemurtadan yang bagai tiada hentinya, sama ada secara terselindung atau melalui kegiatan pluralisma agama. Ayat Quran surah Al-Baqarah ayat 256 bermaksud “Tiada paksaan di dalam agama (Islam)” sengaja dimanipulasi untuk membenarkan kejahatan mereka. 

Namun mereka sengaja tidak mahu menerangkan sambungan kalam suci tersebut bahawa; “…sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) daripada kesesatan (kufur). Barangsiapa yang tidak percayakan taghut dan dia pula beriman kepada Allah maka sesungguhnya dia telah berpegang kepada simpulan (tali agama) yang teguh yang tidak akan putus. Dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui."

Terkini isu perkahwinan sejenis yang dibanggakan atas nama kebebasan. Agenda terancang bermula dari usaha menganjurkan program Seksualiti Merdeka dan program-program membela golongan pengamal seks songsang hinggalah ke peringkat pendedahan berani aksi-aksi sumbang berahi di media-media. Bertambah parah lagi terdapat tindakan individu-individu tertentu berusaha mendapatkan sokongan dan dana asing untuk membela aktiviti seks songsang mereka. Timbul persoalan apakah nanti taruhannya ke atas masa depan negara dan umat Islam jika manusia songsang sebegini berjaya menjadi pemimpin negara? 

Sesungguhnya usaha mungkar terancang ini adalah untuk merosakkan iman,maruah serta zuriat keturunan umat Islam di negara ini. Apabila umat Islam lemah, maka mudahlah segala kekuatan dan hak-hak mereka dirampas dan digantikan dengan sistem baru yang jelas menolak Islam dan menafikan hak-hak ummahnya. Ketika itu, deraian air mata darah dan jeritan batin tidak berguna lagi. Pemimpin jahat dan songsang tersebut mungkin tersenyum puas memegang kuasa tetapi ummah menanggung derita berpanjangan, musuh Islam pula puas ketawa keriangan.

Perpaduan ummah yang dicanang merupakan perkara yang ‘haram dan pantang’ disebut kerana dianggap assabiyah, rasis dan menjijikkan. Sebaliknya, usaha untuk mengadu domba umat Islam dianggap satu proses ke arah kematangan berdemokrasi. Prinsip mendaulatkan Islam dan ummah hanya tinggal kenangan kerana kita lebih mementingkan kebajikan musuh-musuh Islam yang kononnya tertindas di sebalik kemewahan dan keangkuhan mereka berbanding jihad mempertahankan maruah Islam dan bangsa. Hukum hudud pula bebas diperlekehkan oleh bukan Islam yang jelas menunjukkan mereka sebenarnya amat benci terhadap Islam dan menganggap hukum Allah begitu zalim dan mencabul hak asasi manusia bukannya sebagai mekanisme menjaga keselamatan dan maruah.

Justeru bersatulah wahai umat Islam, pereratkan ukhwah dan persaudaraan serta bersyukurlah dengan nikmat yang diperolehi selama ini. Kekalkan keamanan dan hapuskan persengketaan demi mendapat rahmat dan nikmat Allah yang berpanjangan. Firman Allah s.w.t di dalam sebuah hadis Qudsi ; “Kalau Aku uji kamu dengan kesusahan, kamu tidak mahu bersabar, dan kalau Aku uji kamu dengan nikmat, kamu tidak mahu bersyukur, maka nyahlah kamu dari bumi dan langit Allah ini dan pergilah cari tuhan yang lain.”

Jangan kita menjadi seperti orang yang fasik lagi munafiq yang dihilangkan rahmat dan keberkatan ke atasnya. Mereka mudah menjadi pemarah, pendendam dan pembohong sepanjang masa sehinggakan ulama pun boleh dikelentongnya. Mereka dihilangkan nur di mukanya dan tiada sifat sabar, namun begitu ghairah untuk berkuasa dan mudah menyalahkan orang dalam segala hal. 

Dalam masa yang sama tersadung dengan kes moral dan tidak henti-henti menimbulkan musibah ke atas ummah. Jika tidak dibendung kejahatan golongan jahat ini maka tidak mustahil sedikit demi sedikit kekuatan ummah akan tersungkur dan kegemilangan Islam akan terkubur. Nantikan pula bala berpanjangan dari Allah. Sejarah mungkin berulang jika kita lalai dan lupa bersyukur atas nikmatNya. Hanya kesedaran untuk kembali ke jalan yang benar yang akan menghalang bala dari berlaku. Justeru istikharah dan istiqamahlah agar kita ditetapkan jalan yang benar demi memelihara Malaysia yang tercinta.  

JPX

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Portal Berita Semasa