LABIS, 25 Jan (Bernama) -- Bekas anggota Majlis Pimpinan Pusat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Ng Lum Yong menyertai MCA pada Selasa.
Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek yang mengumumkan perkara itu berkata MCA mengalu-alukan hasrat Ng untuk menyertai parti tersebut dan percaya penyertaannya dibuat kerana beliau menyokong agenda perjuangan parti berkenaan.
"Sebenarnya selepas pemilihan parti pada tahun lepas, sehingga bulan Disember tahun lalu, MCA telah terima 17,370 ahli baru. Kita rasa bangga kerana daripada jumlah itu, 60 peratus merupakan golongan belia dan mereka yang berumur bawah 40 tahun," katanya pada sidang media di bangunan MCA Labis di sini.
Beliau berkata MCA bersikap terbuka dan sesiapa sahaja yang berketurunan Tionghua boleh menjadi anggota parti itu.
Dr Chua berkata penyertaan Ng dalam MCA bakal menghantar satu isyarat yang jelas bahawa parti pembangkang semakin kehilangan pengaruh selepas kejayaan mereka pada pilihan raya umum 2008.
"Kita tidak tawarkan apa-apa jawatan kepada Ng. Beliau hanya diterima sebagai ahli biasa. Kami bukan macam parti lain yang menawarkan pelbagai jawatan untuk mana-mana ahli politik menyertai parti mereka," katanya.
-- BERNAMA
1 comment:
Salam Bro,
mohon link ke blog sdra.
Teruskan perjuangan
TQ
Post a Comment