Saya tidak pernah menolak untuk mengatakan bahawa Wardina Safiyyah Wilmot merupakan antara selebriti popular yang jelita dan suka mengambil berat tentang hal rakyat. Dakwah, “talks” dan motivasi yang dia berikan di beberapa program sebelum ini memberikannya publisiti berterusan meskipun sudah bersara dari bidang seni.
Bukan mudah untuk menjadi seorang selebriti yang “berhijrah” secara “mee segera” dan kemudian dijadikan “icon” bagi golongan remaja serta pihak-pihak tertentu. Segala gerak geri, pertuturan, hal peribadi dan pendirian Wardina sering diperhati. Kenyataannya mampu mempengaruhi orang ramai, golongan muda khususnya.
Pun begitu, populariti seseorang itu tidak semestinya membuktikan sentiasa berada di pihak yang benar dan bijak berfikir. Kadangkala, individu itu popular, tapi dia tidak punya akal untuk berfikir secara adil dan sering tersimpang dari kebenaran. Malah, ada sesetengahnya begitu mudah terpengaruh dan dipedaya oleh fitnah.
Wardina misalnya baru-baru ini menulis di Facebook, menuduh DBKL membazirkan wang sebanyak RM15 juta hanya untuk program sambutan ambang tahun baru di Dataran Merdeka baru-baru ini. Kononnya DBKL bazirkan wang rakyat, sedangkan rakyat sedang “tenat” fizikal, kewangan, spirtual dan moral.
