Bekas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah meminta semua pihak menghormati keputusannya untuk melepaskan jawatan dalam Kabinet dan UMNO.
Beliau turut meminta agar diberikan masa dan ruang untuk berehat selepas memilih untuk berundur daripada semua jawatan itu atas sebab peribadi.
“Saya telah bersara dari semua jawatan. Biarlah saya berehat. Tolong hormati hasrat saya. Terima Kasih,” katanya ringkas,” di sini hari ini.
Kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika mengumumkan rombakan Kabinet memaklumkan bahawa beliau telah memerima hasrat Ahmad Husni untuk menamatkan perkhidmatannya atas sebab-sebab peribadi.
Tempat Ahmad Husni digantikan oleh Datuk Johari Abdul Ghani dalam rombakan tersebut.
Walau bagaimanapun, ramai pihak agak terkejut dengan keputusan beliau untuk turut melepaskan semua jawatan dalam UMNO iaitu sebagai Bendahari UMNO dan Bendahari Agung Barisan Nasional (BN), Timbalan Pengerusi UMNO Perak, Timbalan Pengerusi BN Perak, Ketua UMNO Bahagian Tambun dan Pengerusi BN Parlimen Tambun.
