Dua tiga hari ini beberapa acara yang dihadiri Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri menyaksikan lebih ramai wartawan yang membuat liputan dari biasa. Semua menunggu kalau-kalau ada apa-apa 'breaking news' . Apa lagi kalau bukan pasal isu 1MDB dan sewaktu dengannya.
Pada Rabu, semalam saja, Datuk Seri Najib Razak dan Tan Sri Muhyiddin Yassin bertemu muka dalam tiga acara, sebelah pagi mesyuarat Kabinet, awal petang menyerahkan 81 fellow perdana kepada menteri-menteri Kabinet di Putrajaya (pelajar terpilih bekerja sementara di pejabat menteri) dan lewat petang di program berbuka puasa bersama warga pendidik di Bangi.
Kedua-duanya nampak mesra, relaks dan tidak kekok. Dalam kata mudahnya berlawanan dengan apa yang cuba dipotretkan oleh portal berita dan geng media sosial 'belah sana' yang saban hari cuba melaga-lagakan pemimpin nombor satu dan dua kerajaan dan UMNO itu.
Kemelut melibatkan syarikat pelaburan strategik negara 1MDB cuba dijadikan alasan untuk meretakan hubungan antara Najib dan Muhyiddin.



